Ketika pelancaran semula Perodua Axia E generasi pertama ke pasaran pagi tadi, pengeluar automotif dari Rawang berkenaan mengumumkan bahawa sehingga 31 Mei 2023 lalu, sejumlah 606,756 unit Axia sudah pun diserahkan kepada pelanggan di Malaysia.
Jumlah berkenaan sudah tentu termasuk model generasi pertama Axia yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2014 (kemudian menerima fasa facelift pada 2017 dan 2019) serta model generasi kedua diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang telah dilancarkan pada Februari tahun ini.
Perodua Axia E generasi pertama ini dilancarkan semula ke pasaran bagi memenuhi permintaan pasaran kerana model generasi kedua hanya ditawarkan dengan varian G sebagai varian paling asas serta tidak mempunyai versi dengan kotak gear manual.
Ia diperkenalkan semula dengan harga baharu yang lebih murah iaitu harga atas jalan tanpa insuran RM22,000, menjadikan ia kekal sebagai kereta baharu paling murah di Malaysia buat masa sekarang. Harga tersebut adalah RM16,600 lebih murah berbanding Axia G 2023 yang dijual pada harga RM38,600.
Dengan harga yang begitu rendah tersebut, Axia E yang diperkenalkan semula ini datang dengan perincian seperti rim besi, dua beg udara dan juga enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga silinder NA berkuasa 68 PS/91 Nm yang digandingkan hanya dengan kotak gear manual, tanpa pilihan transmisi automatik.
Ia juga tidak dipadankan dengan radio dan pembesar suara, tiada brek ABS dan tiada sistem kestabilan elektronik (ESC).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.