Penulis ingat lagi ketika Honda HR-V generasi kedua tiba di Malaysia pada 2015 – ia seakan satu fenomena. Ketika itu SUV segmen-B merupakan sesuatu yang baharu kerana kebanyakkan SUV lain ditawarkan pada segmen-C dan ke atas. Penawaran HR-V di Malaysia seolah-olah mewujudkan satu demografi baharu untuk pembeli kereta di pasaran tempatan.

Dengan bentuk seakan hatchback, saiz dan harga yang lebih mampu milik dari CR-V, serta logo ‘H’ pada SUV kompak ini menyebabkan ramai yang merasakan mereka perlu mendapatkannya. Umum mengetahui, salah satu tarikan untuk orang ramai memandu SUV (terutamanya wanita) adalah kedudukan pemanduannya yang tinggi sekaligus menambahkan keyakinan sesorang itu untuk memandu.

HR-V direka seakan sebuah hatchback tetapi mempunyai jarak kelegaan tanah yang tinggi. Namun saiznya pula tidak terlalu besar, dan ia masih mudah untuk dipandu dan diparkir di kawasan bandar yang sesak. Malah harga jualan untuk HR-V ketika itu bermula RM99,800 untuk model gred S hingga RM118,800 untuk gred tertinggi V – yang agak rendah untuk sebuah Honda ketika itu, membuatkan HR-V terus digilai oleh rakyat Malaysia.

Dengan kehadiran HR-V, semakin ramai pengguna di Malaysia mula beralih dari sedan dan hatchback ke SUV. Malah pengeluar lain turut membawa SUV segmen-B ke pasaran tempatan; Mazda dengan CX-3, Subaru dengan XV, Toyota dengan C-HR, dan pelbagai lagi. Tetapi tiada satu pun yang dapat memberikan saingan sengit kepada HR-V dari segi jualan, sehinggalah Proton memperkenalkan X50 pada Oktober 2020.

Kini, HR-V sudah pun diperkenalkan dalam versi generasi ketiga, dilancarkan pada pasaran Malaysia pada Julai lalu. Jika dibaca menerusi kertas spesfikasi dan melihat gambar-gambar, model generasi baharu ini menampilkan semua yang lebih baik pada setiap aspek. Jadi betul ke setiap jangkaan berkenaan? Kami berpeluang menguji Honda HR-V generasi baharu ini dalam satu sesi pandu uji media, bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Terengganu.

Kami diberikan dua varian untuk diuji pada sesi kali ini iaitu varian tertinggi untuk enjin petrol iaitu Turbo V yang dijana enjin 1.5L VTEC Turbo yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM134,800 serta varian RS yang menerima unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV dijual pada harga RM140,800. Namun untuk laporan kali ini penulis akan menumpukan terhadap varian Turbo V terlebih dahulu.

Untuk makluman anda, HR-V di Malaysia turut ditawarkan dengan enjin 1.5L NA sebagai varian asas S dijual pada harga RM114,800, serta varian pertengahan Turbo E yang turut menerima enjin VTEC Turbo dijual pada harga atas jalan RM129,800. Ya, dari segi harga HR-V kini menampilkan julat yang lebih tinggi berbanding model generasi sebelum ini. Tapi tak hairanlah, anda lihat sahaja rupa luarannya sudah tahu mengapa ia lebih mahal.

Honda HR-V generasi ketiga ini mungkin nampak lebih besar dari model generasi kedua. Namun hakikatnya, saiz antara kedua-dua model berkenaan adalah hampir sama, dan rupa ‘lebih besar’ yang anda nampak tersebut adalah magik yang Honda buat menerusi rekaan. Atas kertas, ukuran untuk HR-V baharu ini adalah 4,385 mm panjang, 1,790 mm lebar, dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Jadi lebar dan juga jarak roda untuk kedua-dua generasi ini adalah sama, cuma model generasi ketiga ini hanya 39 mm lebih panjang berbanding generasi kedua.

Jarak kelegaan tanah untuk HR-V baharu ini pula adalah 183 mm untuk varian Turbo V dan 196 mm untuk varian RS – kedua-dua model ini tampil dengan set roda dan ketinggian suspensi yang sama, namun apa yang menyebabkan jarak kelegaan tanah varian turbo lebih rendah mungkin adalah kerana tabung tengah ekzos yang lebih besar dan lebih labuh ke bawah. Jadi secara asasnya, model generasi baharu ini sememangnya menampilkan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi dari HR-V generasi sebelumnya bagi memberikan stance yang nampak lebih gagah dan bersedia untuk mengharungi permukaan jalan lebih lasak.

Tetapi dalam masa yang sama tinggi keseluruhan HR-V generasi baharu yang diukur 1,590 mm – sedikit lebih rendah berbanding 1,605 mm pada model generasi kedua – membuatkan badannya juga kelihatan lebih ‘leper’ dan lebih sporty. Rekaan ini juga sebenarnya mengingatkan kita kepada HR-V generasi pertama yang direka berpetak dan leper seperti ini.

Tidak dilupakan, pembuka pintu belakang yang disorokkan pada bahagian tingkap sama seperti HR-V generasi kedua membuatkan ia nampak seperti model dua-pintu. Rekaan ini juga sebenarnya adalah untuk memperingati HR-V generasi pertama kerana model berkenaan memang ditawarkan dalam versi dua-pintu yang nampak sporty.

Bagi membangkitkan keterujaan pada model ini juga, pereka Honda telah menyelitkan beberapa perincian kecil yang menunjukkan keghairahan mereka dalam menghasilkan model ini. Antaranya jalur kemasan pada gril hadapan sebelah bawah yang nampak seperti graf denyut, dan pada kemasan sekeliling cermin belakang terdapat bentuk profil sisi HR-V ini bersama satu lagi graf degupan jantung.

Kemasan luaran untuk model Turbo V ini sebenarnya hampir sama dengan varian RS. Antara perincian yang diberikan termasuk lampu hadapan LED automatik bersama lampu isyarat penunjuk LED, lampu kabus hadapan LED, lampu belakang LED, dan rim aloi bersaiz 18-inci kemasan hitam berkilat.

Apa yang berbeza, model Turbo V ini menerima gril hadapan dengan kemasan pin hitam berkilat (krom pada RS), kemasan graf denyut berwarna perak (merah pada RS) serta pelindung badan plastik tanpa cat (hitam berkilat pada RS). Dan sudah tentu model RS diberikan lencana ‘RS’ pada gril hadapan dan pintu but belakang bersama logo ‘e:HEV’, dan juga diberikan jalur krom pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang.

Satu lagi perincian yang anda boleh bezakan antara model Turbo V dan RS pada sebelah luar adalah tip ekzos di belakang; model Turbo E dan Turbo V menerima dua tip ekzos (kiri dan kanan) sebagai trademark model-model Honda dengan enjin 1.5L VTEC Turbo, manakala model RS dengan sistem hibrid e:HEV pula hanya ada satu corong ekzos yang disembunyikan disebalik bampar.

Masuk ke kabin, anda dihidangkan dengan ruang dalaman yang berada satu tahap lebih atas dari model generasi sebelumnya. Ia kelihatan ringkas, tetapi tidak bosan seperti kabin Toyota Corolla Cross. Dan ia juga kini lebih premium dan mewah dengan banyak perincian sentuhan lembut diberikan.

Papan pemuka baharu pada HR-V ini nampak lebih minimalis dan menampilkan lebih elemen mendatar berbanding papan pemuka seperti kapal angkasa pada model sebelum ini. Corong pendingin hawa pada untuk penumpang diberikan kemasan penghubung dengan corong yang berada di tengah, membuatkan ia nampak seperti merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut.

Kalau anda perasan, pada hujung kedua-dua corong udara sisi sistem pendingin hawa berkenaan diberikan liang berbentuk-L dan juga satu suis putar. Ini adalah fungsi baharu yang dinamakan sistem sebaran udara; sekiranya anda tidak selesa dengan cara corong menghembuskan udara dingin tertumpu pada satu arah atau sasaran, dengan sistem sebaran udara ini membolehkan udara dingin berkenaan tersebar dengan lebih ‘lembut’ ke arah anda tanpa satu-satu titik tumpuan.

Manakala skrin infotainmen pula tidak lagi ‘tertanam’ sebaliknya dihasilkan dengan rekaan berdiri sendiri, kini dengan saiz lapan-inci skrin sentuh dengan Apple CarPlay dan Android Auto untuk semua varian. Untuk kawalan penghawa dingin zon tunggal, tiada lagi panel kawalan digital sebelum ini, dan ia diganti dengan suis-suis putar analog yang ternyata jauh lebih mudah untuk digunakan.

Seperti Civic FE, HR-V Turbo (E dan V) diberikan paparan instrumen separa digital menggandingkan skrin pelbagai info dengan takometer digital bersama meter kelajuan analog. Namun HR-V diberikan roda stereng yang berbeza dari Civic dengan perumah beg udara yang lebih bulat, rekaan jejari lebih lebar bersama suis-suis kawalan dengan rupa tersendiri.

Pada bahagian tengah kabin, tiada lagi konsol terowong yang tinggi seperti model sebelumnya, tetapi digantikan dengan konsol yang menempatkan tombol gear yang nampak lebih konvensional. Susunan baharu konsol ini juga memberikan ruang storan di hadapan tombol gear yang lebih besar serta pemegang cawan yang lebih mudah dicapai dan digunakan kerana diletakkan lebih kehadapan.

Suis penukar mod, suis brek parkir bersama butang brake hold serta butang bantuan turun bukit pula diletakkan selari dengan pemegang cawan tersebut, juga memudahkan capaian pemandu. Walau bagaimanapun, dengan rekaan baharu ini, ciri ‘konsol terapung’ yang menampilkan poket tepi dan ruang storan di bawah konsol gear dari model sebelumnya sudah tidak ada lagi.

Tidak seperti model Honda lain yang menampilkan tempat duduk rendah ala-kereta sport, HR-V diberikan posisi pemanduan yang agak tinggi. Ini memberikan perasaan sebenar memandu sebuah SUV di mana anda boleh melihat dengan jelas bahagian hadapan, sekaligus memberikan keyakinan memandu yang tinggi.

Apabila anda duduk ditempat pemandu ini juga, hampir kesemua bahagian yang bersentuh dengan anda terasa premium – roda stereng yang dibalut kulit, tempat duduk larasan elektrik (hanya untuk pemandu) balutan kulit, balutan kulit pada tempat anda meletak siku (perehat tangan dan hendal pintu) serta balutan kulit pada tempat anda merehatkan lutut kiri iaitu pada bahagian sisi kanan konsol terowong.

Penulis turut tertarik dengan bentuk cermin dan tingkap HR-V ini jika dilihat dari sebelah dalam. Dengan bumbung yang rendah untuk badan yang ‘leper’, cermin hadapannya cukup kecil tetapi masih memberikan sudut pandang hadapan yang cukup jelas. Menurut Honda, tahap penglihatan pemandu untuk HR-V baharu ini adalah 10 mm lebih tinggi berbanding model terdahulu.

Manakala cermin-cermin tingkapnya pula mengingatkan penulis kepada Proton Satria Neo. Tapi apa yang ajaibnya sekali lagi, walaupun dengan posisi duduk yang tinggi dan bumbung yang rendah, tidak langsung terasa ‘sesak’ ketika berada di dalam kabin SUV tersebut. Malah untuk penumpang belakang, ia kini memberikan ruang kelegaan kepala yang lebih baik berbanding HR-V generasi kedua kerana ia kini menampilkan rekaan bumbung belakang bersegi berbanding garis landai pada model sebelumnya.

Bercakap tentang keselesaan ruang belakang, ruang kaki dan lutut yang diberikan memang terasa lebih luas dari HR-V sebelum ini, selari dengan dakwaan Honda bahawa ruang berkenaan kini adalah 35 mm lebih besar – entah macam mana Honda buat padahal jarak rodanya tidak berubah dari sebelum ini!

Untuk perjalanan jauh yang lebih relaks, perehat tempat duduk belakang ini juga kini adalah dua-darjah lebih condong dari model sebelumnya. Selain cukup pemegang botol dan cawan yang diletakkan pada bahagian pintu dan perehat tangan tengah, ruang storan pada bahagian belakang konsol terowong dan juga poket-poket di belakang tempat duduk hadapan, diberikan corong pendingin hawa dan port USB sendiri, penumpang belakang juga dapat menikmati bunyi muzik yang cukup baik kerana pada bahagian pintu belakang HR-V Turbo V ini bukan hanya di berikan pembesar suara biasa, malah ia turut hadir dengan tweeter tersendiri.

Bagi aspek ruang kargo pula, Honda Malaysia tidak memberikan angka rasmi berapa kapasiti muatan untuk but belakang. Namun dapatan kami menerusi laman CarsGuide Australia, model generasi baharu ini menampilkan kapasiti but sebesar 304 liter, dan ia boleh menjangkau sehingga 1,274 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

Kapasiti tersebut sebenarnya lebih kecil dari model sebelumnya kerana HR-V generasi kedua menampilkan ruang but sebesar 437 liter. Tetapi konfigurasi tempat duduk pelbagai guna hampir seperti ‘ultra seat’ dari Honda City Hatcback dan Honda Jazz masih diberikan pada HR-V generasi ketiga ini.

Menerusi fungsi ini, tempat duduk belakang yang dilipat berkenaan adalah sama rata dengan lantai but belakang, sehingga anda boleh memuatkan barang yang besar tanpa membazir ruang. Ia juga diberikan mod ‘panjang’ di mana tempat duduk penumpang hadapan turut boleh dilipat untuk anda membawa objek panjang seperti tangga lipat atau permaidani yang digulung, serta mod ‘tinggi’ di mana tempat duduk belakang boleh diangkat bagi membolehkan anda membawa objek tinggi seperti pokok di dalam pasu bunga.

Ruang but belakang HR-V ini tidak diberikan penutup tonneau konvensional. Sebaliknya penutup berkenaan direka agar terus melekat dengan cermin belakang dan terangkat sekali setiap kali pintu hatch dibuka – jadi tak perlulah dua kali kerja untuk membuka pintu hatch dan penutup tonneau berkenaan setiap kali mahu meletakkan dan mengambil barang di dalam but.

Seperti yang diberitahu tadi, bagi varian Turbo V (dan juga varian Turbo E), HR-V ini menerima enjin 1.5 liter empat silinder VTEC Turbo. Ia ditala bagi menghasilkan 181 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm. Secara asasnya ia adalah enjin yang sama seperti pada Honda Civic FE, cuma kuasanya kurang 1 PS.

Enjin ini jelas menjadikan HR-V kini sebagai SUV segmen-B yang agak berkuasa berbanding model generasi sebelumnya yang diberikan enjin R18 1.8 liter SOHC i-VTEC untuk pasaran Malaysia, hanya menjana 142 PS/172 Nm. Jangan tak tau, bukan semua pasaran menerima enjin turbo untuk HR-V – bagi pasaran Jepun, Thailand, Australia dan Eropah misalnya, varian tertinggi ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV sahaja, tanpa penawaran enjin turbo.

Dalam perjalanan hari pertama kami dari KL ke Kuantan, bacaan purata bahan api yang ditunjukkan pada paparan meter adalah sekitar 6 hingga 7 liter untuk 100 km. Ia adalah selari dengan dakwaan Honda dalam brosur di mana HR-V ini mencatatkan penggunaan bahan api 6.5 liter untuk 100 km. Namun ingin diingatkan, perjalanan kami ini adalah sekitar 10% dalam bandar, sekitar 30% menggunakan jalan lama, dan selebihnya adalah Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur.

Ketika memerah pedal pendikit, dapat dirasakan kuasa yang diberi tidaklah agresif seperti Civic. Ini kerana berat HR-V ini sendiri adalah 1,403 kg berbanding hanya 1,362 kg untuk Civic. Dan, walaupun ia menampilkan talaan kuasa lebih besar dari Proton X50 T-GDi Flagship (177 PS/255 Nm), SUV dari Proton berkenaan memberikan respon pendikit yang lebih baik; bukan sahaja kerana X50 adalah lebih ringan (1,370 kg) malah ia menggunakan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

Namun enjin sebenarnya sudahpun memberikan kuasa yang lebih dari cukup. Ia dapat memberikan tujahan yang baik ketika memotong, serta membolehkan SUV ini cruising secara relaks di lebuhraya pada kelajuan 140 km/j. Oh ya, juga ketika memandu HR-V ini di Lebuhraya Pantai Timur, penulis dapat rasakan tahap NVH model ini juga adalah lebih baik dari sebelumnya.

Dalam kelajuan 90-100 km/j, boleh dikatakan kabin HR-V ini berada dalam keadaan ‘senyap sunyi’. Namun untuk kelajuan lebih daripada itu, bunyi-bunyi dari luar terutamanya dari tayar mula masuk ke kabin, tetapi masih tiada masalah untuk anda berbual dalam kabin dengan nada yang biasa.

Bagi penulis, tayar Continental UltraContact UC6 yang dibekalkan secara standard sudahpun menjalankan tugasnya dengan baik dengan tidak mengeluarkan bunyi yang kuat, cuma tahap kedap bunyi untuk kabin HR-V ini tidak sebaik apa yang Toyota buat untuk Corolla Cross.

Untuk pengendalian pula, Honda memberikan talaan yang seimbang antara keselesaan dan juga prestasi untuk HR-V ini. Ia masih memberikan kadar olengan seperti kebanyakkan SUV, tetapi dinamik pemanduannya masih ditala bagi membolehkan anda berasa seronok ketika ‘melayan’ Lebuhraya Karak.

Dan ia juga masih memberikan kestabilan serta keselesaan yang baik pada permukaan beralun di Lebuhraya Pantai Timur. Stereng dengan sistem nisbah bervariasi pada HR-V ini juga cukup untuk memberikan respon dan ketepan ketika mengendalikannya.

Memang, tiada satu pun kereta yang sempurna di atas muka bumi ini. Namun bagi penulis, Honda berjaya menghasilkan sebuah HR-V generasi baharu yang jauh lebih baik dari generasi sebelumnya, dan masih seimbang dari setiap segi berbanding lawan sekelas lain; ia masih antara yang paling kacak, antara yang paling berkuasa, memberikan pengendalian dan praktikaliti antara yang paling baik, cuma jelas kalah dari segi NVH berbanding Corolla Cross.

Jadi tidak hairanlah sehingga akhir bulan lalu, tempahan untuk HR-V 2022 ini telahpun mencapai 30,000 unit sejak ia dilancarkan pada 14 Julai 2022, dengan 52% pelanggan memilih varian Turbo V yang kami uji ini.

Untuk perincian lebih lengkap berkenaan spesifikasi Honda HR-V 2022 ini, anda boleh baca laporan pelancarannya yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI. Dan sekiranya anda mahu membuat perbandingan antara varian mahupun dengan model-model lain, ia boleh dibuat menerusi laman Carbase.my.