Pada tahun 2017, Nismo melancarkan program Heritage Parts iaitu satu program pengeluaran semula pelbagai alat ganti bagi pemilik-pemilik Nissan Skyline GT-R R32 untuk merestorasi semula jentera mereka, dan setahun kemudian ia turut meliputi model R33 GT-R dan R34 GT-R. Kini, satu lagi kejutan dalam program ini diumumkan sayap penala rasmi Nissan berkenaan – enjin RB26DETT untuk ‘Godzilla‘ berkenaan sudah boleh dibeli baharu!

Menurut Nismo, set enjin tersebut (yang terdiri dari blok dan kepala silinder) kini sudahpun dijadualkan untuk diproduksi, dan pesanan pelanggan akan mula dihantar bermula 1 April nanti. Blok baharu RB26 berkenaan dijual pada harga 187,000 yen (RM6,890) manakala kepala silinder pula berharga 170,000 yen (RM6,264).

Enjin RB26DETT ini diperkenalkan buat pertama kali pada Skyline GT-R R32 pada tahun 1989. Dengan kapasiti 2.6 liter, enam-silinder sebaris, DOHC dan dua pengecas turbo, ia mampu menghasilkan 280 PS/353 Nm dalam keadaan standard, dan ia mampu menghasilkan lebih dari 300 PS dengan hanya talaan semula kotak komputer dilakukan.

Ia terus digunakan untuk generasi seterusnya Skyline GT-R iaitu R33 dan R34, namun untuk model Nissan GT-R R35, khidmat RB26 tidak lagi digunakan bagi memberi laluan kepada enjin V6 3.8 liter turbo berkembar VR38DETT.

Selain dari enjin ini, Nismo Heritage Parts turut menawarkan 160 komponen alat ganti lain untuk Skyline GT-R R32, R33 dan R34. Ia termasuk set-set pendawaian, hos dan tiub, pelbagai emblem, komponen-komponen untuk bahagian luaran, janakuasa, elektrikal dan pelbagai lagi komponen mekanikal.