Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

Ducati akhirnya mendedahkan secara rasmi Multistrada V4, yang merupakan generasi keempat bagi model itu, dan diperkenalkan dalam tiga versi iaitu Multistrada V4, V4S dan V4S Sport. Daripada yang boleh dilihat pada namanya, peningkatan utama adalah enjin, di mana ia menggunakan unit V4 Granturismo.

Versi paling asas iaitu Multistrada V4 menggunakan suspensi Marzocchi, yang terdiri daripada fork 50 mm boleh laras sepenuhnya, serta monoshock di belakang, dengan jarak gerak masing-masing 170 mm dan 180 mm. Brek hadapan versi ini menggunakan angkup empat piston radial M4.32 manakala di bahagian kokpit terdapat skrin TFT-LCD lima inci warna penuh dan lampu menggunakan unit LED (bersama DRL).

Versi pertengahan, Multistrada V4S dipertingkat dengan angkup brek hadapan Brembo Stylema empat piston manakala suspensi pula ditambah dengan sistem elektronik Ducati Skyhook yang boleh memberikan fungsi auto levelling (masih lagi unit Marzocchi dengan jarak gerak yang sama seperti Multistrada V4). Penambahan lain adalah sistem Vehicle Hold Control, lampu membelok LED, sistem tanpa kunci, Blind Spot Detection dan Cruise Control.

Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

Pergi pula kepada Multistrada V4S, model ini masih menggunakan kelengkapan seperti V4S, tetapi ditambah dengan ekzos titanium Akrapovic, penghadang lumpur gentian karbon, rim serba hitam serta grafik Sport yang menggunakan warna putih dan merah.

Enjin V4 Granturismo yang digunakan pada Multistrada V4 adalah berbeza berbanding enjin V4 pada model lain, dan Ducati memanggilnya sebagai versi “touring“. Ia mempunyai kapasiti 1,158 cc, dengan kuasa 170 hp pada 10,500 rpm dan 125 Nm tork pada 8,750 rpm, dan cuma memerlukan penukaran minyak setiap 15,000 km. Pemeriksaan injap pula tidak perlu dilakukan sehinggalah tahap 60,000 km.

Enjin ini tidak menggunakan sistem injap Desmodromic dan saiznya adalah lebih kecil dan lebih ringan – berat keseluruhan cuma 6.7 kg dan 1.2 kg lebih ringan berbanding enjin Testastretta DVT pada Multistrada 1260, meskipun mempunyai lebihan dua piston. Berat Multistrada V4 adalah 215 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 22 liter.

Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

Seperti yang boleh dijangka, pelbagai teknologi canggih dipasang pada Multistrada V4 termasuk sistem Cornering ABS Bosch-Brembo 10.3ME, Traction Control, Wheelie Control dan Vehicle Hold Control. Untuk suspensi Skyhook pula, ia boleh melaras sendiri ketinggian mengikut tetapan satu penunggang, penunggang dan pembonceng ataupun penunggang dengan beg barangan. Sistem pemerhati tekanan angin tayar pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

Sistem elektronik lain dapat dilihat pada panel instrumen LCD, yang mana apabila ditambah dengan Ducati Connect System, boleh disambungkan dengan telefon pintar dan memaparkan peta navigasi serta memberi arahan petunjuk. Sistem ini juga boleh dipasang dengan modul Ducati Connect untuk mengawal fungsi telefon dan muzik menggunakan butang pada pemegang. Tempat khas meletakkan telefon disediakan atas tangki dan datang sekali dengan pengecas USB.

Sistem radar baru Ducati diberikan terus pada Multistrada V4S dan V4S Sport manakala untuk versi asas V4, ia dijual berasingan. Sistem ini dibangunkan bersama Bosch dan dapat memberikan fungsi Adaptive Cruise Control yang boleh mengawal jarak dengan kenderaan di hadapan, serta pengesan titik buta.

Ducati Multistrada V4, V4S dan V4S Sport diperkenal – enjin V4 Granturismo 170 hp, Adaptive Cruise Control

Ada empat mod yang disediakan pada Multistrada V4 iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro. Dalam mod Sport, semua 170 hp dapat dinikmati, suspensi diletakkan dalam mod Sport, Traction Control dan Wheelie Control pada tahap rendah dan ABS pada tahap nombor 2.

Dalam mod Touring, maklum balas enjin adalah lebih lancar dengan Traction Control dan Wheelie Control ditetapkan pada tahap maksimum, manakala dalam mod Urban kuasanya dikurangkan kepada 115 hp bagi memudahkan kendalian dalam trafik sesak atau jalan basah.

Mod Touring mengubah ABS kepada tahap nombor 3, dan fungsi ABS dilaras supaya bersesuaian dengan keselesaan tunggangan jarak jauh. Mod Enduro adalah untuk tunggangan offroad, dengan kuasanya dilaras kepada 115 hp, Wheelie Control ditutup dan ABS cuma berfungsi pada tahap 1 untuk roda hadapan.

Perhatian turut diberi kepada keselesaan penunggang serta pembonceng, dengan model baru ini telah melalui ujian dalam terowong angin untuk memperbaiki ciri aerodinamiknya. Penghadang angin hadapan boleh dilaras menggunakan satu tangan, sementara beberapa lagi sirip angin lain dipasang pada bahagian tepi dan bawah untuk mengalihkan angin panas dan memberikan stabiliti kepada motosikal.

Tempat duduk Multistrada V4 mengggunakan bentuk bertingkat dengan bahagian penunggang dijadikan lebih kurus supaya kaki lebih mudah mencecah tanah manakala untuk penumpang ia dijadikan lebih lebar dan tebal demi keselesaan. Tempat duduk standard penunggang boleh dilaras untuk ketinggian 840 mm dan 860 mm, manakala untuk menjadikan ia lebih rendah, pemilik boleh mendapatkan unit 810 mm atau untuk lebih tinggi, ia berukuran 875 mm.

Pelbagai lagi aksesori dijual secara berasingan untuk Multistrada V4 ini, bagi menjadikannya lebih sesuai dengan penggunaan pemilik, seperti rim spoked, beg barangan, tongkat tengah, pemanas tempat duduk, ekzos Akrapovic dan pelbagai lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required