TASKL 2023: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor, hasil restorasi dari Nismo

TASKL 2023: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor, hasil restorasi dari Nismo

Kita biasa dengar model-model Nissan dengan lencana Z-Tune, R-Tune atau S-Tune iaitu versi istimewa talaan sayap perlumbaan rasminya, Nismo kan? Tapi anda pernahkah anda dengar model Nismo dengan lencana J-Tune seperti Nissan Skyline GT-R R34 yang sedang dipamerkan di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 ini?

Kalau anda nak tahu, Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune ini adalah milik Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ), dan ia adalah satu-satunya unit R34 J-Tune dalam dunia yang dihasilkan oleh Nismo Omori Factory di Jepun!

Kereta ini dihasilkan di bawah program Nismo Restored Car, dan R34 J-Tune ini adalah unit pertama dalam dunia yang lahir menerusi program berkenaan. Nama “J-Tune” itu dipilih sendiri oleh Tunku Abdul Rahman untuk diabadikan pada R34 istimewa ini.

Bagi mereka yang menghantar kereta ke Nismo Omori Factory untuk program ini, Nismo menawarkan khidmat restorasi bagi menjadikan kereta anda seperti baru keluar kilang, serta diberikan pilihan pelbagai pakej tingkat taraf.

TASKL 2023: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor, hasil restorasi dari Nismo

Jadi ketika R34 ini dihantar ke Omori Factory, Nismo membuka setiap komponen pada kereta berkenaan dan kemudian kerangka kosong tersebut dibaik pulih dan membuang segala karat yang ada. Selepas itu, proses sealing semula pada bahagian tertentu akan dilakukan seperti ia diproduksi dikilang dahulu dan Nismo akan pastikan kerangka berkenaan melepasi ujian ketegaran badan yang telah ditetapkan sebelum ia dicat semula.

Enjin RB26DETT pada setiap Skyline GT-R yang menyertai program ini akan dileraikan untuk melakukan proses rombak rawat. Pelanggan bukan sahaja boleh memilih untuk menghasilkan semula enjin berkenaan dalam spesifikasi standard, malah turut boleh memilih pelbagai spesfikasi tingkat taraf seperti yang pernah diperkenalkan pada pelbagai model produksi tingkat taraf edisi terhad Nismo.

Nismo menawarkan pelbagai siri talaan untuk enjin yang dirombak rawat ini seperti N2, N3 dan N4 menampilkan pelbagai angka kuasa dan keupayaan. Namun untuk J-Tune ini, spesifikasinya tidak diperincikan, tetapi ia dinyatakan diberikan talaan kuasa paling tinggi yang ditawarkan oleh Nismo dan kapasiti asal 2.6 liter dipertingkat kepada 2.8 liter.

TASKL 2023: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor, hasil restorasi dari Nismo

Selepas kesemua komponen tersebut dipasang, Nismo turut akan membuat ujian dyno statik bagi memastikan kuasa yang dihasilkan adalah optimum mengikut spesifikasi. Tidak cukup dengan itu, ujian prestasi turut dilakukan di litar dengan merekodkan masa lap yang dibuat oleh pemandu profesional.

Apa yang isitimewa pada J-Tune ini, selain dari plat pada badan yang diberikan nombor siri “001”, Nismo turut meletakkan plat istimewa dengan tertera nama Tunku Abdul Rahman.

Pada sebelah luar, R34 J-Tune ini hadir dengan kit aero Nismo terdiri dari bonet hadapan, fender hadapan, skirt sisi, dan diffuser belakang yang diperbuat dari gentian karbon. Ia turut diberikan bampar hadapan dari Nismo tetapi ia adalah komponen khas dengan “ukiran” J-Tune pada bahagian tapak plat pendaftaran hadapan.

Badannya dicat dengan warna putih bersama grafik J-Tune pada bonet hadapan dan fender sisi hadapan, jalur serlahan merah pada bahagian sekeliling bawah badan, serta diberikan emblem J-Tune di belakang. Manakala untuk roda, ia diberikan rim BBS bersaiz 19-inci dengan tayar 275/30ZR19.

Restorasi dan tingkat taraf turut dibuat pada bahagian kabin. Boleh dilihat papan pemuka telah dibalut semula dengan kulit dan diberikan jahitan benang merah, kerusi hadapan diganti dengan tempat duduk bucket perlumbaan gentian karbon dari Recaro dan disulam dengan logo J-Tune lengkap dengan tali pinggang perlumbaan, tempat duduk belakang dicabut serta dilengkapi dengan roda stereng Nismo balutan kulit dan Alcantara.

Jadi kalau anda nak tengok kereta yang hanya ada sebuah dalam dunia ini (dan bukan selalu di bawa keluar!), anda boleh datang ke TASKL 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini hingga 11 Jun nanti, dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang hari penganjurannya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required