Daihatsu Terios facelift 2023 dilancar untuk Indonesia

Daihatsu Terios facelift 2023 dilancar untuk Indonesia

Model kembar kepada Perodua Aruz dan Toyota Rush, iaitu Daihatsu Terios kini diberikan facelift untuk pasaran Indonesia. MPV tujuh tempat duduk ini pertama kali diperkenalkan di negara itu pada tahun 2017 dan pembaharuan ini sememangnya ditunggu-tunggu.

Memandangkan acara pelancarannya baru sahaja berlaku, gambar yang kami sertakan ini adalah tangkap layar daripada siaran langsung yang dibuat, dan melaluinya anda boleh melihat ia sekarang menggunakan gril atas lebih nipis serta lampu dengan bahagian dalam smoked. Pembahagian antara lapisan gril di tengah juga dijadikan lebih jelas manakala bahagian bawah menggunakan warna perak.

Bersama bampar baru ini, perumah untuk lampu kabus juga telah dibentukkan semula dan diletakkan betul-betul di bucu, dengan jalur LED menegak di tepi lampu kabus berbentuk bulat. Bagi varian R, ia mendapat jalur warna merah pada bahagian gril atas, serta kemasan plastik hitam dan krom di bahagian tepi kenderaan.

Daihatsu Terios facelift 2023 dilancar untuk Indonesia

Rekaan rim juga adalah baru – bersaiz 17 inci dengan warna dua tona pada varian R Custom, dan 17 inci gunmetal bagi pakej ADS – boleh ditambah kepada varian asas X dan R (pertengahan). Pakej ADS ini boleh dianggap sebagai pakej kemasan krom dan rim seperti GearUp oleh Perodua. Ia boleh dikenali secara mudah dengan melihat gril atas berwarna krom serta rim kelabu.

Pada bahagian dalam, Terios sekarang datang dengan tema serba gelap – tempat duduk kombinasi kulit, panel pintu serta lapik bumbung hitam. Tempat duduknya mempunyai jalur merah di bahagian tengah dan beberapa bahagian lain turut menggunakan jahitan merah bagi menampakkan ciri sporty. Varian R Custom turut mendapat pelapik lembut di bahagian papan pemuka bertentangan penumpang hadapan, serta perehat tangan di pintu. Varian ini juga datang dengan pengecas tanpa wayar serta fungsi mirroring kepada telefon.

Untuk ciri keselamatan, Terios facelift pasaran Indonesia kini datang dengan enam beg udara dan VSC masih dikekalkan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2021. Secara keseluruhannya ada pilihan enam warna untuk Terios facelift ini, termasuk dua warna baru iaitu Silver Metallic dan Greenish Gun Metal.

Daihatsu Terios facelift 2023 dilancar untuk Indonesia

Tiada perubahan mekanikal dibuat, dan model ini masih dipacu oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter Dual VVT-i dengan kuasa 104 PS dan 136 Nm. Kesemua varian boleh didapati dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan. Harga bermula Rp 236,050,000 (RM73,146) untuk X MT dan pergi sehingga Rp 303,250,000 (RM93,970) untuk R Custom AT. Pakej ADS boleh ditambah kepada varian X dan R pada harga Rp 10 juta (RM3,100).

Jadi apa pendapat anda dengan Terios facelift ini? Adakah patut Perodua Aruz juga diberikan pembaharuan sama? Sejak dilancarkan pada Januari 2019, Aruz masih kekal sama dan hanya diberi sedikit peningkatan kelengkapan pada tahun 2021. Versi facelift mungkin akan keluar tidak lama lagi, tapi ia mungkin tidak akan kelihatan seperti Terios ini kerana Perodua mempunyai konsep rekaannya sendiri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required