Honda WR-V 2023 dikesan sedang diangkut menggunakan treler menuju ke bilik pameran, menandakan pesaing bagi Perodua Ativa ini bakal dilancarkan dalam masa terdekat ini. SUV paling kecil keluaran Honda ini telah pun dibuka tempahan sejak 12 Jun lalu dan telah pun dipertontonkan pada umum menerusi siri jelajah seluruh negara.
Ia memiliki dimensi panjang 4,060 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,608 mm dan jarak roda sejauh 2,485 mm. Jadi berbanding Ativa, WR-V adalah 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 27 mm lebih rendah serta jarak roda 40 mm lebih dekat.
Jarak kelegaan tanah WR-V ini adalah lebih tinggi dari Ativa iaitu 220 mm berbanding 200 mm sekaligus memberikan ia rupa lebih lasak. Ruang but SUV kompak Honda ini juga lebih besar dengan kapasiti 380 liter berbanding 369 liter pada saingannya dari Perodua.
WR-V menerima enjin yang sama seperti Honda City dan varian asas HR-V iaitu unit 1.5 liter DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan. Jadi dari segi kuasa juga WR-V adalah lebih besar dari Ativa yang digerakkan oleh enjin 1.0L turbo tiga-silinder berkuasa 97 hp/140 Nm.
Selain itu, Honda Malaysia juga telah megesahkan bahawa WR-V turut akan ditawarkan dalam versi paling sporty iaitu WR-V RS. Varian berkenaan menerima perincian yang disahkan seperti gril hadapan unik bersama emblem RS, rim aloi dua tona 17-inci dan lain-lain.
WR-V pasaran Malaysia ini juga akan ditawarkan dengan perincian seperti cermin sisi auto-lipat, lampu hadapan LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED dan juga lampu isyarat membelok LED jenis sequential.
Di dalam kabinnya, ia diberikan upholstery gabungan kulit sintetik dan fabrik hitam dengan kemasan serlahan merah serta jahitan kontras merah pada tempat duduk dan roda stereng. Ada ciri lain yang turut diberikan termasuklah unit utama skrin sesentuh tujuh-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, dua port USB, kamera pendangan-belakang pelbagai-sudut, paparan pelbagai-info 4.2-inci, telematik Honda Connect, pedal penukar gear dan enam pembesar suara.
Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga turut ditawarkan yang memberikan fungsi termasuk sistem pemberitahu kereta hadapan bergerak (LCDN), kawalan kelajuan adaptif (ACC), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS) bersama Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB). Ia turut diberikan sistem Honda LaneWatch tetapi tanpa brek parkir elektronik.
Untuk info penuh termasuk harga dan penawaran variannya akan kita ketahui sewaktu ia dilancarkan tidak lama lagi. Sama-samalah kita nantikan.
GALERI: Honda WR-V RS pasaran Thailand
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.