Mungkin ada yang tertanya-tanya, model hatchback apa yang memakai trade plate ini? Dikesan di Pulau Pinang oleh Farizul, ini merupakan model DS4 generasi semasa, yang pertama kali didedahkan oleh Citroen pada Februari 2021.
DS4 generasi kedua ini diperkenalkan tiga tahun selepas pelancaran model asalnya – yang sebelum ini dikenali sebagai Citroen DS4 – yang tidak lagi dikeluarkan. Hatchback lima pintu ini mendapat banyak inspirasi daripada model konsep Aero Sport Lounge ini direka untuk menarik pembeli crossover dan juga hatchback.
Jika dibandingkan dengan model generasi sebelumnya, DS4 baru ini lebih panjang dan rendah, dengan ukuran dimensi 4.4 meter panjang, 1.83 meter lebar dan 1.47 meter tinggi. Ia dibina atas Efficient Modular Platform (EMP2) versi dipertingkat, yang dapat membenarkan ia menggunakan tambahan penggerak elektrik, binaan lebih ringan serta menepati keperluan keselamatan terkini.
Imej luarannya kelihatan ranggi dengan kehadiran ciri kelengkapan termasuk lampu nyalaan siang LED yang menyerlah, pemegang pintu jenis flush dan roda aloi yang besar dengan penawaran saiz 19- dan 20-inci.
Untuk enjin jenis pembakaran dalaman, DS4 disediakan dengan pilihan unit petrol PureTech 130 hp, 180 hp dan 225 hp, serta unit diesel BlueHDi 130 hp, sementara untuk plug-in hybrid pula ia menggunakan gabungan enjin petrol 180 hp bersama motor elektrik 110 hp untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 225 hp. Semua penggerak ini datang dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.
Jadi apa yang DS4 buat di sini? Mungkin anda terlepas info ini. Untuk pengetahuan anda, Stellantis mempunyai hab ASEAN di Gurun, Kedah selepas ia mengambil alih kilang pengeluarannya dari Naza pada tahun 2021.
Sejak pengambil alihan tersebut, kita telah beberapa kali terjumpa beberapa model kenderaan yang sedang diuji di jalan raya kita, termasuklah Opel Mokka, Citroen C4 dan sedan DS9. Mungkin sekadar ujian cuaca panas dan penggumpulan data sahaja. Barangkali.
Bermaz yang kini mengendalikan jenama Peugeot (selain Kia da Mazda) di Malaysia, namun tidak mengambil alih jenama Citroen dan DS. Apa pun, jika model ini diperkenalkan di pasaran Malaysia, adakah ia akan menerima sambutan yang menggalakkan? Kongsikan pendapat anda bersama kami.
GALERI: DS4 2021
- DS4
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.