Toyota GR86 Trueno Edition 2024 – hanya untuk pasaran AS & Kanada, kenang AE86 Sprinter Trueno

Toyota GR86 Trueno Edition 2024 – hanya untuk pasaran AS & Kanada, kenang AE86 Sprinter Trueno

Toyota telah pun memperkenalkan model edisi terhad untuk kereta sport GR86 yang digelar sebagai Toyota GR86 Trueno Edition. Walau bagaimanapun, model ini dihasilkan hanya untuk pasaran Amerika Syarikat dan Kanada, dan ia diperkenalkan sekali dengan model asas GR86 dalam varian asas yang dikemaskini untuk tahun 2024 bagi kedua-dua pasaran tersebut.

Seperti namanya, model ini adalah untuk mengenang kembali kereta sport AE86 asli dalam versi Sprinter Trueno, yang popular dalam anime dan komik Initial D, serta sinonim dengan pelumba lagenda Jepun iaitu ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya.

Apa yang menarik, nama Sprinter Trueno ini sebenarnya tidak pernah digunakan pada AE86 untuk pasaran Amerika Utara, kerana di pasaran tersebut AE86 dijual dari tahun 1984 hingga 1987 dengan nama Corolla Sport GT-S Liftback.

Toyota GR86 Trueno Edition 2024 – hanya untuk pasaran AS & Kanada, kenang AE86 Sprinter Trueno

GR86 Trueno Edition ini dihasilkan hanya 860 unit untuk Amerika Utara dan 50 unit daripadanya adalah untuk pasaran Kanada. Jadi ia tidak akan dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan, dan mungkin ia tidak akan muncul dalam pasaran kereta recond yang diimport dari Jepun pada masa akan datang.

Setiap unit model edisi terhad ini akan menerima plat khas yang akan diletak pada papan pemuka bahagian pemandu yang diberikan untuk mengesahkan keasliannya.

Model ini diasaskan dari GR86 gred Premium untuk pasaran Amerika Syarikat. Pada sebelah luar ia diberikan perincian yang diinsipirasikan dari AE86 Sprinter Trueno, terutamanya tema warna badan dua-tona dengan bonet hadapan dan juga grafik sisi badan yang berwarna hitam.

Toyota GR86 Trueno Edition 2024 – hanya untuk pasaran AS & Kanada, kenang AE86 Sprinter Trueno

Hanya dua warna badan ditawarkan untuk Trueno Edition ini iaitu putih Halo (sinonim dengan warna hitam-putih ‘panda’ Trueno yang digunakan oleh hero Initial D iaitu Fujiwara Takumi) dan juga merah Track bRed. Tema dua tona pada model ini turut diserlahkan dengan kemasan hitam lain yang diberikan pada bampar hadapan, pembuka pintu, cermin sisi dan juga spoiler ‘ekor itik’ di belakang.

Ia juga diberikan rim aloi 18-inci 10-jejari dalam kemasan hitam berkilat yang diinspirasikan dari rim ‘pisang’ RS Watanabe yang juga sinonim dengan AE86 Sprinter Trueno ‘Kedai Tauhu Fujiwara’. Rupa luaran GR86 edisi istimewa ini dilengkapkan dengan emblem Trueno Edition pada bampar hadapan dan penutup but belakang.

Model ini masih dijana oleh enjin FA24 2.4 liter boxer NA, menghasilkan kuasa 231 PS (228 hp) dan tork maksima 249 Nm yang sama seperti GR86 standard. Untuk model Trueno Edition pasaran AS, ia diberikan pilihan kotak gear automatik enam-kelajuan dan juga kotak gear enam-kelajuan manual. Namun bagi model pasaran Kanada, ke semua 50-unit tersebut hanya datang dengan kotak gear manual

Kuasa masih hanya dialirkan ke roda belakang dengan gandar yang dilengkapi LSD jenis Torsen. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat bagi model manual dan 6.9 saat untuk versi automatik.

Apa yang lebih istimewa, GR86 Trueno Edition ini didatangkan standard dengan Performance Package yang terdiri dari penyerap hentak ZF Sachs dan juga set brek dari Brembo – pakej ini ditawarkan sebagai ciri opsyen sekiranya pembeli memilih GR86 gred Base atau Premium di AS.

Menurut Toyota, penyerap hentak ZF Sachs berkenaan menggunakan nitrogen dan juga minyak bertekanan tinggi dan direka bagi menyerap getaran dalam variasi kelajuan lebih luas, memaksimakan hubungan tayar dengan permukaan jalan, serta menyokong stereng yang lebih berat dan stabil, dalam masa yang sama turut memberikan keseimbangan antara tindak balas jalan raya dan juga keselesaan.

Toyota GR86 Trueno Edition 2024 – hanya untuk pasaran AS & Kanada, kenang AE86 Sprinter Trueno

Manakala untuk set brek Brembo pula, ia terdiri dari angkup empat omboh di hadapan dan dua omboh di belakang (kesemuanya dalam kemasan merah), digandingkan denaan cakera 12.8 x 1.3-inci di hadapan dan 12.4 x 0.79-inci di belakang. Ini membolehkan pad brek mencengkam bahagian seluas 11.6-inci pada cakera hadapan dan 4.9-inci pada cakera belakang.

Pada bahagian kabin, model edisi terhad ini diberikan tempat duduk sport yang dibalut oleh gabungan Ultrasuede dan kulit berwarna merah. Kemasan merah turut boleh dilihat pada panel pintu serta serlahan benang jahitan pada roda stereng balutan kulit dan juga sarung tuil gear. Tombol gear pula diberikan logo Trueno pada plat petunjuk paten tukaran gear di atasnya.

Ia juga diberikan perincian lain yang sama seperti GR86 gred Premium termasuk skrin sesentuh sistem infotainmen lapan-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem audio premium dengan lapan-pembesar suara.

Bagi model GR86 Trueno Edition dan juga gred lain untuk model 2024 dengan kotak gear manual kini sudah ditawarkan dengan pakej bantuan pemanduan yang menggunakan kamera stereo. Ia termasuk sistem brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar lorong, bantuan lampu tinggi, amaran mula bergerak kenderaan hadapan dan juga Sway Warning.

Toyota GR86 Trueno Edition ini akan mula dijual di Amerika Syarikat dan Kanada bermula musim sejuk akan datang. Harganya juga akan diumumkan ketika ia mula dijual nanti.

Sedikit lagi trivia untuk AE86, kereta sport yang diasaskan dari Corolla berkenaan dijual dalam dua bentuk badan di Jepun iaitu liftback tiga-pintu dan juga coupe dua-pintu. Ia juga sebenarnya ditawarkan sebagai kembar dengan dua muka berbeza dikenali sebagai Corolla Levin (dengan lamu hadapan tetap dan gril lebih tebal) dan juga Sprinter Trueno (lampu hadapan yang boleh dilipat kedalam untuk muncung yang lebih tirus).

Levin adalah bahasa Inggeris lama yang bermaksud ‘kilat’, manakala Trueno pula dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘guruh’ – kedua-dua kembar ini juga dijual oleh pengedar berbeza di Jepun. Untuk sejarah yang lebih mendalam berkenaan kembar ‘Kilat dan Guruh’ ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required