Hari ini, Honda Malaysia secara rasminya telah melancarkan SUV ‘comel’ dari segmen-B WR-V 2023 untuk pasaran tempatan. Barisan WR-V 2023 (akronim yang diambil dari Winsome Runabout Vehicle) ini menawarkan empat varian iaitu S yang merupakan model paling asas, diikuti dengan E, V dan spesifikasi tertinggi RS. Ia merupakan jumlah varian yang paling banyak dalam pasaran bagi model ini bagi rantau ASEAN, selain Indonesia dan Thailand.
Bagi model asas 1.5 S, ia dijual pada harga RM89,900, diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM95,900, manakala 1.5 V pula berharga RM99,900. Model spesifikasi tertinggi 1.5 RS pula ditawarkan pada harga RM107,900. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan WR-V 2023 diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan lima kali penyelenggaran dengan kos buruh percuma.
WR-V 2023 ini memiliki dimensi 4,060 mm panjang, selebar 1,780 mm, berketinggian 1,608 mm (varian S hanya 1,576 mm) dan jarak roda sejauh 2,485 mm. Berbanding dengan pesaing terdekatnya dalam pasaran tempatan, Perodua Ativa, WR-V adalah 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 27 mm lebih rendah serta jarak roda 40 mm lebih dekat. Sebagai rujukan, Ativa berukuran 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tingga dan jarak rodanya pula mencecah 2,525 mm.
Manakala jarak kelegaan tanah WR-V 2023 ini adalah lebih tinggi dari Ativa iaitu 220 mm berbanding 200 mm sekaligus memberikannya rupa yang lebih lasak. Ruang but SUV kompak Honda ini juga lebih besar dengan kapasiti 380 liter (1,470 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan) berbanding 369 liter bagi Ativa.
WR-V 2023 ini menerima enjin yang sama seperti Honda City dan varian asas HR-V Grade S iaitu unit L15ZF 1.5 liter naturally-aspirated (NA) DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan. Jadi dari segi kuasa juga WR-V adalah lebih besar dari Ativa yang digerakkan oleh enjin 1.0L turbo tiga-silinder berkuasa 97 hp dan tork 140 Nm.
Dengan padanan mekanikal tersebut, kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh WR-V 2023 mencecah 160 km/j. Untuk varian S dan E, pecutan dari 0-100 km.j boleh dicapai dalam 11 saat, manakala 11.1 saat untuk varian V dan RS pula 11.3 saat.
Kesemua varian dilengkapi dengan suspensi topang MacPherson untuk hadapan dan torsion beam di belakang. Manakala untuk sistem brek pula, ia dilengkapi dengan cakera ventilated di hadapan dan dram di belakang.
Wajah hadapan WR-V 2023 juga kelihatan sporty walau pun tidak mampu menandingi imej garang abangnya, HR-V. Ia ditampilkan dengan lampu utama yang agak tirus dengan varian S dan E menerima lampu utama halogen bersama lampu isyarat membelok hadapan jenis mentol. Manakala varian V dan RS diberikan lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus dengan unit LED. Tiga varian paling bawah diberikan rim aloi bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 215/60 R16 dan rim aloi dua-tona 17-inci dengan tayar 215/55 R17 untuk RS. Manakala perincian bahagian belakang sekadar ringkas dan menampilkan lampu belakang jenis LED untuk kesemua varian.
Menjengah bahagian kabinnya, penampilan gayanya juga kelihatan ringkas termasuk bahagian papan pemuka yang tidak sarat dengan kelengkapan. Antara ciri kelengkapan yang diberikan secara standard untuk semua varian termasuklah kemasukan pintar bersama butang push start, paparan tujuh-inci untuk sistem audio yang turut ditampilkan dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dua unit port USB dan sokongan Bluetooth. Tiada brek parkir elektronik diberikan untuk WR-V 2023, ia hanya menerima brek tangan konvensional.
Untuk kelengkapan keselamatan pula, kesemua varian diberikan ciri standard termasuk cagak Isofix, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan, dua penderia undur, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar dan juga Honda LaneWatch. Model spesifikasi penuh 1.5 RS menerima enam beg udara, manakala empat unit bagi tiga varian di bawahnya.
Tiga varian tertinggi juga menerima ciri Honda Sensing yang merangkumi sistem pemberitahu kereta hadapan bergerak (LCDN), kawalan kelajuan adaptif (ACC), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS) bersama Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB)
WR-V 2023 ini turut menerima penarafan lima-bintang daripada ujian penilaian ASEAN NCAP. Terdapat lima warna luaran ditawarkan iaitu Stellar Diamond Pearl yang merupakan warna terbaharu bagi model Honda di Malaysia, selain Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Meteroid Gray Metallic dan Crystal Black Pearl.
Setakat semalam, Honda Malaysia telah menerima sebanyak 2,500 unit tempahan untuk WR-V sejak ia dibuka mulai 12 Jun lalu. Dari segi peratusan, RS mendominasi dengan 45% tempahan, diikuti oleh V dengan 38%. Varian E pula menyumbang sekitar 12% dan bakinya adalah untuk varian paling asas S.
Perincian spesifikasi bagi setiap varian adalah seperti berikut:
Honda WR-V 1.5 S (RM89,900)
Ciri standard:
Mekanikal
- Enjin 1.5 liter empat-silinder DOHC i-VTEC
- 121 PS pada 6,600 rpm, tork 145 Nm pada 4,300 rpm
- Kotak gear automatik CVT
- Kelajuan maksimum 160 km/j
- Suspensi topang MacPherson (hadapan)/torsion beam (belakang)
- Sistem brek cakera ventilated (hadapan)/dram (belakang)
Luaran
- Roda aloi 16-inci dengan tayar profil 215/60 R16
- Lampu utama halogen
- Lampu isyarat membelok hadapan jenis mentol
- Lampu belakang LED
- Antena Micro Pole
Dalaman
- Kemasukan pintar dan butang push start
- Kluster meter analog
- Panel perak sebagai dekorasi dalaman
- Pendingin hawa kawalan manual
- Roda stereng urethane dengan suis kawalan audio
- Tempat duduk upholstery balutan fabrik
- Konsol tengah dengan perehat tangan balutan fabrik
- Unit utama skrin sesentuh tujuh-inci
- Ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto
- 2 unit port USB
- 2 unit pembesar suara
- Bluetooth
Keselamatan
- 4 beg udara
- Cagak ISOFIX
- Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA)
- ABS dengan EBD
- Bantuan Mula Mendaki (HSA)
- Isyarat Berhenti Kecemasan
- 2 unit penderia undur
- Honda LaneWatch
Honda WR-V 1.5 E (RM95,900)
Ciri tambahan:
Luaran
- Lampu utama automatik
- Antena sirip jerung
Dalaman
- Remote Engine Start
- Walk Away Auto Lock
- Cruise Control
- Skrin paparan pelbagai-info TFT 4.2-inci
- 4 unit pembesar suara
Keselamatan
- Kamera undur pelbagai-sudut
- Honda Sensing
- Lampu tinggi automatik
Honda WR-V 1.5 V (RM99,900)
Ciri tambahan:
Mekanikal
- Pecutan 0-100 km/j dalam 11.1 saat
Luaran
- Lampu utama LED
- Lampu nyalaan siang (DRL) LED
- Lampu kabus hadapan LED
- Lampu isyarat hadapan LED
Dalaman
- Roda stereng balutan kulit
- Tempat duduk upholstery kombinasi balutan kulit dan fabrik dengan jahitan kontras biru
- Konsol tengah dengan perehat tangan balutan kulit
- Pendingin hawa kawalan automatik
Honda WR-V 1.5 RS (RM107,900)
Ciri tambahan:
Mekanikal
- Pecutan 0-100 km/j dalam 11.1 saat
Luaran
- Gril hadapan unik bersama emblem RS
- Kepingan silver pada bahagian bawah bampar
- Roda aloi dua-tona 17-inci dibaluti tayar profil 215/55 R17
- Lampu isyarat membelok hadapan LED dengan sequential
Dalaman
- Tempat duduk upholstery kombinasi balutan kulit dan fabrik dengan jahitan kontras merah
- 6 unit pembesar suara
- Pedal penukar gear
- Scuff plate keluli tahan karat
Keselamatan
- 6 unit beg udara
- Sistem telematik Honda Connect
GALERI: Honda WR-V 1.5 RS
GALERI: Honda WR-V 1.5 V
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.