PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup hensem, prestasi power, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup <em>hensem</em>, prestasi <em>power</em>, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

Penulis masih ingat, ketika kami menyiarkan laporan-laporan awal berkenaan Nissan Almera generasi terkini iaitu N18 selepas ia diperkenalkan buat pertama kali diperingkat global pada April 2019, ramai yang memberikan komen positif terhadap model berkenaan.

Maklumlah, Almera generasi sebelum itu (N17) hadir dengan rupa yang pelik sehingga ada yang menyifatkan sukar untuk membezakan bahagian hadapan dan belakangnya, manakala model generasi baharu ini pula tampil sebagai sebuah sedan yang cukup sporty dengan perbezaan antara kedua-duanya bagai langit dengan bumi.

Model ini akhirnya rasmi dijual pada pasaran Malaysia pada lewat 2020. Namun setelah sekitar tiga tahun dalam pasaran, masih sukar untuk kita lihat kelibat Almera ini di atas jalan raya, berbanding seteru-seteru utamanya iaitu Honda City dan Toyota Vios. Apa yang tidak kena? Jadi kami ambil sebuah Almera ini untuk dipandu uji.

PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup <em>hensem</em>, prestasi <em>power</em>, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

Almera generasi terkini ini sebenarnya boleh dikatakan hampir tiada kaitan dengan Almera generasi sebelumnya. Ia bukan dibina berasaskan model lama yang ditambah baik, sebaliknya menggunakan platfom modular CMF-B yang dibangunkan oleh Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, dan ia turut digunakan oleh Renault Clio dan Renault Captur.

Dengan kerangka baharu ini Almera dihasilkan dengan dimensi panjang 4,495 mm, lebar 1,740 mm, tinggi 1,460 mm serta jarak roda 2,620 mm. Jadi berbanding model generasi sebelumnya, ia kini 70 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar, 50 mm lebih rendah, dan jarak roda 20 mm lebih jauh.

Dari dimensi ini sahaja kita sudah boleh tengok bahawa Almera generasi baharu berkenaan menampilkan rupa lebih lebar dan rendah yang menghasilkan imej lebih sporty, berbanding model lama yang “kurus dan tinggi” menyumbang kepada rupa pelik sedan berkenaan.

Tak cukup dengan itu, tiada lagi lampu hadapan dan belakang yang direka dengan elemen menegak (ketika dilancarkan di Malaysia pada 2012 dahulu Nissan menyatakan rekaan tersebut adalah diinspirasikan dari Nissan GT-R R35), dan badan yang sudah sedia lebar ini menerima lampu dengan rekaan melintang bersama elemen-elemen “boomerang” yang menyerlahkan lagi stance dan rupa lebih garang.

Unit yang kami terima ini turut dipadankan dengan kit penggayaan dari Tomei – bagi yang biasa dengan sejarah sukan permotoran Nissan, Tomei sudahpun dikenali menghasilkan peralatan prestasi dan perlumbaan untuk Nissan sejak zaman Datsun dahulu.

Kit badan Tomei untuk Almera ini terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, belakang dan skirt sisi kemasan dua tona. Kami menerima Almera dalam varian VLT yang secara standard sudahpun diberikan lid spoiler pada but belakang. Namun untuk kereta demo ini, ia turut dipadankan dengan spoiler GT Tomei yang lebih besar bagi menggantikan spoiler asal berkenaan.

Turut diberikan bersama kit pengayaan Tomei ini termasuk pelindung pembuka untuk keempat-empat pintu, kemasan kicking plate pada bendul pintu, visor cermin pintu, filem penapis haba dan juga set pedal sports yang diperbuat dari bahan aloi.

Secara keseluruhan, pakej Tomei ini menjadikan rupa Almera yang sudah sedia agresif tersebut bertambah agresif. Namun untuk melengkapkan rupanya, penulis berpendapat anda perlu mencari rim dengan diameter lebih besar dan lebih lebar bersama tayar yang lebih berprofil rendah berbanding set rim aloi 16-inci bersama tayar 205/55R16 yang dibekalkan secara standard ini.

Masuk ke kabin, sekali lagi anda dihidangkan dengan perbezaan seperti siang dan malam antara Almera baharu ini dengan model genarasi sebelumnya. Tiada lagi papan pemuka dengan elemen menegak pada papan pemuka, dan ia digantikan papan pemuka dengan rekaan lebih mendatar yang lebih rendah seakan kereta sport.

PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup <em>hensem</em>, prestasi <em>power</em>, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

Malah posisi tempat duduk pemandu dari jenis semi-bucket juga direka sangat rendah seperti Honda Civic (penulis rasa ini adalah antara tempat duduk paling rendah pernah ditawarkan untuk sebuah sedan segmen-B), membuatkan pusat graviti kereta ini dirasa lebih rendah, sesuai dengan nama kerusi “Zero Gravity” yang diberikan.

Tidak cukup dengan itu, Almera N18 turut diberikan roda stereng rata di bawah secara standard dengan varian VLP dan VLP turut dibalut dengan kulit. Jadi dengan duduk di tempat pemandu dan memegang roda stereng sahaja sudah membuatkan anda bersemangat untuk memandu, dan set pedal aloi Tomei yang dibekalkan pada unit ini menambah lagi rasa semangat berkenaan!

Paparan instrumen untuk Almera ini hadir dalam bentuk separa digital dan separa analog (hanya untuk varian VLP dan VLT) – sebelah kiri adalah skrin berwarna tujuh inci yang memberikan paparan meter rpm dan juga maklumat lain seperti status sistem bantuan pemanduan dan sebagainya, manakala di kanan adalah meter kelajuan konvensional. Untuk sebuah model segmen-B, ciri ini sudah cukup canggih.

Varian VLP dan VLT juga menerima upholsteri kulit bukan sahaja pada tempat duduk, malah material berkenaan turut membaluti panel kemasan melintang pada papan pemuka bagi memberikan rupa sebuah model yang lebih mahal. Walau bagaimanapun, rasa kulit berkenaan tidak semewah rupanya kerana ia dari jenis yang sedikit keras.

Dua varian paling tinggi Almera ini juga menerima sistem infotainmen Nissan Connect dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama sokongan Apple CarPlay, dan bunyinya disalurkan kepada enam pembesar suara. Namun agak malang bagi penulis yang hanya memiliki telefon pintar Android, skrin besar berkenaan hampir-hampir tidak berguna.

Selain dari platform dan juga rupa, Almera N18 ini juga menerima unit rangkaian kuasa yang jauh berbeza dari model generasi N17 sebelum ini. Jika sebelum ini Almera diberikan enjin NA 1.5 liter empat silinder, generasi N18 ini digerakkan oleh enjin luar dari norma biasa.

PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup <em>hensem</em>, prestasi <em>power</em>, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

Enjin tersebut dikenali dengan kod HRA0, iaitu unit 1.0 liter tiga silinder yang disuap dengan pengecas turbo, menghasilkan 100 PS pada takat 5,000 rpm, dan tork puncak 152 Nm bermula seawal 2,400 hingga 4,000 rpm. Jadi berbanding enjin HR15DE pada Almera N17, enjin turbo ini menghasilkan kuasa 2 PS lebih rendah tetapi dibekalkan dengan tork puncak 13 Nm lebih tinggi serta dicapai jauh lebih cepat (139 Nm pada 4,000 rpm pada enjin lama).

Menurut Nissan, enjin ini menerima teknologi Mirror Bore Coating yang sama seperti pada enjin VR38DETT Nissan GT-R R35 pada silinder bagi membantu mengurangkan geseran antara gegelang omboh dan dinding silinder, seterusnya akan meningkatkan ketahanan dan pengurusan suhu yang lebih baik.

Dengan enjin baharu ini, Almera turut menerima kotak gear CVT yang lebih moden berbanding kotak gear automatik empat kelajuan 4AT konvensional terdahulu. Kotak gear CVT X-Tronic tersebut turut menampilkan teknologi D-Step Logic yang memberikan rasa seakan gear ditukar seperti kotak gear AT, namun Nissan tidak menyatakan berapa kelajuan maya yang diberikan.

PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup <em>hensem</em>, prestasi <em>power</em>, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

Tentu yang ramai bertanya, tak bergegar ke enjin tiga-silinder ni? Nissan telah melakukan tugas dengan baik untuk memberikan kadar NVH yang baik kepada Almera baharu ini. Bunyi enjin yang masuk ke dalam kabin sangat-sangat minimal, dan tidak terasa langsung gegaran tiga-silinder berkenaan. Namun sekiranya enjin dalam kelajuan pepura dan gear berada dalam kedudukan ‘D’, kadang-kala akan rasa sedikit gegaran dari enjin.

Sebaik pedal pendikit ditekan, anda akan dapat rasakan tujah boost turbo yang memberikan tork tinggi pada kadar rpm yang rendah. Ini memberikan sensasi pecutan seolah-olah anda memandu sebuah enjin NA dengan sesaran 1.6 liter. Di tambah pula dengan rasa tukaran gear yang memang seakan kotak gear AT, ia akan sentiasa membuatkan anda tersenyum.

Walau bagaimanapun, tujahan berkenaan hanya anda akan dapat rasa sekiranya menekan pedal pendikit sekitar 50-70%. Jika pedal pendikit dikerah 100% lebih-lebih lagi jarum meter rpm berada pada takat 4,000 ke atas, anda akan dapat rasakan kuasanya seakan ‘habis’ dan tiada tujahan lagi diberikan. Ketika ini anda kena terima hakikat bahawa enjin 1.0 liter berkenaan hanya menghasilkan 100 PS, dan kesemuanya sudah ‘habis dipakai’ pada rpm rendah.

PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup <em>hensem</em>, prestasi <em>power</em>, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

Namun ini tidak membuatkan enjin tersebut mengaum ketika memandu dengan kelajuan tinggi di atas lebuhraya. Ia masih relaks dengan hanya berputar sekitar 2,500 rpm pada kelajuan malar 140 km/h.

Satu lagi perkara yang penulis tidak gemar, ketika pemandu mahukan gear diturunkan lebih cepat dan rpm kekal pada kelajuan tinggi dalam tempoh lebih lama dengan mengalihkan tombol gear ke posisi ‘L’, kotak gear ini tidak lagi akan memberikan tukaran gear maya, dan ia akan mengaum seperti kotak gear CVT biasa. Ya, dari segi teori ia memang lebih efisien, tetapi dari aspek keseronokan memandu ia agak terbantut.

Penggunaan bahan api pada enjin turbo ini juga agak baik – setangki penuh 35 liter petrol yang dibekalkan, membolehkan penulis bergerak sejauh 450 km iaitu sekitar 8 L/100km untuk pemanduan 40% jalan bandar, 40% jalan kampung dan 20% lebuhraya. Pemanduan juga tidaklah sentiasa ‘skema’, banyak kali juga enjin berkenaan dikerah semahunya.

PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup <em>hensem</em>, prestasi <em>power</em>, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

Penulis masih ingat pada Almera terdahulu, ia adalah antara sedan segmen-B dengan pengendalian paling teruk – suspensinya terasa seperti ‘sampan’ dan amat mudah berpusing sekiranya dipandu laju pada selekoh atau menukar lorong secara tiba-tiba.

Dengan platform baharu ini, Almera tiba-tiba menjadi model dengan pengendalian antara yang paling baik dalam liga sedan segmen-B. Kena dengan enjinnya yang lebih responsif, suspensi pada Almera ini sangat seronok jika dilayan di kawasan jalan berliku.

Sterengnya agak mudah untuk diagak, dan ia agak lincah untuk menukar arah. Dengan talaan penyerap hentak dan gegelung spring yang masih selesa, daya olengan badan pada Almera ini masih terasa, tetapi ia masih boleh diterima dan tidak terasa seperti ‘mahu terbalik’ sekiranya dihambat laju masuk ke selekoh.

Sepanjang empat hari tiga malam menjadi ‘pemilik’ kepada Nissan Almera N18 ini, tiada langsung isu besar yang saya rasa boleh menjadi sebab mengapa model ini tidak patut dibeli. Malah dengan rupa yang paling hensem di antara sedan segmen-B lain, enjin yang cukup power dalam masa yang sama jimat bahan api, serta pengendalian yang agak baik, Almera sepatutnya menjadi antara model yang paling laris buat masa sekarang.

Namun ini hanya pengalaman tidak sampai seminggu, dan faktor-faktor lain seperti servis selepas jualan, ketahanan dan sebagainya yang tidak dapat dirasai oleh penulis turut akan diambil oleh pengguna ketika memilih untuk membeli kereta baharu. Mungkin salah satu faktor jangka masa panjang berkenaan menyebabkan Nissan Almera N18 ini tidak popular?

Apa pun bagi mereka yang tertarik dengan Nissan Almera ini, ia kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM83,888 bagi varian paling rendah VL, dan RM89,888 untuk varian pertengahan VLP. Manakala model varian tertinggi VLT seperti yang diuji oleh penulis ini pula dijual pada harga RM95,888.

Untuk lebih perincian berkenaan perbezaan setiap varian anda boleh semak pada PAUTAN INI, dan jika anda berminat dengan aksesori-aksesori Tomei, perincian berkenaan harganya boleh anda lihat pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Roslan on Mar 03, 2023 at 2:03 pm

    Kete bagus, pengedar dia yg tk bagus, part harga yahudi. Compare harga brg malaysia ngn thailand terang2 markup smpai lebih 50%. Nissan bagus, yg bwk masuk nk untung lebih yg tk bagus.

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 0
  • Peminat ALMERA on Mar 04, 2023 at 12:54 pm

    Mungkin disebabkan harga yg mahal tetapi enjin yg kecil 1.0T serta enjin 3 silinder yg org ramai tahu akan menghasilkan gegaran yg teruk di masa hadapan menyebabkan pengguna berfikir panjang untuk memilikinya berbanding Almera generasi sebelumnya walaupun agak tiada rupa dan agak teruk handlingnya tapi 3 faktor utama di atas tidak ada pada kereta itu (harga mampu milik majoriti rakyat Malaysia, enjin 1.5na, 4 silinder) lebih meyakinkan bagi pengunaan jangka masa panjang (lebih 9 tahun)

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • Sad, there’s no English written review from paultan.org on the Almera.

    As for the Almera, I’m none the wiser why it’s sales aren’t great except that maybe it’s because Nissan in Malaysia misses out of several segments Toyota and Honda participate in. (relates to brand awareness)

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 4
  • silap pegi letak 1.0 utk price tag mcmtu…walau ada tag turbo tp hakikatnya almera ni lemau, bila speed dah cecah 100 ke atas trus rse enjin ni mcm kena paksa…baik nissan sumbat je enjin 1.5 utk sedan ni…klu price tag mcm ativa 1.0 boleh lah nissan nk bodoh2kan pembeli dgn enjin 1.0 turbo tu sbb yg beli ativa pun kebanyakan manusia yg baru kenal kereta mcm kera dpt bunga dgn 1.0 turbo tu hahahaha…. price tag more than 80k diorg cerdik sikit berfikir…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 3
 

Add a comment

required

required