Toyota Australia telah umumkan ketibaan model Toyota Hilux GR Sport dari varian yang paling tinggi untuk pasaran berkenaan pada September nanti, dengan peningkatan mekanikal dan penampilan yang penting.
Perubahan yang dilakukan bukan hanya melibatkan hal kosmetik: ia antaranya bakal memuatkan enjin diesel paling berkuasa pernah ditawarkan di sana, serta naik taraf untuk sistem suspensi. Enjn 1GD 2.8 liter turbodiesel telah ditala untuk menghasilkan 221 hp kuasa dan 550 Nm tork, dengan transmisi automatik enam-kejalajuannya juga telah diselaraskan untuk menyokong peningkatan output itu (sebelum ini 201 hp/500 Nm).
Hilux GR Sport ini menggunakan platform “lebar” yang sama dengan Hilux Rougue, dengan penambahan 15 mm bagi ketinggian dan lebar jejaknya meningkat sebanyak 135 mm di depan dan 155 mm di belakang.
Bagaimanapun, tetapan untuk gegelung depan dan leaf spring belakang membexakan antara versi GR Sport dan Rogue, dengan varian flagship ini dilengkapi penyerap hentak tiub tunggal KYB dengan diameter piston yang lebih besar. Dengan tiada lagi sway bar di belakang juga membolehkan artikulasi gandar dan memperbaiki jarak tanah di permukaan tidak rata.
Cengkaman ketika off-road juga diperbaiki dengan penggunaan tayar Bridgestone Dueler AT bersaiz 265/65 R17, dipasang pada rim aloi 17-inci “Dakar”. Semua roda hadir dengan brek cakera — 338 mm dengan angkup empat-piston 28 mm didepan dan 312 mm dengan angkup piston tunggal 18 mm di belakang, dalam warna merah.
Dari sudut penampilan, gril mesh hitam digerikan dengan tulisan TOYOTA dan lencana GR. Bampar depan rekaan baru memberikan sudut mendekati yang lebih baik, serta menampilkan perumah lampu kabus baru dan perincian bahagian bawah bampar dengan skid plate unik. Bahagian lengkung tayar juga ada kemasan hitam tambahan untuk menampung pertambahan jejak lebarnya, dan datang sekali dengan bukaan udara di depan untuk mengurangkan golakan angin.
Hilux nampak lebih gagah dalam penampilan GR Sport ini. Bahagian bawah bingkai pintu dilindungi oleh lapik logam setebal 2 mm, begitu juga dengan kehadiran lapik di bawah badan trak ini. Bahagian belakang juga lengkap dengan palang dan bebola tunda, untuk kegunaan spesifik tersebut.
Di dalam, Hilux GR Sport menerapkan elemen yang diilham dari rali, misalnya stereng balutan kulit dengan paddle shifter, dan jalur merah di tengah dan logo GR. Kerusinya juga disertakan logo yang sama, dan turut menerima balutan kulit dengan kemasan suede, dengan jahitan kelabu dan tali keledar merah.
Pedal aluminium, kemasan papan pemuka “Technical Mesh”, tuil khas GR Sport dan pelapik lantai untuk semua keadaan turut menjadi perbezaannya. Sistem audio pula menggunakan JBL dengan sembilan-pembesar suara. Lima pilihan warna luaran disediakan — Glacier White, Frosted White, Stunning Silver, Eclipse Black dan Feverish Red yang dilihat ini.
Toyota Hilux GR Sport di Austoralia akan dijual pada harga A$73,990 (RM223,538). Adakan versi ini lebih menarik dan garang berbanding Hilux GR Sport yang kita terima untuk pasaran tempatan?
Toyota Hilux GR Sport 2023 untuk pasaran Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.