Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia – 2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

Pagi ini Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan MPV Hyundai Staria 10-tempat duduk untuk pasaran Malaysia. Ia genap setahun selepas Staria versi tujuh-tempat duduk dilancarkan pada hujung Oktober 2021.

Tidak seperti Staria tujuh-tempat duduk yang hanya ditawarkan dengan satu varian iaitu Premium, berbeza dengan versi 10-tempat duduk yang ditampilkan dengan tiga varian; Lite, Plus dan Max. Untuk pengetahuan, kehadiran Staria di Malaysia adalah bagi menggantikan MPV Grand Starex yang telah digugurkan dari barisan model Hyundai di sini.

Seperti versi tujuh-tempat duduk, Staria 10-tempat duduk ini turut dijanakan oleh enjin 2.2 CRDi diesel yang mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS dan tork 431 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan. Untuk penjimatan yang lebih efisien, pengecas turbo penyejukan-udara mempunyai prestasi pemampat dan roda turbin yang lebih baik untuk prestasi tork kelajuan rendah yang lebih baik. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan, dan MPV ini turut diberikan empat mod pemanduan (Smart, Normal, Eco dan Sport).

Direka untuk keluarga besar atau pun yang miliki perniagaan, Staria 10-tempat duduk ini memiliki dimensi berukuran 1,990 mm tinggi, 1,997 mm lebar, 5,253 mm panjang dengan jarak roda 3,273 mm. MPV ini ditampilkan dengan bentangan tempat duduk 2-3-2-3, sesuai dengan kegunaannya sebagai kenderaan pelbagai-tujuan. Selain itu, ia juga memiliki ruang penyimpanan barangan yang lebih luas serta kedudukan tempat duduknya yang boleh dikonfigrasi mengikut kesesuaian dan keperluan.

Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

Tempat duduknya boleh diposisikan secara sebaris, dilaras secara fleksibel dan boleh dibaringkan sepenuhnya (terutamanya yang ingin membawa barangan kargo yang banyak atau besar). Difahamkan, Staria 10-tempat duduk ini mempunyai kapasiti sehingga 1,024 liter jika tempat duduk penumpang dibaringkan secara rata.

Hyundai turut berkata Staria memiliki ruang kaki yang luas, malahan tingkap sisinya juga paling besar dalam segmennya. Reka bentuk dalamannya yang inovatif diinspirasikan dari kapal persiaran yang menawarkan atmosfera yang unik. Menurut Hyundai lagi, ruang yang luas di dalam kabin juga diinspirasikan dari binaan tradisonal Korea ‘hanok’. Ini termasuklah dengan penampilan tingkap panoramik dan beltline yang rendah yang turut memainkan peranan menampakkan ruang yang lebih luas dan memberikan keselesaan yang lebih jitu buat para penumpang.

Selain itu, kokpit digital sepenuhnya turut diberikan termasuk menampilkan paparan kluster instrumen TFT LCD 10.25-inci (LCD 4.2-inci untuk Lite) dan skrin sesentuh 8-inci untuk sistem navigasi yang ditempatkan pada konsol tengah. Untuk varian tertinggi Max,ia ditambahkan dengan kamera pandangan sekeliling 360-darjah. Malahan Max turut menerima sistem pendingin hawa automatik sepenuhnya dwi-zon untuk penumpang hadapan dan belakang (pendingin hawa manual bagi Lite dan Plus).

Ciri lain yang turut diberikan kesemua varian termasuk kunci pintar dengan butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold, skrin sesentuh lapan-inci dengan fungsi MP3, USB, Bluetooth, Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, Pengesan Suara dan lapan unit USB Port.

Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

Untuk keselesaan buat semua penumpang, ia turut diberikan corong pendingin hawa yang ditempatkan di bahagian siling, merupakan ciri standard untuk kesemua varian. Ciri lain yang turut diberikan ialah pintu gelangsar kuasa untuk varian Plus dan Max, dan tambahan untuk model spesifikasi penuh yang menerima tailgate bukaan kuasa.

Bagi tempat duduk pula, varian Lite diberikan balutan fabrik, manakala Plus pula menerima material kulit separa-Nappa dan kulit penuh Black Nappa bagi Max. Tempat duduk pemandu bagi varian Max juga diberikan fungsi larasan lapan-hala dengan sokongan lumbar.

Untuk rekaan luaran, Staria 10-tempat duduk diberikan lampu utama LED sepenuhnya, dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Untuk lampu belakang termasuk lampu kabus pula, varian Plus dan Max menerima unit LED (unit mentol untuk Lite). Gril hadapannya juga kelihatan lebih besar dengan rekaan berlainan dan dicat sama dengan warna badan tanpa kemasan hitam berkilat seperti Staria tujuh-tempat duduk. Varian Lite diberikan roda aloi 17-inci dengan tayar 215/65/R17, manakala unit 18-inci (dengan tayar profil 235/55 R18) untuk Max.

Bagi aspek keselamatan, sudah tentu ciri yang diberikan setanding dengan harganya. Staria 10-tempat duduk didatangkan dengan enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), VSM, EBD, TCS, Bantuan Mula Mendaki, dan Isofix (tiga unit di barisan kedua) bagi semua varian. Namun untuk varian Max, ia diberikan ciri keselamatan yang lebih maju, Hyundai SmartSense, yang merangkumi Bantuan Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Kawalan Kelajuan Pintar dengan fungsi Stop & Go.

Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

Selain itu, Max juga diberikan Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Kepekaan Pemandu ( (DAW) dan Kepekaan Ketibaan Kenderaan (LVDA). Ciri Pemantauan Pemandangan Sekeliling (SVM) juga ditampilkan pada dua varian tertinggi. Manakala ciri Kepekaan Penumpang Belakang (ROA) dan Amaran Jarak Parkir (PDW) turut diberikan untuk ketiga-tiga varian.

Berkenaan dengan harganya pula, varian Lite ditawarkan bermula RM179,888, manakala Plus pula RM196,888 dan model spesifikasi tertinggi Max berharga RM209,888. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan didatangkan dengan waranti standard dua-tahun atau 50,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Ketiga-tiga varian juga diberikan pilihan untuk mendapatkan waranti lanjutan dengan kos tambahan sebanyak RM10,000 yang merangkumi lima-tahun atau 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan servis percuma tiga-tahun atau 50,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Pilihan warna untuk MPV ini merangkumi Abyss Black Pearl dan Creamy White yang ditawarkan untuk semua tiga varian, sementara Lite ditambah dengan pilihan Shimmering Silver dan Max ditambah dengan pilihan warna Graphite Grey dan Moonlight Blue Pearl. HSDM juga memberikan ciri pilihan termasuk pemijak sisi (standard atau elektronik), infotainmen yang dipasang di bumbung belakang dan kemasan dalaman Alcantara.

GALERI: Hyundai Staria Max 10-tempat duduk

GALERI: Hyundai Staria Lite 10-tempat duduk

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required