Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming mengesahkan pihaknya sedang memuktamadkan pekeliling berkaitan Prosedur Permohonan dan Kelulusan Pemajuan Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV).
Katanya, pekeliling itu dirangka bagi menerangkan dua aspek utama iaitu tatacara dan prosedur permohonan kelulusan pemasangan serta garis panduan perancangan penyediaan stesen pengecasan EV di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kemudian ia akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang dijangka diadakan pada Jun depan, laporan Berita Harian
“Tatacara permohonan membabitkan proses memudah cara pemasangan stesen pengecasan EV dari segi prosedur permohonan dan tempoh kelulusan PBT. Garis panduan perancangan turut menggariskan keperluan minimum penyediaan tempat letak kenderaan bagi stesen pengecasan EV bagi semua jenis pembangunan sedia ada dan baharu, termasuk di perumahan berbilang tingkat atau berkepadatan tinggi.
“Pekeliling ini seterusnya akan diterima pakai agensi pelaksana di peringkat Persekutuan, negeri, PBT dan pemain industri, sekali gus menggalakkan penggunaan EV serta merancakkan usaha pengurangan karbon,” katanya dalam jawapan bertulis bagi soalan yang dikemukakan oleh Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai perancangan mewajibkan pemasangan alat pengecas di kediaman bertingkat atau berkepadatan tinggi.
Sebagai maklumbalas mengenai jawapan tersebut, Chean Chung berharap aspek keselamatan dan risiko kebakaran wajar disesuaikan dengan keperluan teknologi semasa.
Katanya, aspek berkenaan perlu dipertimbangkan memandangkan kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikatakan sukar diterima bagi alat atau stesen pengecasan di dalam bangunan, terutama di tempat letak kenderaan bawah tanah.
“Saya juga meminta KPKT segera menyelaraskan garis panduan atau tatacara pihak JBPM supaya proses adaptasi iklim sebagai agenda utama negara tidak diperlahankan. Saya mengalu-alukan pekeliling EV yang bakal diluluskan pada Jun depan. Ini penting bagi memacu pertumbuhan dan pemilikan EV, selain membantu menyahkarbonkan ekonomi negara,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.