GWM Haval H6 – spesifikasi awal model pasaran Malaysia didedah, hibrid 1.5T, 243 PS, transmisi DHT

GWM Haval H6 – spesifikasi awal model pasaran Malaysia didedah, hibrid 1.5T, 243 PS, transmisi DHT

Sebelum pelancaran rasmi Haval H6 Hybrid dibuat hujung tahun ini, Great Wall Motor Malaysia telah mendedahkan spesifikasi awal untuk SUV tersebut. Model pandu uji yang anda lihat ini bukanlah menggunakan spesifikasi sebenar model yang akan dipasarkan di Malaysia, tetapi wakil daripada syarikat itu memberitahu, spesifikasi yang dinyatakan tidak akan berbeza jauh dengan apa yang akan diterima oleh pelanggan Malaysia.

Mencatat ukuran panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm, tinggi 1,724 mm dan jarak roda 2,738 mm, H6 akan bersaing dengan SUV segmen C seperti Honda CR-V, Proton X70 dan Mazda CX-5, tetapi mempunyai jarak roda lebih panjang dengan mengatasi Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

Di bawah bonetnya terdapat enjin petrol empat silinder 1.5 liter berkuasa 167 PS dan 285 Nm, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan serta motor elektrik 177 PS (130 kW) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan tork 530 Nm.

Enjin hibrid series-parallel pacuan roda hadapan ini juga menggunakan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan keluaran GWM sendiri, dan bukannya klac berkembar tujuh kelajuan seperti yang dilaporkan sebelum ini. Pada kelajuan rendah, motor elektrik akan menjadi penggerak utama, sementara enjin akan membantu pada kelajuan yang lebih tinggi – bergantung kepada keadaan.

Melihat kepada casis, H6 menggunakan penyerap MacPherson di hadapan dan tetapan multi-link di belakang. SUV ini juga datang dengan stereng kuasa serta rim bersaiz 19 inci yang dibalut tayar 225/55.

Berkenaan kelengkapan, H6 di dalam gambar mempunyai lampu utama LED matriks, lampu belakang LED, tempat duduk hadapan larasan kuasa, panel instrumen digital 10.25 inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.3 inci, lampu suasana, bumbung suria, enam beg udara, kamera 360 darjah dan sistem bantuan letak kereta.

Untuk sistem bantuan pemandu ADAS pula, H6 dilengkapi dengan sensor ultrasonik, kamera dan juga radar untuk memberikan fungsi seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, Rear Cross Traffic Alert, Lane Change Assist dan Wisdom Dodge System yang boleh menjaga jarak selamat daripada kenderaan yang besar.

H6 Hybrid akan mula dijual di Malaysia pada tahun 2023, dengan pelancaran rasminya dijangka berlaku pada suku keempat tahun ini. Setakat ini kita masih belum ada harga jualannya, tetapi melihat kepada spesifikasi, adakah anda rasa ia menarik jika dibandingkan dengan pesaing lain?

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required