Hyundai Creta dibuka tempahan di M’sia – dilengkapi ADAS; Apple Car Play, Android Auto tanpa wayar

Hyundai Creta dibuka tempahan di M’sia – dilengkapi ADAS; Apple Car Play, Android Auto tanpa wayar

SUV segmen-B Hyundai Creta bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Perkara ini disahkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) yang mengumumkan tempahan bagi Creta telah mula dibuka di seluruh rangkaian pengedar Hyundai. Malah tempahan juga boleh dilakukan secara dalam talian menerusi platform Cl!cktoBuy.

“Dengan begitu banyak ruang praktikal yang ditawarkan, populariti SUV ternyata kian meningkat, baik di peringkat global mahu pun di Malaysia. Hyundai Creta menggambarkan kesempurnaan, dan kami tidak sabar untuk memberi rakyat Malaysia lebih banyak pilihan untuk SUV dan pengenalannya juga tidak lama lagi,” kata Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors, Jeffrey Gan.

Manakala Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung pula berkata, “Hyundai Creta menyasarkan golongan muda dan yang meminati gabungan reka bentuk kontemporari, ketersambungan teknologi dan ciri keselamatan aktif yang komprehensif. Sesuai untuk pasaran Asia-Pasifik, SUV segmen-B ini turut menawarkan praktikaliti, ruang dan kemudahan yang disesuaikan dengan gaya hidup aktif.”

Hyundai Creta yang pernah dikesan diuji di jalanraya di Malaysia

Walau pun belum memaklumkan bilakah Creta bakal dilancarkan di Malaysia, namun HSDM mendedahkan sedikit perincian mengenai SUV pesaing Honda HR-V ini. Creta diberikan rekaan yang berani dan bergaya, terutamanya pada wajah hadapannya yang nampak unik dengan Parametric Jewel, di mana lampu nyalaan siang LED ‘tersembunyi’ di dalam grilnya. Pada waktu malam, lampu nyalaan siang digabungkan dengan lampu hadapan projektor LED yang dipasang pada bampar untuk memberikan kesan visual yang lebih menyerlah.

Di dalamnya, dengan pelbagai jenis teknologi yang ditampilkan, ia menambahkan lagi keselesaan, dan kemudahan, termasuk menampilkan cluster TFT LCD, skrin sesentuh infotainmen lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, serta empat pilihan mod pemanduan untuk memperbanyakkan lagi karakter Creta.

Bagi aspek keselamatan, Creta didatangkan dengan ciri standard termasuk enam beg udara dan set kelengkakan Hyundai SmartSense bagi keselamatan aktif yang merangkumi Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Ikut Lorong, Kepekaan Ketibaan Kenderaan, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Amaran Keluar Selamat dan Bantuan Lampu Tinggi. Dengan adanya ciri keselamatan ini membolehkan Creta menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP.

Hyundai Creta dibuka tempahan di M’sia – dilengkapi ADAS; Apple Car Play, Android Auto tanpa wayar

Creta telah pun dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu yang menawarkan empat varian serta dijual pada harga antara RM81k hingga RM116k. Ia juga telah dilancarkan di Thailand dan dijual pada harga 949,000 baht (RM115,749) sehingga 999,000 baht (RM121,848).

Untuk pengetahuan anda, SUV ini diasaskan dari platform yang sama dengan SUV segmen-B Kia Seltos, dengan dimensi 4,315 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,630 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Walaupun ia masih dikelaskan dalam model segmen-B, Creta berada satu anak tangga di bawah Kona kerana dihasilkan untuk pasaran seperti ASEAN dan India berbanding Kona yang disasarkan untuk pasaran Eropah.

Namun dari segi saiz, Creta masih dilihat sedikit lebih besar kerana Kona hanya menampilkan ukuran 4,215 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,575 mm tinggi dan jarak roda 2,600 mm. Ia juga jelas lebih besar dari Ativa kerana SUV segmen-B Perodua itu hanya tampil dengan dimensi 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda 2,525 mm.

Bagi pasaran Indonesia dan Thailand, Creta menerima enjin 1.5 liter tanpa bantuan turbo yang menghasilkan 115 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 144 Nm pada 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT), iaitu transmisi CVT Hyundai yang menggunakan rantai bagi menggantikan tali sawat metalik.

Hyundai Kona sudah jelas menjadi pesaing terus kepada Proton X50 di Malaysia. Untuk Creta pula ia mungkin boleh menjadi alternatif kepada Perodua Ativa, namun dilihat agak sukar untuk bersaing jika dilihat pada harga dan juga kelengkapan yang ditawarkan.

Tetapi ia mungkin berpeluang untuk ‘merebut’ pasaran Honda HR-V dalam varian paling asas 1.5 S kerana model berkenaan hanya menerima enjin 1.5 liter i-VTEC tanpa turbo dan dijual pada harga bermula RM114,800. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Creta, kita nantikan pelancarannya tidak lama lagi.

GALERI: Hyundai Creta facelift pasaran Indonesia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Bhond on Apr 14, 2023 at 10:07 pm

    Any information on the price? It’s still xxx, xxx on the website

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required