Selain dari mendedahkan jentera baharu untuk menyertai Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun ini, pasukan Mitsubishi Ralliart turut mendedahkan barisan pemandunya yang dilihat sedikit berbeza dari tahun lalu.
Juara AXCR 2022, Chayapon Yotha dari Thailand masih akan memandu untuk pasukan Mitsubishi Ralliart bagi edisi AXCR tahun ini, dibantu oleh juruarahnya juga dari Thailand iaitu Peerapong Sombutwong.
Turut kekal adalah pemandu rali sensasi dari Indonesia iaitu Rifat Sungkar yang akan memandu sebuah lagi Triton T1 untuk memburu kejuaraan AXCR 2023. Rifat sekali lagi akan dibantu juruarah dari Thailand Chupong Chaiwan. Tahun lalu Rifat menamatkan AXCR 2022 dikedudukan kelima setelah berhadapan beberapa cabaran getir termasuk tayar Triton yang dipandunya pecah pada SS kedua, dan turut menyebabkan kerosakan pada casis.
Manakala Sakchai Hantrakul dari Thailand yang memandu Triton T1 ketiga pasukan Mitsubishi Ralliart tahun lalu telah digugurkan, dan digantikan dengan pemandu Jepun, Katsuhiko Taguchi. Berumur 51 tahun, Katsu Taguchi merupakan pemandu berpengalaman dan telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk musim 1999 dan 2010, serta juara kategori Group N di Jepun pada 2007.
Taguchi juga sangat berpengalaman dalam laluan SS di Asia Tenggara kerana selain memandu untuk pasukan rasmi Mitsubishi Ralliart, dia juga pernah memandu Proton Wira 4WD Evo III untuk pasukan Proton PERT dalam Kejohanan Rali Malaysia serta rali-rali antarabangsa lain pada era 90’an.
Seperti sebelum ini, misi pasukan Mitsubishi Ralliart diketuai oleh pengarahnya iaitu bekas juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka. Manakala tugas prinsipal pasukan dipikul oleh Chayut Yangpichit dari Tant Sport Thailand.
Pembentukan pasukan juga masih sama di mana pasukan tersebut dimiliki oleh Tant Sport Thailand, dan bantuan teknikal diberikan oleh jurutera dari Mitsubishi Motors Japan. Namun jentera Triton T1 yang digunakan pada tahun lalu kini tidak lagi bertugas, tetapi digantikan dengan trak pikan Triton generasi baharu.
Trak produksi berkenaan masih lagi belum didedahkan secara rasmi, dan hanya akan membuat kemunculan sulungnya pada 26 Julai ini. Jadi ini menunjukkan bahawa pembangunan trak produksi tersebut berjalan sekali dengan versi yang diubahsuai untuk perlumbaan ini.
Model generasi baharu ini menggunakan platform baharu sepenuhnya yang tidak sama dengan model sedia ada. Platform berkenaan diasaskan dari casis ladder frame yang digunakan pada Nissan Navara (sekutu Mitsubishi di bawah Pakatan Renault Nissan Mitsubishi) tetapi telah menerima kejuruteraan semula dari jenama tiga berlian berkenaan menggunakan kepakarannya dalam menghasilkan kenderaan off-road.
Untuk berlumba dalam AXCR, model generasi baharu ini masih dibangunkan dengan undang-undang spesifikasi FIA Group T1 seperti model sebelumnya. Jadi bermakna ia masih berkongsi sejumlah besar komponen dan peralatan yang sama seperti model produksi, dan dibekalkan dengan beberapa peralatan perlumbaan.
Mitsubishi masih belum mengumumkan spesifikasi enjin untuk Triton generasi baharu ini, namun untuk perlumbaan enjin tersebut dibangunkan bersama HKS. Bagi versi sebelum ini, enjin 2.4 liter DOHC MIVEC Turbodiesel yang digunakan untuk perlumbaan tersebut tidak menghasilkan sebarang kuasa tambahan, tetapi ia menerima sentuhan blueprinting dari HKS yang memberikan respon yang lebih baik.
Selain itu Triton 2023 Group T1 ini juga menerima unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang, set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan, set rim aluminium aloi dari Work bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003.
Pasukan Mitsubishi Ralliart sudahpun menjalankan ujian ketahanan terhadap trak pikap tersebur dari 19 hingga 23 Jun lalu. Ujian yang dibuat di laluan off-road berhampiran Taman Negara Khao Yai, Thailand tersebut menghidangkan suasana dan keadaan yang menyerupai laluan yang akan digunakan di perlumbaan sebenar AXCR nanti.
Dalam ujian selama lima hari serta dengan jarak 800 km berkenaan, bukan hanya ketahanannya diuji, malah pasukan Mitsubishi Ralliart turut dapat melakukan talaan muktamad yang akan digunakan dalam perlumbaan sebenar kelak.
AXCR 2023 akan bermula pada 13 Ogos sehingga 19 Ogos nanti. Berbanding tahun lalu yang menyajikan laluan sekitar 1,700 km, tahun ini semua peserta harus menghabiskan pengembaraan dalam jarak sejauh 2,000 km.
Sebanyak enam peringkat laluan perlu ditempuhi oleh kesemua pelumba yang bermula di Pattaya, Thailand, dan akan merentas Pachinburi, Surin, Ubonratchani seterusnya menuju ke sempadan Laos. Dua peringkat lagi akan dilangsungkan di Laos dan perlumbaan akan berakhir di Pakse juga di Laos.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.