Hari Kemerdekaan bakal disambut lusa, dan pastinya ada di antara anda yang merancang untuk menyaksikan perarakan peringkat kebangsaan pada pagi 31 Ogos itu di Putrajaya. Polis menjangkakan seramai 100,000 orang akan membanjiri pusat pentadbiran kerajaan pada Khamis ini, ini bermakna kesesakan trafik juga bakal berlaku. Apatah lagi pada hari berkenaan, terdapat 22 jalan utama di sekitar Putrajaya yang bakal ditutup bagi kelancaran acara.
Cara terbaik, pilihlah pengangkutan awam untuk ke sana, dan antara pilihan yang ada termasuklah menaiki MRT Laluan Putrajaya dan juga KLIA Transit yang mengenakan tambang RM15 untuk perjalanan dua hala pada 31 Ogos ini. Tapi dari stesen rel berkenaan, bagaimana hendak ke lokasi acara?
Jangan risau, perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan pada hari tersebut dan anda boleh menaiki bas MS01 dari Putrajaya Sentral, di mana tren berhenti, untuk ke Dataran Putrajaya dan kembali semula ke stesen tren. Bas akan bergerak dari jam 4 pagi hingga 2 petang dan kekerapan setiap lima minit.
Selain itu, terdapat tiga laluan lain yang menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma ini. Termasuklah bas laluan MS02 dan MS03 yang akan melalui lokasi menarik di sekitar Putrajaya. Manakala bas laluan MS04 pula antara Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan Jalan Tun Hussein di Presint 3. Klik peta laluan di atas.
Tetapi jika yang ingin memandu kenderaan sendiri, antara kawasan parkir yang tersedia termasuklah di sekitar Masjid Tuanku Zainal Abidin (Masjid Besi), sekitar Jabatan Wilayah Persekutuan, Suasana PJH, sekitar Tugu Millenium, sekitar Myfarm di Presint 9, PICC, berhampiran bangunan Kementerian Pengangkutan, Putrajaya Sentral, dan parkir awam di bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Selain itu, kawasan parkir lain termasuk di sekitar bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Jabatan Peguam Negara. Bas perantara percuma juga turut disediakan di PICC, Kompleks E dan Putrajaya Sentral. Untuk perkhidmatan E-hailing pula, anda dibenarkan menurunkan penumpang di sekitar Masjid Besi dan Jalan Tun Hussien (di belakang Istana Kehakiman).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.