Bila berbicara tentang MPV mewah bersaiz besar, tiada model lain yang boleh kita perkatakan di Malaysia selain Toyota Alphard dan Vellfire. Ia bukan sahaja kenderaan ‘people mover’ yang selesa kerana saiznya yang besar, malah Alphard dan Vellfire digemari oleh mereka yang ingin memberitahu status – lihat sahaja betapa popularnya MPV ini dikalangan ahli perniagaan, selebriti, malah pak-pak menteri juga dilihat semakin ramai menjadikannya sebagai pejabat bergerak.

Populariti Alphard dan Vellfire ini di Malaysia menyebabkan hampir ramai yang tidak tahu kewujudan pesaingnya yang lain di Jepun seperti Nissan Elgrand. Malah kerana penerimaannya dikalangan golongan VIP di Asia Tenggara yang begitu baik, Toyota menghasilkan versi Alphard yang lebih mewah dari varian Royal Lounge iaitu Lexus LM khas untuk rantau ini, dan ia belum lagi diperkenalkan di Jepun.

Dengan status yang begitu gah dipegang oleh Alphard dan Vellfire ini, tiba-tiba Hyundai datang dengan Staria Premium, MPV mewah bersaiz besar dengan rupa begitu futuristik, bagi menggantikan Hyundai Starex. Ketika pelancarannya di Malaysia minggu lalu, Hyundai Sime Darby Malaysia dengan jelas memberitahu Staria Premium akan bertanding dalam gelanggang yang sama dengan Alphard dan Vellfire pada pasaran tempatan.

“Staria adalah revolusioner. Hyundai sekali lagi mendemonstrasikan rekaan dan kebolehan senibinanya yang menonjol dengan pengenalan MPV luar biasa. Kemasan varian ekslusif memberikan Staria Premium rupa dan rasa lebih mewah berbanding Grand Starex. Dari segi di mana Staria Premium duduk dalam segmennya, ia berada lebih tinggi dari Grand Starex. Ia merupakan MPV mewah pertama dari Hyundai yang setaraf dengan model-model MPV premium Jepun,” kata Low Yuan Lung, pengarah urusan HSDM ketika pelancaran Staria tempoh hari.

Jadi betul ke apa yang didakwa oleh Hyundai ini? Adakah Hyundai Staria merupakan alternatif yang baik sekiranya anda mahu sesuatu yang lain dari Toyota Alphard dan Vellfire? Sebenarnya seminggu sebelum Staria ini dilancarkan pada 27 Oktober lalu, kami sudahpun diberikan peluang untuk mencuba sendiri MPV berkenaan di Sime Darby Motors City, Ara Damansara. Pengalaman dari sesi berkenaan akan penulis coretkan pada artikel kali ini.

Pertama kali melihat Staria ini depan mata, memang wau. Saiznya sangat besar, lebih besar dari Starex apatah lagi Alphard/Vellfire. Kalau tengok nombor atas kertas, dimensi Staria ini adalah 5,253 mm panjang, 1,997 mm lebar, 1,990 mm tinggi dan jarak roda sejauh 3,273 mm. Untuk mudah anda mencongak, saiz MPV baru ini adalah 103 mm lebih panjang, 77 mm lebih lebar, 55 mm lebih tinggi dan jarak roda 73 mm lebih jauh dari Starex – hah, sekarang boleh bayangkan?

Wau yang kedua datangnya dari perincian-perincian luaran yang diberikan. Jalur LED yang merentangi sepenuhnnya muka Staria membuatkan ia seakan muka watak Space Sheriff Gavan (kita di Malaysia panggil Gaban!) atau Robocop – ia bukan sahaja berfungsi sebagai lampu nyalaan siang, malah bertindak sebagai lampu posisi.

Lampu hadapan utama Satria ini terletak pada bampar hadapan, dan seperti yang anda lihat, kluster utama lampu berkenaan mengandungi kiub-kiub LED yang disusun menegak dua baris, sesuai dengan imej futuristiknya. Kalau anda perasan, di bawah lampu berkenaan dan juga pada satu panel hitam berkilat melintang merentangi gril hadapan, ia diberikan kemasan dengan elemen tiga segi 3D – perincian halus sebegini memberikan rasa lebih premium terhadap Staria berkenaan.

Dan jika anda berminat, Staria Premium ini turut ditawarkan dengan opsyen serlahan berwarna tembaga pada emblem, bezel lampu, bampar dan juga gril hadapan. Sekiranya opsyen ini dipilih, kemasan tembaga yang sama turut akan diberikan pada bampar, rim, cermin sisi dan pembuka pintu.

Beralih ke sisi, secara asasnya Hyundai menyifatkan bentuk garis badan tunggal dari muncung sehingga bumbung belakang MPV ini diinspirasikan bentuk Bumi ketika matahari terbit yang dilihat dari angkasa. Nampak macam pelik dan tersendiri bukan? Tapi cuba kita flashback sedikit – sebelum adanya Alphard, Toyota sudahpun menerapkan rekaan hampir sama seperti ini pada Estima ‘telur’ era 90’an dahulu.

Satu lagi ciri unik pada bahagian sisi Staria ini adalah tingkapnya yang begitu besar dan tinggi – boleh dikatakan 50% bahagian sisinya adalah cermin tingkap, dan selebihnya adalah panel badan. Hyundai menyatakan bahawa rekaan cermin tingkap yang besar berkenaan adalah diinspirasikan dari seni bina hanok tradisional Korea bagi membolehkan penumpang merasakan pemandangan luar adalah sambungan dari bahagian luaran Staria ini.

Panel sisi Staria ini juga langsung tidak diberikan garis-garis badan yang pelik-pelik. Ia begitu bersih dan minimalis, memberikan rupa yang ringkas. Konsep yang sama juga diteruskan di belakang di mana ia menampilkan cermin dan juga pintu tailgate yang besar, bersama permukaan rata, bersama bampar yang cukup nipis disertakan jalur kemasan di bawahnya.

Bagi memastikan bahagian belakang ini juga ‘bersih’, Staria diberikan lampu direka menegak, diletakkan di kedua-dua hujung sisi. Dan yang paling menarik, Hyundai berjaya ‘menyorokkan’ pengelap cermin belakang MPV ini pada bahagian atas cermin. Lampu belakang ini juga agak istimewa dan membawa kesinambungan rekaan dari hadapan – ia diberikan lensa jernih, manakala rekaan grafik dalam kluster lampu berkenaan dinamakan Parametric Pixel yang disusun seperti blok permainan video klasik ‘Tetris’.

Kalau anda perhatikan lagi, grafik-grafik bersegi ini bukan hanya diberikan pada lampu, ia turut ditampilkan pada rekaan rim Staria berkenaan. Rim aloi dua tona bersaiz 18-inci tersebut dibalut dengan tayar 235/55R18.

Sesi pandu uji pada hari berkenaan dibuat secara berkumpulan bersama media lain. Jadi sebelum duduk dikerusi pemandu, saya terlebih dahulu mahu mencuba ‘kerusi kapten’ yang berada di baris kedua. Untuk masuk ke kabin belakang, Staria diberikan pintu gelangsar untuk setiap sisi.

Pintu-pintu berkenaan menerima sistem bantuan kuasa, jadi anda hanya menarik sekali sahaja pembuka pintu tersebut atau menekan butang yang berada dalam kabin untuk membuka atau menutupnya. Ketika ia dilancarkan tempoh hari, HSDM turut ada menyatakan bahawa Staria diberikan sistem pintu pintar yang membolehkan ia terbuka sendiri berdasarkan jarak penumpang dengan pintu berkenaan. Namun fungsi ini tidak diberitahu ketika sesi pandu uji ini dijalankan, jadi kami tidak sempat untuk mengujinya.

Sebelum ini saya membayangkan dengan badan Staria yang begitu tinggi, kita mungkin boleh berdiri di kabin belakang MPV berkenaan dan memudahkan pergerakan untuk berpindah dari mana-mana tempat duduk tanpa membongkok. Namun selepas pintu gelangsar berkenaan terbuka, baru saya sedar bahawa Staria menampilkan lantai yang agak tinggi. Anda bukan sahaja tidak boleh berdiri di bahagian berkenaan, malah kanak-kanak atau orang tua mungkin agak sukar untuk naik ke kabin belakang tersebut.

Kan tiada lagi ‘long shaft’ di bawah badan seperti Starex kerana Staria kini menampilkan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan (FF), tetapi kenapa lantainya masih tinggi? Sebelum sesi pandu uji ini berlangsung, kami difahamkan bahawa Staria diasaskan dari platform generasi baharu N3 Hyundai yang sama dengan SUV Hyundai Santa Fe dan trak pikap Hyundai Santa Cruz – jadi tidak hairanlah mengapa lantai MPV ini tinggi seperti lantai sebuah SUV.

Masuk ke kabin dan duduk di atas kerusi, lebih-lebih lagi pada tempat duduk kabin baris kedua Staria Premium ini, anda sudah boleh rasa nilai ‘mewah’ MPV berkenaan. Ini kerana kesemua tempat duduknya dibalut dengan kulit Nappa yang lembut. Panel-panel warna kelabu yang anda lihat disekeliling kabin Staria ini, termasuk pada panel dalaman pintu dan dinding serta pelapik bumbung kesemuabya dibalut dengan fabrik sued yang begitu lembut apabila disentuh.

Bagi tempat duduk kapten baris tengah ini pula, ianya diberikan pelarasan berkuasa elektrik. Anda boleh laras kedudukan perehat belakang dan juga perehat betis secara berasingan. Namun sekiranya anda mahu terus tidur dalam keadaan baring, hanya tekan satu butang “relaxation mode” pada tempat duduk tersebut, dan perehat belakang terus akan direbahkan bersama perehat betis yang diangkat sepenuhnya.

Selepas berbaring, penumpang tempat duduk baris kedua ini juga boleh menikmati pemandangan langit menerusi bumbung suria tersendiri untuk kabin belakang yang berasingan dengan bumbung suria kokpit. Nak dengar muzik? Kabin Staria Premium ini datang standard dengan sistem bunyi 12-pembesar suara dari Bose

Jika anda tidak berkenan dengan gandingan warna tempat duduk perang bersama panel-panel kelabu seperti unit yang kami uji ini, HSDM turut menawarkan pilihan warna kabin lain yang boleh anda pilih termasuk satu-tona hitam kesemuanya, satu-tona kelabu cerah (hampir kepada putih) sepenuhnya atau dua-tona yang terdiri dari tempat duduk biru cerah bersama panel-panel hitam.

Ruang adalah satu faktor yang saya rasa Alphard dan Vellfire ketinggalan berbanding Staria ini. Dimensi yang tercatat atas kertas benar-benar diterjemahkan pada kabin. Bumbung yang tinggi menambahkan lagi rasa yang sangat luas pada kabin MPV Korea berkenaan.

Dalam konfigurasi pasaran lain, Staria sememangnya mampu menempatkan sehingga 11-tempat duduk. Jadi pada model yang hanya diberikan tujuh-tempat duduk ini, kesemua penumpang menerima ruang kaki yang cukup luas.

Walau bagaimanapun, ada berberapa ciri yang menyebabkan Staria Premium ini terasa seakan sebuah van. Antaranya cermin tingkap tanpa bantuan kuasa (dibuka gelangsar macam bas sekolah tanpa aircond dulu-dulu), cermin tingkap paling belakang boleh dibuka dengan hanya ditolak keluar sedikit dan juga liang pendingin hawa berbentuk bulat pada bumbung.

Panel kawalan pendingin hawa untuk kabin belakang juga sedikit pelik, kerana ia diletakkan di atas pintu gelangsar sebelah kanan. Apabila enjin Staria ini dihidupkan, feel sebuah van pada kabin MPV ini bertambah lagi. Ini bukan hanya kerana bunyi enjin diesel yang jelas kedengaran, malah anda turut akan merasa sedikit getaran pada tempat duduk. Tetapi dengan sistem suspensi multilink yang diberikan pada gandar belakang, ia cukup memberikan perjalanan yang sangat selesa.

Setelah beberapa ketika menikmati perjalanan dengan duduk di kerusi kapten, saya berpindah pula ke tempat duduk paling belakang bagi merasai pengalaman di bahagian tersebut.

Bagi tempat duduk baris ketiga ini, ia lebih menyerupai sebuah sofa rumah. Ia tidak boleh dibaringkan, namun cukup selesa ketika duduk, serta mampu memuatkan tiga orang dewasa dengan ruang yang cukup baik. Malah sekiranya tempat duduk baris kedua dibaringkan sepenuhnya, saya masih lagi mempunyai ruang kaki yang sangat besar.

Semua cukup pada bahagian ini sekiranya nak jalan jauh – pemegang cawan dan ruang storan cukup besar, ada port USB individu, malah jika cahaya terlalu banyak masuk menerusi cermin tingkap, ada pelindung cahaya matahari yang telah disediakan secara integrasi pada setiap sisi.

Walau bagaimanapun, kedudukan tempat duduk yang berada pada posisi overhang belakang, iaitu sedikit terkebelakang berbanding ruang roda, rasa bumpy ketika melalui jalan tidak rata pada bahagian masih tidak dapat dielakkan.

Habis merasa duduk di kabin belakang, saya ambil alih pula tugas sebagai pemandu. Masuk sahaja ke bahagian kokpit, satu perasaan yang saya rasa adalah semua benda yang saya boleh lihat dari kedudukan tinggi bersama cermin hadapan dan tingkap sisi pada Staria ini kelihatan kecil, termasuk Toyota Alphard yang melintas di sisi.

Papan pemuka Staria ini turut mengekalkan perincian dari rupa bentuk luaran iaitu direka agar nampak futuristik. Ia menerima papan pemuka seiras dengan Tucson generasi baharu, menampilkan liang penghawa dingin yang nipis diberikan merentangi keseluruhan papan pemuka, dipisahkan dengan skrin sesentuh sistem infotainmen yang diletak tinggi di tengah, nampak seakan air terjun.

Pemandu pula diberikan paparan meter digital disediakan dalam bentuk skrin 10.25-inci, dan ia diletakkan secara berdiri sendiri di atas papan pemuka tanpa sebarang perumah. Dengan bentuk yang begitu nipis bersama paparan cukup jelas serta grafik dan animasi yang cukup menarik, bahagian ini benar-benar memberikan feel seperti kapal angkasa.

Skrin ini bukan hanya berfungsi bagi memaparkan parameter-parameter dan informasi berkenaan kenderaan semata-mata. Ia juga turut memberikan visual dari kamera titik buta – sekiranya pemandu memberikan isyarat membelok sebelah kiri, meter kelajuan akan berubah menyiarkan imej visual bahagian kiri kenderaan, dan sekiranya isyarat membelok sebelah kanan diberikan, meter rpm pula akan berubah memberikan visual sebelah kanan kenderaan tanpa titik buta.

Roda stereng Staria ini pula sama sepenuhnya dengan roda stereng sedan segmen-D Hyundai Sonata bagi memberikan rasa premium yang sama. Manakala untuk menukar gear, tiada tombol gear diberikan pada kapal angkasa ini, sebaliknya digantikan dengan suis tekan ‘R’, ‘N’, ‘D’ dan ‘P’ yang diletakkan pada konsol tengah. Pemandu juga menerima pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Kokpit MPV ini turut diberikan dengan banyak ruang-ruang simpanan, termasuk konsol pada bumbung, di bawah panel instrumen, dan juga pada atas dan bawah bahagian tengah papan pemuka. Konsol tengah Staria disertakan dengan pemegang-pemegang cawan, port USB, serta ruang simpanan yang sangat-sangat besar. Manakala glove box pula direka agar ia lebih kehadapan bagi memberikan ruang kaki lebih baik pada penumpang hadapan.

Menurut HSDM, segala spesifikasi yang ditawarkan pada Staria Premium ini adalah sama dengan Staria Premium pasaran lain, kecuali dua perkara iaitu skrin infotainmen 10.25-inci yang ditukar kepada hanya 8-inci, dan juga lampu suasana kabin ala Mercedes-Benz 64-warna ditawarkan hanya 10-warna.

Hyundai Staria pasaran Malaysia ini ditawarkan hanya dengan enjin 2.2 liter turbodiesel CRDi empat silinder berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm bermula 1,500 rpm sehingga 2,500 rpm. Enjin ini sebenarnya enjin yang sama berada dalam perut SUV Hyundai Santa Fe, namun menurut Hyundai kuasanya telah ditala lebih rendah dari jumlah asal (193 PS/440 Nm) untuk disesuaikan kepada sebuah MPV agar penyampaian kuasanya dapat dihantar dengan lebih lembut dan lancar.

Bagi menghantar kuasa berkenaan ke roda hadapan, enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan, lengkap dengan pedal penukar gear yang dibekalkan pada roda stereng.

Seperti yang dinyatakan Hyundai, kuasa yang diberikan oleh enjin tersebut benar-benar ‘tenang’. Ia tidak akan menyebabkan kita rasa untuk menekan pedal pendikit secara agresif, dan sangat membantu bagi memberikan pemanduan yang selesa untuk penumpang. Namun bila mana tiba masa kuasa lebih besar diperlukan, tork 431 Nm tersebut tidak segan silu untuk membantu apabila pemandu menekan pedal pendikit dengan lebih agresif.

Hyundai juga memberikan sistem brek yang cukup baik untuk menghentikan gergasi seberat sekitar dua tan ini. Pedal terasa sangat responsif, dengan sedikit tekanan sahaja ia terus memberikan kuasa membrek, tidak seperti sesetengah MPV bersaiz besar sebegini yang lazim nya memberikan respon pedal yang tidak begitu baik.

Hyundai Staria Premium (juga sebenarnya dikenali sebagai Staria Lounge di Korea) ini dijual pada pasaran Malaysia dengan dua pilihan harga bergantung kepada tempoh pilihan waranti – Ia bermula dengan RM358,888 yang datang dengan waranti dua-tahun atau 50,000 km, dan RM368,888 sekiranya anda mahukan waranti lima-tahun/300,000 km bersama pakej servis percuma tiga-tahun/50,000 km. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama insentif pengecualian cukai jualan 50% bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU).

Ya, memang mahal kerana dengan harga yang lebih kurang sama, anda boleh mendapatkan sebuah Toyota Vellfire baharu (kalau recond, itu dah lain cerita) yang dijual oleh UMW Toyota dalam varian paling rendah iaitu 2.5 L, dengan harga RM367,881.00.

Untuk pengetahuan anda, Hyundai Staria Premium ini juga masih belum ditawarkan di Thailand dan Indonesia, di mana kedua-dua pasaran berkenaan kini hanya menerima Staria dengan varian lebih rendah. Di Thailand, Staria hanya ditawarkan dengan konfigurasi 11-tempat duduk dalam varian S dijual pada harga 1,729,000 baht (RM222,100) dan varian SEL dijual pada harga 1,999,000 baht (RM256,800).

Jadi berbaloi ke untuk memiliki Hyundai Staria Premium ini? Pada penulis sendiri, Staria menang dari segi saiz – memang betul-betul lapang bahagian kabin belakangnya. Manakala bagi mereka yang benar-benar mahukan sebuah MPV mewah yang lebih diperhalusi, Toyota Alphard dan Vellfire masih lagi tiada tandingan.

Dari segi rupa pula, pada penulis faktor ini lebih bersifat individu. Ramai yang masih tak boleh terima rupa terlalu pelik pada Staria tersebut. Namun penulis sendiri agak suka dengan gaya MPV Korea ini – Staria tampil dengan rupa yang cukup epik dan sangat menonjol di atas jalan raya, seperti bila-bila masa boleh berlepas ke udara seakan mesin masa Delorean DMC-12 Dr. Emmet Brown!

Untuk lebih perincian tentang kelengkapan dan spesifikasi Hyundai Staria Premium pasaran Malaysia ini, anda boleh baca artikel pelancarannya pada PAUTAN INI, atau semak di laman Carbase.my.