India adalah antara negara yang kerap menerima pasaran baru, dan bagi Aerox 155, atau dikenali juga sebagai NVX 155 di Malaysia, ia diberikan bukan sahaja penyegaran warna, tetapi juga penambahan ciri keselamatan kawalan cengkaman (traction control).
Bermakna, Aerox 155 di India menjadi versi paling lengkap bagi model tersebut berbanding yang dipasarkan di negara lain, dan sistem kawalan cengkaman ini menjadi tambahan kepada sistem keselamatan lain seperti ABS pada brek hadapannya yang menggunakan cakera 230 mm. Brek belakang masih cuma menggunakan sistem dram.
Dijual pada harga 142,800 rupee (RM7,686), Aerox 155 dengan sistem kawalan cengkaman di India ini masih adalah lebih murah berbanding MT-15 yang dijual pada harga 164,900 rupee (RM8,876) dan R15 pada 180,900 rupee (RM9,737).
Kelengkapan lain kebanyakannya adalah sama sahaja dengan Aerox/NVX pasaran lain, termasuk lampu hadapan dan belakang LED, poket barangan di hadapan dengan soket kuasa, ruang simpanan bawah tempat duduk 25 liter, rim 14 inci serta sistem sambungan bluetooth Y-Connect. Walaubagaimanapun, model pasaran India ini tidak mendapat sistem kunci pintar dan masih menggunakan penyerap belakang tanpa tabung.
Penggerak Aerox 155 adalah enjin satu silinder 155 cc dengan sistem VVA yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 15 PS pada 8,000 rpm dan tork 13.9 Nm pada 6,500 rpm. Model pasaran India ini juga telah dinaik taraf supaya boleh menerima minyak E20 di sana.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.