Model SUV kompak Toyota C-HR mungkin menjadi antara model yang paling hangat dinantikan untuk tiba di Malaysia secara oleh peminat-peminat jenama itu, mahupun bagi mereka yang ingin tahu lebih banyak tentang penawarannya dan perbandingan dengan segmen yang sama.

Memang bukan lagi rahsia, cuma UMW Toyota belum lagi memberikan apa-apa maklumat rasmi yang komprehensif tentang model berkenaan, tetapi telah beberapa kali mempamerkannya untuk tatapan umum. Kali pertama pada Mei lalu, dan bermula bulan ini, beberapa lokasi terpilih akan menjadi “pentas” terbaru dan terbuka bagi khalayak umum yang berminat untuk datang dan mendekati model berkenaan.

Jika sebelum ini hanya bahagian luaran yang ditunjukkan, di dalam galeri terbaru ini kami sertakan pula koleksi gambar yang lebih menyeluruh, termasuk untuk ruang dalaman model berkenaan. Bagaimanapun, ia masih lagi unit yang sama seperti yang pernah dipertontonkan sebelum ini; unit dari pasaran dan spesifikasi Australia. Ia menggunakan enjin 1.2 liter turbo.

Bagaimanapun, senarai spesifikasi bagi model yang akan dipasarkan di Malaysia nanti hampir sama dengan unit contoh ini, cuma penggunaan enjin adalah dari enjin 1.8L. Dijangka, untuk pasaran tempatan, C-HR nanti akan dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif lengkap termasuk , sistem masukan tanpa kunci serta hadir dengan tempat duduk kulit.

Dari segi ciri-ciri keselamatan, unit yang dipamerkan ini turut lengkap dengan sistem seperti Pre-Collision Safety, Active Cruise Control, Lane Departure Alert, Autonomous Emergency Braking, Forward Collision Warning dan Automatic High Beam.

Kelengkapan lain termasuk paparan maklumat 4.2 inci pada kluster instrumen, lampu utama halogen dengan DRL LED, sistem pendingin hawa dwi-zon, rim aloi 17 inci dan kerusi fabrik. Apapun, spesifikasi pada unit yang dipamerkan ini bukanlah cerminan kepada kelengkapan spesifikasi bagi versi yang akan dijual di sini nanti.

Namun, semua ini hanyalah maklumat awal dan bukannya dari sumber rasmi daripada UMW Toyota. Sementara kita menunggu ketibaan model ini tiba untuk pasaran Malaysia, tinjau dahulu perincian yang terakam oleh lensa kamera kami ini.