Sebagai tambahan kepada Haval H6, Great Wall Motor Malaysia juga telah mengeluarkan spesifikasi awal untuk trak pikap GWM Cannon yang akan masuk ke negara kita tahun ini. Model ini akan ditawarkan dalam dua versi dual-cab, termasuk P12 yang lebih memberi fokus kepada penumpang, manakala P11 lebih kepada tujuan komersial.
P12 dan P11 berkongsi ruang kargo belakang yang sama, berukuran 1,520 mm panjang, 1,520 mm lebar dan 540 mm tinggi. Begitu juga dengan jarak roda, iaitu 3,230 mm, tetapi ukuran badan antara keduanya adalah berbeza.
Melihat kepada lembaran spesifikasi, P12 mencatat ukuran panjang 5,410 mm, lebar 1,934 mm dan tinggi 1,886 mm, manakala P11 mencatat panjang 5,425 mm, lebar 1,883 mm dan tinggi 1,882 mm. Anda boleh membezakan antara dua versi ini melalui bahagian hadapannya, di mana P12 mempunyai banyak kemasan krom pada gril serta lampu yang khas untuknya.
Sementara itu, gril P11 pula lebih biasa, dan bahagian dalamnya menampilkan rekaan berbentuk berlian di sekeliling logo besar di tengah. Lampu utama P11 juga mempunyai sedikit lekuk di bahagian bawahnya dan tidak mempunyai DRL seperti P12. Begitu juga dengan bahagian belakang, di mana lampu P11 adalah lebih ringkas berbanding P12.
Pada bahagian dalam, corong pendingin hawa pada papan pemuka P12 menggunakan bentuk jalur menegak, sementara pada P11 bentuknya adalah berlainan. Konsol tengah pada P12 juga dibuat lebih cantik dengan kemasan yang berkilat sesuai dengan kedudukannya sebagai versi yang lebih tinggi.
Untuk enjin, kedua-dua versi Cannon ini digerakkan oleh enjin diesel turbo empat silinder 2.0 liter yang mampu menghasilkan sehingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 400 Nm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF dan sistem pacuan empat roda.
Tetapan suspensi juga adalah sama antara dua versi ini, dengan di bahagian hadapan menggunakan double wishbone manakala di belakang menggunakan spring dedaun. Walaubagaimanapun, P12 mendapat stereng kuasa elektrik dan rim 18 inci (tayar 265/60), berbanding P11 yang cuma menggunakan stereng hidraulik dan rim 17 inci (tayar 245/70).
Berkenaan kelengkapan, P12 datang dengan differential boleh kunci, beberapa mod pemanduan, lampu utama LED automatik, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, pemijak kaki belakang, balutan kulit, tempat duduk larasan kuasa, penukar gear di stereng, panel instrumen digital tujuh inci, skrin sesentuh sembilan inci (dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), pendingin hawa automatik (dengan corong di belakang) serta sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin.
Pada bahagian keselamatan dan bantuan pemandu, P12 dilengkapi dengan enam beg udara, kamera 360 darjah, brek parkir elektronik, sistem pengenalan tanda jalan dan ciri autonomous Level 2 yang termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centring Assist dan Autonomous Emergency Braking (AEB).
GALERI: GWM Cannon P11
GALERI: GWM Cannon P12
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.