smart #1 2023 tampil perdana di M’sia di pameran EVx — 66 kWh, 22 kW AC, bakal dilancarkan suku keempat

smart #1 2023 tampil perdana di M’sia di pameran EVx — 66 kWh, 22 kW AC, bakal dilancarkan suku keempat

smart #1, sebuah model kereta elektrik yang mewakili era baru jenama itu selepas ambil alih 50:50 kepentingan syarikat berkenaan oleh Geely pada 2019, kini dipertontonkan kepada umum buat pertama kali di Malaysia di acara EVx 2023 anjuran paultan.org yang berlangsung hujung minggu ini di Pusat Persidangan Setia City.

Model smart #1 ini adalah hasil pertama usahasama tersebut, dengan pemilik Jermannya bertenggungjawab terhadap rekaan, manakala pemilik China pula menyediakan aspek binaan dan kejuruteraan untuk produk yang akan mereka keluarkan selepas ini. Maka, tiada lagi model-model ikonik seperti smart ForTwo dan ForFour; yang ada kini ialah era baru smart, dengan arah tuju juga berbeza.

smart kini menjadi jenama yang hanya akan mengeluarkan EV semata-mata. Dan di Malaysia, pengedarannya dikendalikan oleh Pro-NET Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat Proton. Dan, imej yang anda lihat ini adalah dari sesi preview media Selasa lalu yang diiringi sekali sesi pandu uji ringkasnya di litar ujian Proton di Shah Alam. Ketika ini, hanya gambar luaran yang boleh ditunjukkan, manakala hebahan gambar dalaman EV ini akan menyusul kelak.

smart #1 2023 tampil perdana di M’sia di pameran EVx — 66 kWh, 22 kW AC, bakal dilancarkan suku keempat

Model smart menggunakan Sustainable Electric Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely, sebuah platform EV modular yang turut dimanfaatkan oleh model lain seperti Lotus Eletre, Zeekr 001 dan Polestar — ia menjadi teras kepada banyak EV premium yang lain.

Dari segi rekaan, smart #1 ini dihasratkan sebagai ialah sebuah SUV, dengan pendekatan rekaan yang dirasakan mampu memenuhi kehendak pelanggan smart di pasaran umum. SUV yang dimaksudkan ini tentulah dalam erti kata yang banyak digunakan oleh model-model EV pengeluar lain: lebih cenderung sebagai sebuah hatchback dengan saiz besar daripada kebiasaan.

Ukuran dimensinya adalah seperti berikut: 1,822 mm lebar dengan jarak antara roda 2,750 mm. Sebagai latar, jika dibandingkan dengan Honda HR-V, #1 ini lebih lebar 32 mm dan jarak rodanya lebih panjang 140 mm, walaupun ia sebenarnya lebih pendek daripada HR-V. #1 juga lebih tinggi 46 mm dengan ketinggian 1,636 mm. smart #1 juga menggunakan saiz rim yang lebih besar, 19-inci.

Dari segi rekaan, smart #1 tampil dengan wajah depan tertutup seperti kebiasaan EV yang ada hari ini, diserikan dengan jalur dan lampu LED untuk menjadikan imejnya futuristik. Lampu yang ada di wajah depan ini juga boleh dinyala mengikut rentak muzik yang dimainkan.

Sentuhan rekaan lain pada smart #1 tak kalah menarik: tingkap tanpa bingkai, pemegang pintu yang tersembunyi serta kesan bumbung terapung yang lebih jelas kelihatan — dengan bahagian kaca yang luas di situ. Tidak ketinggalan, rekaan kuncinya, dengan fungsi kunci/buka automatik.

Model dalam gambar ini ialah dari varian #1 Premium, yang dilengkapi dengan motor elektrik di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork yang memacu roda belakang. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat. Varian paling tinggu pula Brabus, hadir dengan tambahan motor kedua di depan, menjadikannya pacuan AWD dengan kuasa 428 PS (315 kW) dan 543 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

EV ini menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan 440 km dalam kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC: dengan pengecas yang serasi, kadar bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Walaupun DC adalah pilihan yang paling ideal untuk mana-mana EV, sumber utama untuk pengecasan sebenarnya adalah melalui AC, dan smart #1 turut ada kelebihan dengan 22 kW AC berbanding kebanyakan model biasa yang hanya menyediakan kemampuan 11 kW.

Dengan kadar pengecasan AC tersebut, keadaan bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa tiga jam — jangka masa yang cepat juga mengambil kira ini adalah daripada AC. Di Malaysia ketika ini, hanya mdoel seperti Audi Q8 e-tron/e-tron GT dari varian 55 quattro dan Porsche Taycan yang menyediakan pengecasan 22 kW. EV premium lain bahkan tetap menyediakan kadar 11 kW, sementara EV biasa datang dengan kemampuan 7 kW sahaja.

Antara kelengkapan yang ada model ini ialah lampu utama adaptif LED Matrix; lampu isyarat sequential; lampu di bahagian gril, pintu, logo; lampu di cermin sisi, rim aloi 19-inci Rotor dengan tayar 235/45; bumbung panoramik; landasan bumbung; dan pintu belakang bebas operasi tangan.

smart #1 2023 tampil perdana di M’sia di pameran EVx — 66 kWh, 22 kW AC, bakal dilancarkan suku keempat

Walaupun gambar bahagian dalam belum boleh ditunjukkan di sini, kokpitnya hadir dalam rekaan T yang besar dan bersambung dengan konsol di tengah, dengan skrin 12.8-inci. Untuk pemandu, kluster instrumen 9.2-inci tersedia, serta head-up display (HUD) 10-inci. Ada juga sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara 640W.

Kerusi juga balutan kulit, dengan larasan elektrik untuk kerusi depan dengan memori, pendingin hawa dua-zon, penapis udara N95, dan tidak ketinggalan 64-warna lampu suasana ala Mercedes-Benz. Untuk ruang, dengan tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, ia mampu menyediakan ruang barangan antara 323 liter hingga 411 liter, atau 986 liter jika kerusi tersebut dilipat penuh. Ruang dalam hud depan pula ada 115 liter.

Apa pandangan anda tentang smart #1 ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required