VIDEO: Fujiwara Bunta muncul dalam iklan Toyota GR86, sekali lagi tewaskan Takumi dan AE86

VIDEO: Fujiwara Bunta muncul dalam iklan Toyota GR86, sekali lagi tewaskan Takumi dan AE86

Watak mana yang paling laju dalam anime popular Jepun, Initial D? Ketua pasukan Project D dan Akagi Redsun Takahashi Ryosuke? Atau hero anime tersebut sendiri iaitu Fujiwara Takumi? Yang mengikuti anime ini tentu tahu bahawa Takumi telah berjaya mengalahkan semua lawannya, kecuali seorang; guru dan juga ayahnya sendiri iaitu Fujiwara Bunta.

Babak Takumi dikalahkan oleh Bunta dipaparkan dalam anime berkenaan pada musim keempat (Fourth Stage) episod ketujuh, manakala dalam manga (komik) pula muncul pada jilid ke-22 bab 258 hingga bab 260. Dalam babak berkenaan, Bunta secara senyap mahu membeli kereta baru iaitu Subaru Impreza WRC GC8 STI Version V Type R dan mengejar Takumi dari belakang untuk menilai kereta tersebut, ketika anaknya menuruni Bukit Akina selepas selesai rutin menghantar tauhu di atas bukit berkenaan setiap pagi.

Takumi yang memandu AE86 dengan enjin 4A-GE 20V 240 PS berkenaan tidak berjaya menjarakkan diri dari WRX GC8 misteri yang mengejarnya itu. Malah semua teknik yang digunakan termasuk “gutter run” juga dapat ditiru dengan sempurna, dan akhirnya dia dipotong oleh jentera rali jalan raya dengan enjin boxer 2.0 liter turbo bersama sistem AWD tersebut. Namun dia hanya mengetahui dia dikalahkan oleh ayahnya sendiri hanya beberapa hari selepas itu selepas Bunta membawa balik dan menunjukkan Impreza berkenaan serta menyuruhnya memandu kereta tersebut berselang-seli dengan AE86 setiap pagi sebagai satu rejim latihan baru.

Dengan mengambil inspirasi babak tersebut, Toyota telah menghasilkan iklan baharu untuk model generasi terkini GR86. Video tersebut memaparkan Takumi yang masih memandu Toyota AE86 menuruni Bukit Akina terserempak dengan lawannya yang terakhir dan paling sukar untuk dikalahkan dalam siri anime berkenaan iaitu Shinji Inui.

Kali ini Shinji tidak memandu AE86 Coupe, sebaliknya menggunakan Toyota 86 ZN6. Kedua-duanya selepas itu terus berlumba dan Takumi berjaya memintas Shinji dengan teknik yang pernah digunakan sebelum ini iaitu menutup semua lampu bagi mengaburi mata pihak lawan bagi mengelakkan sebarang pergerakan defensif.

Namun sebaik sahaja Shinji Inui dipintas, sebuah model terbaharu Toyota GR86 muncul dari belakang mengejar Takumi. Bermula dari sini, jalan ceritanya hampir sama dengan babak sebenar Bunta menewaskan Takumi dengan Subaru Impreza dalam siri anime/manga berkenaan.

Apa yang menghairankan, video ini tidak disiarkan menerusi laman media sosial rasmi Toyota atau Toyota Gazoo Racing. Namun menerusi laporan dari portal berita UDN dari Taiwan, video iklan ini sebenarnya dihasilkan untuk pasaran China dan disiarkan di laman web rasmi Toyota untuk negara berkenaan dalam masa yang singkat.

Ini bukan pertama kali Toyota menggunakan Initial D sebagai untuk mempromosikan GR86. Sebelum ini Toyota USA ada menghasilkan siri video GR86 FasterClass yang memaparkan aksi Takumi bersama “Drift King” Keiichi Tsuchiya dalam bentuk anime. Keiichi Tsuchiya juga sebenarnya merupakan penasihat teknikal untuk kesemua episod Initial D, dan pernah muncul dalam musim pertama anime berkenaan sebagai sahabat kepada Fujiwara Bunta.

GALERI: Toyota GR86

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required