47% pembeli Toyota GR Supra 2023 di Amerika Syarikat pilih kotak gear manual berbanding 8AT

47% pembeli Toyota GR Supra 2023 di Amerika Syarikat pilih kotak gear manual berbanding 8AT

Ketika diperkenalkan pada 2019, Toyota tidak pernah bercadang untuk menawarkan kotak gear manual pada GR Supra A90. Namun selepas mendapat banyak permintaan dari pengguna, versi kemaskininya iaitu GR Supra A91 yang muncul pada tahun lalu telah pun ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan selain dari pilihan kotak gear automatik lapan kelajuan sedia ada.

Apa yang diminta oleh pasaran nampaknya benar-benar diterjemahkan dalam jualan – menurut laporan Road & Track, 47% pembeli GR Supra A91 2023 di Amerika Syarikat memilih kereta sport berkenaan dalam versi manual.

Toyota Supra generasi kelima ini merupakan kembar kepada BMW Z4 G29, sebab itulah ia tidak ditawarkan dengan kotak gear manual pada peringkat awal. Bagi menyediakan Supra manual ini, Toyota telah menyusun sendiri konfigurasi mereka menggunakan seleksi komponen dari BMW dan juga komponen lain yang dibangunkan sendiri oleh Toyota.

Binaan transmisi manual untuk Supra A91 ini terdiri dari perumah kotak gear yang diambil dari BMW 3-Series, manakala komponen lain seperti linkage dan shifter dihasilkan baharu oleh Toyota sendiri. Konsol terowong juga direka semula bagi menempatkan pemasangan tuil manual berkenaan.

Transmisi ini juga kemudiannya diadaptasikan bersama perisian i-MT yang direka oleh Toyora bagi memberikan sistem rev match automatik, membolehkan pemandu menurunkan gear secara agresif tanpa kemahiran heel & toe. Bagi menyesuaikan kotak gear ini dengan gandar belakang, nisbah gear akhir pada unit differential telah diubah dari 3.15 kepada 3.46.

Kotak gear ini walau bagaimanapun hanya ditawarkan pada Supra A91 dengan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris turbo berkembar berkuasa 387 PS dan tork maksima 500 Nm. Model dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 258 PS dan tork maksima 400 Nm hanya hadir dengan kotak gear automatik.

Supra A91 dengan kotak gear manual ini telah pun dilancarkan secara rasmi di Malaysia oleh UMW Toyota pada Februari lalu. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM645,000, manakala versi dengan kotak geat automatik 8AT pula adalah RM10k lebih mahal iaitu RM655,000.

GALERI: Toyota GR Supra A91 2023 pasaran Malaysia dengan kotak gear manual enam-kelajuan

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required