Polestar telah memperkenalkan Polestar 2 facelift, sebagai model tahun 2024, dengan membawa peningkatan teknikal yang termasuk motor penggerak baru, bateri lebih berkuasa dan buat pertama kalinya bagi fastback elektrik tersebut, pacuan dua roda belakang.

Pengenalan pacuan RWD pada Polestar 2 facelift ini adalah melalui varian asas satu motor, di mana motor tersebut menyampaikan kuasa kepada dua roda belakang dan bukannya roda hadapan seperti sebelum ini. Sementara itu bagi varian dua motor AWD pula, ia kini ditetapkan supaya memberi lebih nisbah kuasa kepada roda belakang.

Melalui model baru ini, kuasa dan tork bagi varian satu motor telah ditingkatkan sehingga 220 kW (299 PS) bagi varian Long Range Single Motor, dan tork 490 Nm. Sebelum ini, varian Long Range Single Motor cuma menghasilkan 231 PS dan 330 Nm tork.

Sementara itu, varian Standard Range Single Motor juga mendapat peningkatan kuasa, sehingga 200 kW (272 PS) dan tork yang masih kekal 490 Nm. Varian Dual-Motor AWD mendapat motor penggerak baru di hadapan dan belakang, membawa jumlah kuasa keseluruhan meningkat menjadi 476 PS dan tork 740 Nm (Performance Pack) – sebelum ini cuma 408 PS dan 660 Nm.

Semua versi Polestar 2 facelift juga menerima bateri lithium ion yang dipertingkat, dengan unit 82 kWh dari CATL dengan 20 modul membekalkan kuasa kepada varian Long-Range, dan unit 69 kWh daripada LG Chem dengan 24 modul membekalkan kuasa kepada versi Standard-Range.

Melalui ujian WLTP, varian Standard Range Single Motor kini boleh memberikan jarak gerak sehingga 518 km, iaitu 40 km lebih tinggi berbanding bateri sebelum ini, sementara varian Long Range Single Motor pula dapat memberikan jarak gerak maksimum 635 km, iaitu 84 km lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Menurut Polestar, bateri Polestar 2 2024 telah dinaik taraf dengan unit pemutus bateri yang direka semula, busbar dipertingkat serta sel kimia yang diperbaiki, seterusnya dapat memberikan waktu mengecas yang lebih pantas dan menerima kadar 205 kW DC bagi bateri Long-Range dan sehingga 135 kW untuk bateri Standard Range.

Bahagian utama yang nampak berbeza pada badan Polestar 2 ini adalah panel SmartZone di hadapan, yang menurut Polestar, dilakukan bagi “beralih daripada pernafasan kepada penglihatan.” Ini adalah sebagai rujukan kepada bahagian salur udara yang kini diganti dengan peranti sistem keselamatan aktif seperti kamera dan radar.

Ciri Driver Awareness seperti Blind Spot Information System (BLIS) dengan sokongan stereng, Cross Traffic Alert dengan sokongan brek, serta Rear Collision Warning and Mitigation kini diberikan standard, bersama kamera 360 darjah dan cermin boleh malap sendiri.