Pelancaran rasmi Honda WR-V 2023 sangat hampir, terutama ketika unit yang tanpa samaran dilihat hari ini ketika berada di atas treler pengangkut. Honda Malaysia juga telah mendedahkan jumlah tempahan yang telah diterima oleh SUV paling kecil jenama itu, sejak ia mula dibuka pada 12 Jun lalu.
Setakat semalam, syarikat itu telah menerima sebanyak 2,500 unit tempahan untuk WR-V. Maklumat pecahan mengikut varian juga didedahkan, mengesahkan jangkaan awal bahawa WR-V akan mengikut penawaran varian model City hatchback dan sedan.
Honda WR-V di Malaysia akan ditawarkan dalam empat varian — S yang paling asas, E di pertengahan, diikuti V dan yang paling tinggi, RS. Ini jumlah varian yang paling banyak dalam pasaran bagi model terbabit untuk rantau ASEAN, selain Indonesia dan Thailand.
Dari segi peratusan, RS mendominasi dengan 45% tempahan, diikuti oleh V dengan 38%. Varian E pula menyumbang sekitar 12% dan bakinya adalah untuk varian paling asas S.
Semua varian WR-V akan menampilkan sistem janaan yang sama yang dilihat untuk pasaran Indonesia dan Thailand, iaitu unit L15ZF 1.5 liter NA DOHC i-VTEC yang menjana sebanyak 121 PS dan 145 Nm. Ini digandingkan pula dengan CVT. Ini tetapan yang sama digunakan untuk City dan juga HR-V peringkat paling asas.
Perincian lanjut tentang Honda WR-V akan muncul dalam masa terdekat, termasuk spesifikasi penuh bagi semua variannya. Ikuti perkembangan ini bersama kami, di sini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.