Mitsubishi Motors mengumumkan Kei-Car berkuasa elektrik sepenuhnya iaitu eK X EV yang kini hanya dijual di pasaran Jepun akan dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 pada 10 Ogos nanti. Ini merupakan kali pertama model berkenaan dipamerkan di luar Jepun sebelum ia dijadualkan untuk diproduksi dan dijual di Indonesia!
Walau bagaimanapun Mitsubishi masih belum memperincikan bila produksi eK X ini akan bermula dan bila ia akan mula dijual dipasaran Indonesia. Namun sebelum ini jenama tiga berlian berkenaan sudahpun mengesahkan kei-Van elektrik untuk kegunaan komersil iaitu Minicab MiEV akan mula diproduksi kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia (MMKI) yang terletak di Jawa Barat bermula tahun hadapan.
Bagi Mitsubishi eK X EV , ia mula didedahkan di Jepun pada Mei tahun lalu. Model dengan kuasa elektrik ini menampilkan rupa yang sama dengan varian petrol eK X (X disebut sebagai ‘cross’), iaitu versi dengan penggayaan SUV berbanding eK Wagon biasa.
Model ini digerakkan dengan motor elektrik MM48 yang menghasilkan kuasa 64 PS (63 hp atau 47 kW), iaitu had kuasa maksima yang dibenarkan oleh undang-undang Kei-Car Jepun, sama seperti model-model janaan petrol. Namun motor berkenaan menghasilkan kuasa tork yang agak tinggi iaitu 195 Nm (berbanding hanya 100 Nm pada eK X hybrid dengan enjin 660 cc tiga-silinder turbo dan sistem hibrid) bagi memacu terus roda hadapan.
Motor tersebut menerima kuasa dari bateri litihium-ion 350-volt, 20 kWj yang diletakkan pada lantai, membolehkan ia bergerak sejauh 180 km dalam standard WLTC dengan satu cas penuh. Bateri ini memerlukan lapan jam untuk dicas penuh 100% menggunakan pengecas AC 2.9-kW (sambungan Type 1).
Manakala dengan pengecas 30-kW DC (sambungan CHAdeMO), ia boleh dicas sehingga mencapai 80% dalam hanya 40 minit. eK X ini juga menampilkan sokongan sistem caj dua arah kenderaan-ke-rumah (V2H) serta kenderaan-ke-beban bagi membolehkan eK X EV ini bertindak sebagai ‘powerbank gergasi’ untuk pelbagai peralatan elektrik apabila diperlukan.
Bagi pasaran Jepun, eK X ini menampilkan perincian keselamatan standard seperti tujuh-beg udara, kawalan kestabilan kenderaan, sistem brek ABS bersama EBD, penderia parkir hadapan dan belakang serta bantuan mula mendaki.
Sistem bantuan pemanduan Mi-Pilot juga dibekalkan secara standard, menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, bantuan dan amaran kekal lorong, lampu tinggi automatik, kawalan salah tekan pedal dan juga pengecam tanda trafik.
Di Jepun, Mitsubishi eK X EV ini dijual pada harga bermula 2.398 juta yen (RM76k) untuk model asas G, sehingga 2,932,600 yen (RM93k) untuk model tertinggi P. Ia adalah jauh lebih mahal dari versi petrol dimana Mitsubsishi eK X biasa dijual pada harga antara 1.463 juta dan 1,688,500 yen (RM46k dan RM54k).
Walau bagaimanapun, dengan subsidi kenderaan tenaga bersih yang diberikan kerajaan Jepun, pelanggan bakal menerima penjimatan bernilai 550,000 yen (RM17k), membolehkan ia dijual pada harga 1.848 juta yen (RM59k). Jika dicampur sekali dengan skim pencukaian untuk kereta-eko dan kenderaan ringan serta subsidi dari majlis perbandaran (450,000 yen (RM14k) di Tokyo, eK X EV ini boleh dibeli dengan harga serendah 1.018 juta yen (RM32k).
GALERI: Mitsubishi eK X EV pasaran Jepun
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.