Ducati memperkenalkan sebuah model baru, yang mungkin boleh dikatakan sebagai Multistrada paling canggih dan mewah, iaitu Multistrada V4 S Grand Tour. Keistimewaannya bermula dengan warna eksklusif yang dipanggil sebagai Grand Tour, dan digunakan pada seluruh badan termasuk beg barangan tepi yang diberikan secara standard.
Semua kelengkapan yang disediakan sebagai pilihan tambahan pada Multistrada V4 sebelum ini diberikan secara standard pada V4 S Grand Tour. Ia termasuk tongkat tengah, pemanas tangan, pemanas tempat duduk (termasuk penumpang), sistem tanpa kunci dan pelbagai lagi.
Besi pemegang V4 S Grand Tour dikepit terus pada top yoke tanpa tapak tambahan bagi memberikan rasa yang lebih terus kepada penunggang, sementara tempat duduk penumpangnya adalah unit sama seperti yang digunakan pada Multistrada V4 Rally, yang lebih selesa.
Di bahagian kokpit terdapat skrin TFT-LCD yang juga boleh disambung kepada telefon pintar dan memaparkan navigasi. Ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk mod tunggangan, Traction Control, Wheelie Control, Cornering ABS dan Vehicle Hold Control. Dengan adanya radar di hadapan dan belakang, motosikal ini juga mempunyai fungsi Adaptive Cruise Control serta Blind Spot Warning.
Suspensi elektronik semi aktif Skyhook pada model ini datang dengan empat mod, dan ia akan melaras ketinggian secara automatik untuk keadaan tunggangan yang berbeza. Ia juga dilengkapi fungsi Minimum Preload yang akan merendahkan motosikal apabila berhenti atau bergerak perlahan, dan Easy Lift yang dapat membantu mengurangkan beban penunggang apabila mengangkat motosikal ini daripada tongkat tepi.
Masih lagi menggunakan enjin V4 Granturismo 1,158 cc sama seperti Multistrada V4 Pikes Peak dan Multistrada V4 Rally, Multistrada V4 S Grand Tour ini mampu menghasilkan kuasa 170 hp pada 10,500 rpm dan tork 125 Nm pada 8,750 rpm.
Pengurusan haba enjin telah dipertingkat, dengan ia mendapat pelindung haba pada lengan ayun serta bahagian tepi subframe. Ia kemudiannya dibantu lagi oleh salur udara pada fairing berhampiran bahagian kaki, manakala tempat meletak telefon juga sekarang sudah mempunyai liang udara.
Tinggi tempat duduk standard V4 S Grand Tour boleh dilaras antara 840 mm ke 860 mm, tetapi Ducati juga ada menjual pakej tempat duduk yang lebih rendah dan lebih tinggi, dengan ketinggian antara 790 mm hingga 875 mm. Tangki bahan api berkapasiti 22 liter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.