Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meminta syarikat konsesi lebuhraya agar menyediakan dan menaiktaraf kemudahan bagi penunggang motosikal berkuasa tinggi bagi mengurangkan risiko kemalangan kepada golongan berkenaan. Pada masa ini terdapat beberapa laluan motosikal dilihat tidak selamat digunakan penunggang motosikal berkuasa tinggi, menurut Pengerusi LLM, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
“Contohnya, ada lorong motosikal di Pulau Pinang dan Ipoh yang laluan masuknya dilihat tidak sesuai untuk digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan kemungkinan berlaku kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal yang mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Selain itu, katanya, syarikat konsesi perlu mengenal pasti lokasi hot spot bagi laluan motosikal yang perlu ditambah baik terutama membabitkan motosikal berkuasa tinggi. Bukan itu sahaja, pihaknya juga mahu semua laluan lebuhraya diteliti daripada aspek tahap kebersihan, pencahayaan dan jumlah kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Kebanyakan kemalangan yang dilaporkan berlaku ketika cuaca buruk selepas penunggang motosikal mengambil keputusan untuk berhenti di bawah jejambat dan berteduh daripada terkena hujan. Insiden terbaharu yang dilaporkan mengorbankan tiga nyawa penunggang motosikal yang dirempuh kenderaan lain ketika berteduh daripada hujan di jejambat pada 4 Jun lalu,” katanya.
Beliau turut berkata, setakat ini, sebanyak 200 kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di lebuh raya direkodkan, manakala sebanyak 1,906 kes cedera parah dan 1,064 kes cedera ringan.
Sebenarnya ini bukanlah permintaan baharu daripada pihak berwajib mengenai kemudahan untuk penunggang motosikal. Pada tahun 2017, Jabatan Kerja Raya (JKR) meminta syarikat konsesi membina lorong khas motosikal, selain daripada membina tempat penunggang berteduh memandangkan perangkaan kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal. Syarikat konsesi juga perlu menyediakan dua garis panduan untuk motosikal termasuk reka bentuk kemudahan motosikal dan reka bentuk geometri laluan motosikal.
Pada tahun 2018, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula menggesa agar pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya perlu mengkaji semula rekabentuk serta lokasi kemudahan berteduh untuk penunggang dan pembonceng motosikal bagi menjamin keselamatan mereka.
Pada 14 Jun 2023 pula, seorang penunggang Ducati Panigale maut akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar penghadang sebelah kiri jalan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang. Ia berpunca selepas penunggang Ducati berkenaan mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus, menyebabnya mangsa terhumban dan jatuh ke bawah jejambat lebuhraya berkenaan pada ketinggian kira-kira 30 meter manakala motosikalnya terseret ke tengah jalan.
Ekoran kejadian berkenaan, ramai netizen berpendapat bahawa syarikat konsesi perlu meningkatkan aspek keselamatan di lebuhraya khususnya bagi penunggang motosikal. Malah ada yang berkata, laluan bertingkat di lebuhraya agak berbahaya untuk penunggang motosikal. Walau bagaimana pun, CEO Kumpulan Prolintas selaku pengendali SUKE, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata reka bentuk lebuhraya berkenaan sudah memenuhi piawaian dan kriteria spesifikasi yang telah ditetapkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.