Program restorasi Nismo untuk Nissan Skyline GT-R – kondisi keluar kilang, ada waranti; kos RM1.76 juta!

Program restorasi Nismo untuk Nissan Skyline GT-R – kondisi keluar kilang, ada waranti; kos RM1.76 juta!

Pada 2017, sayap perlumbaan Nissan iaitu Nismo sudah pun mengumumkan program Nismo Heritage Parts, iaitu program penghasilan semula alat-alat ganti untuk kereta sport ikonik mereka, Nissan Skyline GT-R R32, R33 dan R34. Malah pada tahun lalu, program tersebut turut menyenaraikan enjin RB26DETT yang boleh anda beli baharu untuk merestorasi semula Skyline GT-R anda.

Nak lagi gila? Tahun ini nampaknya Nismo melancarkan program yang lebih menyeluruh digelar sebagai program Nismo Restored Car. Dengan program ini, anda boleh menghantar terus Skyline GT-R R32, R33 dan R34 terus ke fasiliti Nismo, dan mereka akan merstorasi kereta tersebut sehingga ke tahap seperti keluar dari kilang lebih dua dekad lalu!

Bagi mereka yang menghantar kereta untuk program ini, Nismo akan membuka setiap komponen pada kereta berkenaan dan kemudian kerangka kosong tersebut akan dibaik pulih dan membuang segala karat yang ada.

Selepas itu, proses sealing semula pada bahagian tertentu akan dilakukan seperti ia diproduksi dikilang dahulu dan Nismo akan pastikan kerangka berkenaan melepasi ujian ketegaran badan yang telah ditetapkan. Kerangka tersebut akan dicat semula sama ada mengikut kod warna asalnya, ataupun warna lain yang dimahukan pemiliknya.

Enjin RB26DETT pada setiap Skyline GT-R berkenaan turut akan dileraikan untuk melakukan proses rombak rawat. Pelanggan bukan sahaja boleh memilih untuk menghasilkan semula enjin berkenaan dalam spesifikasi standard, malah turut boleh memilih pelbagai spesfikasi tingkat taraf seperti yang pernah diperkenalkan pada pelbagai model produksi tingkat taraf edisi terhad Nismo.

Selepas kesemua komponen tersebut dipasang, Nismo turut akan membuat ujian dyno statik bagi memastikan kuasa yang dihasilkan adalah optimum mengikut spesifikasi. Tidak cukup dengan itu, ujian prestasi turut dilakukan di litar dengan merekodkan masa lap yang dibuat oleh pemandu profesional!

Menurut Nismo, ujian ini bukan sahaja untuk menilai prestasi enjin, malah untuk memantau komponen lain seperti syaf penghantar, differential, kotak penghantar, driveshaft dan pelbagai lagi. Ketika ujian dilakukan, badan kereta tersebut akan diberikan pelindung bagi memastikan ia tidak rosak.

Nismo turut akan menyegarkan semula bahagian kabin Skyline GT-R anda dalam program ini. Kesemua kemasan dalaman yang rosak akan ditukar. Dalam masa yang sama sistem pendawaian badan juga akan diperiksa dan diperbaiki jika perlu, begitu juga pada sistem pendingin hawa.

Kesemua bahagian upholsteri juga akan dibersihkan secara ektensif – namun jika keadaannya sangat teruk, Nismo akan membalut semula dengan material yang sama digunakan pada upholsteri Nissan GT-R R35. Menurut Nismo, mereka tidak menggunakan material asal kerana ia tidak lagi menepati standard tahan api moden.

Program restorasi Nismo untuk Nissan Skyline GT-R – kondisi keluar kilang, ada waranti; kos RM1.76 juta!

Setiap kereta yang siap dalam program ini akan diberikan plat VIN istimewa bagi menandakan ia sebuah kereta yang baru dilahir semula oleh Nismo. Unit R32 yang anda lihat ini adalah unit pertama yang siap, dan ia diberikan plat VIN yang memberikan maklumat bahawa ia dihasilkan semula dalam spesifikasi standard, diproduksi semula pada November 2019.

Dengan servis yang begitu terperinci ini sudah tentu kosnya juga tidak murah. Menurut Nismo, harga anggaran untuk satu projek seperti ini memerlukan anda membayar sekitar 45 juta yen, atau sekitar RM1.76 juta, dan ia akan datang sekali dengan perlindungan waranti selama setahun/20,000 km. Jika anda berminat, jangan segan untuk menghubungi Nismo pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required