Bekas menteri pengangkutan, Dr. Wee Ka Siong menggesa Perodua menambah ciri-ciri asas pada model paling murahnya iaitu Axia generasi pertama dalam varian E yang dilancarkan semula minggu lalu, dijual pada harga atas jalan RM22,000.
Beliau memuji usaha Perodua yang sentiasa memikirkan keperluan dan memahami kesukaran rakyat dengan mengeluarkan kenderaan mampu milik, namun ia perlulah dilengkapi sistem keselamatan asas seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) atau Anti-Lock Braking System dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) demi keselamatan pengguna dan orang ramai.
Wee menyatakan bahawa beliau faham banyak isi rumah berpendapatan rendah terhimpit dalam kewangan mereka, tetapi mengurangkan spesifikasi keselamatan kenderaan bukanlah penyelesaiannya
“Namun, janganlah kita berkompromi apabila ia menyentuh soal keselamatan pemandu, penumpang termasuk pengguna jalan raya yang lain. Spesifikasi tertentu seperti ABS, ESC dan Agihan Brek Elektronik – EBD (subsistem kepada ABS dan ESC) tidak boleh diketepikan sama sekali hanya kerana mahu menjadikan kenderaan tersebut sebagai ‘kereta rahmah’,” katanya dalam satu hantaran Facebook yang dibuat semalam.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan mesti mencari lebih banyak cara untuk membantu mereka yang terhimpit dengan beban kewangan ini, dan menawarkan kenderaan dengan spesifikasi keselamatan yang dikurangkan bukalah pilihan.
Menurutnya, kajian telah menunjukkan bahawa ESC dan teknologi anti-gelincir lain bagi kenderaan boleh menghalang kira-kira 40 peratus kematian dan pelanggaran daripada kemalangan akibat hilang kawalan.
“Itulah sebabnya Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah pentadbiran Tan Sri Liow Tiong Lai sebagai Menteri sebelum ini mewajibkan semua kereta baharu memiliki ESC mulai 1 Jun 2018.
“Sejak berdekad, ABS dan ESC terbukti sebagai teknologi penting; yang dapat mengurangkan kemalangan. Semakin hari, kos untuk ciri ini juga telah berkurangan.
“Ingatlah bahawa kenderaan yang tidak selamat bukan sahaja membahayakan pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya lagi dalam hantaran tersebut.
Wee berkata beliau difahamkan bahawa spesifikasi Axia E adalah berdasarkan kelulusan yang diberikan di bawah NCAP pada tahun 2014.
“Tetapi zaman telah berlalu, dan kita mempunyai pengetahuan serta kepakaran yang lebih baik dalam bidang ini,” katanya dan menambah beliau berharap Perodua melihat semula spesifikasi Axia E yang datang bukan sahaja tanpa ABS, EBD, dan ESC, malah ia juga tiada central lock untuk mengunci keempat-empat pintu kenderaan secara automatik.
Wee turut menyatakan bahawa beliau bimbang sekiranya spesifikasi Axia E ini akan dijadikan rujukan pengeluar lain dalam menawarkan model-model mampu milik dalam pasaran tempatan dengan mengabaikan ciri-ciri keselamatan yang paling asas.
“Semasa saya menjadi Menteri Pengangkutan, kami mewajibkan ABS untuk motosikal atas 150cc. Adakah pengeluar akan mencari jalan untuk mengurangkan lagi kos motosikal baharu dan menghapuskan ABS?
“Saya membangkitkan kebimbangan ini dengan harapan Kerajaan akan memastikan kenderaan terus mengekalkan ciri keselamatan asas ini dalam kenderaan penumpang baharu. Jangan pula kita bergerak ke belakang dalam perkara penting seperti ini,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
“can prevent about 40 percent of deaths”..
I think he mixed up the report on SEAT BELTS being the statistical 40%. ABS only contributes like 6%.