Program Nismo Heritage bermula; alat ganti untuk Nissan Skyline GT-R R32 kini boleh dibeli baharu

Program Nismo Heritage bermula; alat ganti untuk Nissan Skyline GT-R R32 kini boleh dibeli baharu

Setelah mengumumkan Program Nismo Heritage yang akan membantu pemilik jentera berprestasi tinggi retro Nissan untuk merestorasi semula kereta mereka April lalu, kini program tersebut secara rasminya telah pun berjalan di mana jenama dari Jepun tersebut mula menjual lebih dari 80 komponen alat ganti baharu untuk Skyline GT-R R32 yang dibuat bermula Ogos 1989 hingga Januari 1995.

Walau bagaimanapun, pemilik-pemilik yang mahu mendapatkan komponen-komponen berkenaan perlu ke Jepun kerana ia hanya mula dijual di pasaran berkenaan bermula 1 Disember ini. Walaupun GT-R telah mula diperkenalkan pada tahun 1969 menerusi model KPGC10 Hakosuka GT-R, gelaran “Godzilla” hanya diberikan menerusi R32.

Skyline GT-R R32 dipanggil dengan nama raksasa dari Jepun tersebut setelah dinobatkan sebagai juara Australian Touring Car Championship (ATCC) pada tahun 1991 dan 1992 serta memenangi Bathurst 1000 dalam kedua-dua musim berkenaan. Dengan kuasa yang begitu buas dari enjin 2.6 liter turbo berkembar RB26DETT dan sistem pacuan semua roda Attesa ET-S Pro, R32 seakan tidak mampu langsung untuk dicabar jentera lain.

Namun Godzilla ‘dipaksa’ berhenti dari ATCC setelah jawatankuasa perlumbaan tersebut mengharamkan sistem pacuan semua roda untuk musim bermula 1993. Selain di Australia, R32 turut bergelar juara keseluruhan di Spa 24 Jam pada tahun 1991 serta dapat memungut mata dalam setiap perlumbaan di Japan Touring Car Championship (JTCC) untuk musim 1990, 1991, 1992 dan 1993.

Nismo sendiri mempunyai hubungan yang rapat dengan pemilik-pemilik Skyline GT-R. Badan penala rasmi Nissan berkenaan membuat keputusan untuk mengeluarkan semula 80 komponen alat ganti yang akan mula dijual ini setelah membuat kajian terhadap apa yang sangat diperlukan untuk R32 terutamanya bagi membolehkan setiap kereta berkenaan lulus ujian pemeriksaan wajib yang dijalankan oleh pihak berkuasa Jepun.

Antara komponen yang akan dijual adalah termasuk set-set pendawaian, hos dan tiub, pelbagai emblem serta alat ganti bahagian luaran lain. Nismo turut akan hadir dengan pelbagai komponen alat ganti lain untuk R32 selepas ini, dan akan mempertimbangkan pula program untuk pemilik GT-R R33 dan R34.

Ada juga komponen yang tidak dapat dihasilkan semula kerana masalah yang dihadapi oleh pengilang asal, namun Nismo akan mempertimbangkan cara lain untuk menggantikan peralatan tersebut termasuk menggunakan komponen gantian, merombak rawat semula, serta menggunakan peralatan talaan dari Nismo sendiri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required