Hyundai Staria masuk pasaran Thailand – 11 tempat duduk, enjin diesel 2.2 liter, harga dari RM222k

Hyundai Staria masuk pasaran Thailand – 11 tempat duduk, enjin diesel 2.2 liter, harga dari RM222k

Perniagaan Hyundai di Thailand lebih banyak memberi fokus kepada MPV, dengan satu-satunya model yang dijual sekian lama cumalah Starex/H-1. Disebabkan itu, tidak peliklah apabila mereka menjadi pasaran pertama di luar Korea Selatan yang menerima Staria baru.

Seperti yang dijangka, Staria tiba di Thailand dalam versi 11 tempat duduk (bukan Premium), dan dua varian iaitu S dan SEL. Harganya bermula dari 1,729,000 baht (RM222,100) untuk model asas dan pergi sehingga 1,999,000 baht (RM256,800). Sebagai perbandingan, H-1 sebelum ini cuma dijual pada harga 1,329,000 baht (RM170,800).

Walaupun jauh lebih mahal, Staria datang dengan pelbagai peningkatan berbanding H-1, bermula dengan gaya yang lebih moden. Di hadapan terdapat jalur LED penuh dari tepi ke tepi, gril sama warna seperti badan dan menempatkan lampu utama LED, serta lampu belakang nipis menegak (unit Parametric Pixel LED pada varian SEL).

Hyundai Staria masuk pasaran Thailand – 11 tempat duduk, enjin diesel 2.2 liter, harga dari RM222k

Rim antara dua varian yang ditawarkan juga adalah berbeza – varian S mendapat rim 17 inci warna perak sementara varian SEL mendapat rim 18 inci yang menggunakan warna dua tona. Bahagian dalam pula menampilkan ciri sama moden seperti penampilan luarannya, dengan dua skrin, butang kawalan tersusun serta corong pendingin hawa yang mempunyai rekaan jalur penuh sepanjang papan pemuka.

Kedua-dua varian mendapat panel instrumen digital, iaitu unit gabungan LCD dan MID 4.2 inci bagi varian S manakala varian SEL mendapat unit berwarna penuh 10.25 inci. Sistem infotainmen adalah sama untuk kedua-dua varian, dan ia menampilkan skrin sesentuh lapan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto sementara pengecas telefon tanpa Qi tanpa wayar pula cuma diberi pada varian SEL.

Kelengkapan standard lain adalah termasuk sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pendingin hawa automatik dengan kawalan khas untuk bahagian belakang, balutan fabrik, pelindung cahaya matahari di belakang, kamera undur, enam pembesar suara serta tujuh soket USB. Varian SEL mendapat tambahan tempat duduk pemandu larasan kuasa, balutan kulit, cermin pandang belakang malap sendiri, lampu dalaman LED serta kamera 360 darjah.

Pada aspek keselamatan, semua varian datang dengan enam beg udara, pengawal stabiliti serta cagak ISOFIX pada dua tempat duduk. Varian SEL kemudiannya ditambah dengan pakej SmartSense yang termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan kenderaan dari depan, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, sistem pemerhati tekanan angin tayar, kamera titik buta, amaran pintu buka serta peringatan tempat duduk belakang.

Kuasa penggerak datang daripada enjin empat silinder 2.2 liter diesel turbo yang mampu menghasilkan 177 PS pada 3,800 rpm dan 431 Nm tork antara 1,500 hingga 2,500 rpm. Kotak gear automatik lapan kelajuan diberikan secara standard dan ia datang bersama pemilih gear jenis butang dan pedal penukar gear di stereng. Pada bahagian bawah badannya, Staria baru ini menggunakan suspensi belakang multilink, menggantikan solid axle sebelum ini, dan ia sepatutnya meningkatkan lagi kawalan MPV ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required