Nissan Almera facelift 2023 dilancarkan di Thailand – bermula RM73k, rupa lebih lembut, masih 1.0L Turbo

Nissan Almera facelift 2023 dilancarkan di Thailand – bermula RM73k, rupa lebih lembut, masih 1.0L Turbo

Selepas muncul di Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu, Nissan Almera N18 dalam versi facelift terbaharu sudah pun sampai ke rantau ASEAN – seperti biasa, ia terlebih dahulu dilancarkan di pasaran Thailand. Penyegaran kali ini melibatkan sedikit perubahan dari segi rupa dan juga sedikit peningkatan dibuat pada perincian.

Di Thailand, Almera 2023 ini ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan varian asas Almera E dijual pada harga THB 549,000 (RM72,861), sehingga varian paling lengkap Almera VL dijual pada harga THB 699,000 (RM92,952).

Seperti yang anda boleh lihat, perubahan paling ketara adalah dengan ‘pembedahan plastik’ yang dibuat pada muka. Lampu LED utama dengan jalur lampu nyalaan yang tajam dari versi sebelumnya masih dikekalkan, namun gril V-Motion dengan elemen sarang lebah ala-GT-R R35 sebelum ini telah diganti dengan rekaan V-Motion baharu yang lebih mirip gril MPV Nissan Serena C28.

Berbanding bahagian tengah yang yang lebih sibuk, bahagian sisi bampar baharu ini pula direka dengan permukaan lebih ringkas berbanding sebelumnya. Lampu kabus yang melintang pada sebelah bawah nampak seakan sama dengan unit dari versi sebelum facelift.

Walau bagaimanapun, rekaan pada sebelah sisi dan belakang nampaknya masih lagi sama termasuk unit rim aloi 15-inci, grafik lampu belakang dan juga rupa untuk kemasan diffuser pada bawah bampar. Secara keseluruhan rekaan baharu ini menjadikan rupa Almera N18 berkenaan lebih elegen dan ‘lembut’, kurang imej garang pada versi sebelum facelift.

Seiring dengan rupanya, kini tiada lagi warna Monarch Orange ditawarkan, dan ia digantikan dengan warna hero baharu Gray Sky Pearl. Pembeli turut ditawarkan dengan pilihan tema dua-tona untuk warna terpilih yang memberikan warna hitam berkilat pada bumbung.

Nissan Almera facelift 2023 dilancarkan di Thailand – bermula RM73k, rupa lebih lembut, masih 1.0L Turbo

Juga tiada sebarang perubahan besar dalam dilihat pada sebelah kabin di mana Almera masih diberikan rupa yang sama pada papan pemuka dan bahagian lain, kecuali kemasan-kemasan berwarna krim sebelum ini telah diubah dengan warna biru.

Walau bagaimanapun, Almera facelift ini menerima lebih banyak menerima perubahan pada perincian. Ia kini sudahpun ditawarkan dengan servis terhubung NissanConnect – ia datang dengan aplikasi yang membolehkan pelbagai fungsi boleh dibuat secara kawalan jauh seperti kunci pintu, penghidup enjin, hon, lampu dan juga fungsi Car Finder bagi membantu pemilik mengetahui di mana kereta mereka.

Ia juga datang dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar serta sistem infotainmen NissanConnect menampilkan skrin lapan-inci, memberikan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, arahan suara, serta sistem navigasi menggunakan Google Maps.

Almera facelift pasaran Thai ini juga diberikan tempat duduk premium ‘Quore Modure’ yang tidak menyerap atau memantulkan haba bagi memberikan lebih keselesaan.

Untuk keselamatan, model ini menerima sistem keselamatan asas seperti Kawalan Dinamik Kenderaan, sistem brek ABS, EBD dan BA, bantuan mula mendaki, dan juga enam beg udara.

Sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Nissan 360 Safety Shield juga ditawarkan, datang dengan fungsi seperti amaran lintasan trafik belakang, pengesan objek bergerak, amaran pelanggaran pintar hadapan, amaran titik buta, pemantau sekeliling pintar, bantuan lampu tinggi dan juga amaran keluar laluan.

Tiada perubahan dibuat pada aspek mekanikal Almera facelift 2023 ini. Ia masih dijana oleh enjin HRA0 (dikenali dengan kod HR10DET di Malaysia) 1.0 liter tiga-silinder turbo yang menghasilkan 100 PS dan tork maksima 153 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu roda hadapan.

Almera facelift 2023 ini diberikan pelbagai aksesori asli yang terdiri dari Iconic Package, Ignite Package dan Ultimate Package. Pelanggan yang memilih Iconic pakej akan menerima gril hadapan berwarna hitam, antena sirip yu pada bumbung, set pedal aloi, karpet lantai, dan kick plate.

Manakala Ignite Package pula datang dengan lips pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, dan juga spoiler ekor itik berwarna hitam berkilat. Bagi pembeli yang memilih Ultimate Package pula akan menerima semua perincian pada Iconic dan Ignite Package.

Bagi Malaysia, Almera N18 ini mula dijual secara rasmi pada pasaran tempatan pada lewat 2020, iaitu sekitar setahun ia muncul di Thailand. Jadi mungkin kita akan ‘merasa’ Almera facelift ini hanya pada tahun hadapan? Apa pun anda boleh baca dahulu laporan pandu uji untuk Almera N18 sedia ada pada PAUTAN INI.

GALERI: Nissan Almera N18 facelift 2023 pasaran Thailand

GALERI: Aksesori asli Nissan Almera N18 facelift 2023 pasaran Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required