Kicks on Wheels : intepretasi kasut sukan terhadap kereta dari Remus, pemilik Motorsport Playground

Kicks on Wheels : intepretasi kasut sukan terhadap kereta dari Remus, pemilik Motorsport Playground

Motorsport Playground merupakan nama yang tidak asing dalam dunia sukan permotoran tempatan. Syarikat yang bertapak di Bandar Sunway, Petaling Jaya berkenaan telah menghasilkan grafik badan bukan sahaja untuk kereta-kereta lumba tempatan, malah pemiliknya, Remus “Supremus” Chang telah menjelajah ke seluruh dunia bagi menyediakan livery perlumbaan pelbagai kereta-kereta lumba GT, termasuk yang berlumba di Le Mans 24 Jam.

Malah Remus turut pernah membalut badan kereta-kereta peribadi milik personaliti terkenal antarabangsa seperti superstar Hong Kong Jackie Chan dan Aaron Kwok, dan juga pelumba-pelumba terkenal termasuk pemandu F1 Jarno Trulli dan Carlos Sainz Jr.

Namun ketika pandemik Covid-19 melanda, sama seperti kita semua, Remus tidak boleh ke mana-mana. Ketika ‘mati kutu’ duduk di rumah, satu idea tercetus untuk menggabungkan minatnya terhadap seni ke atas badan kereta dan juga sebagai penggila kasut sukan (sneakers). Dan hasilnya telah didedahkan ketika berlangsungnya acara Sneakerlah 2023 di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 7 dan 8 Oktober lalu.

Ini dia pameran Kicks on Wheels, di mana karya yang dicetuskan ketika pandemik berkenaan didedahkan kepada orang awam. Dalam pameran ini Remus mempamerkan lima buah kereta dengan grafik badan seakan kasut. Beberapa lukisan kanvas kereta juga dengan inspirasi rekaan kasut yang dihasilkan Remus sendiri turut dibuka untuk dijual menerusi pameran ini.

Lima buah kereta yang dipamerkan tersebut adalah Toyota GR Yaris, Renault Megane RS 250, Porsche 911 generasi 964, Porsche 911 Turbo generasi 997 dan juga Mitsubishi Lancer Evo VIII. Kesemua kereta-kereta ini menerima tema grafik berdasarkan kasut-kasut tertentu.

Toyota GR Yaris Nike Air Jordan 1

Untuk Toyota GR Yaris, ia terlebih dahulu menerima ‘kacukan’ kit badan dari beberapa jenama terkenal seperti spoiler belakang, bampar belakang dan splitter udara sisi hadapan dari Tom’s (siri Type TK), spoiler bawah bampar hadapan dan skirt sisi dari GR Parts, dan juga kit fender lebih lebar dari Varis.

Selepas itu ia menerima grafik badan merah-putih-hitam yang menyerupai kasut Nike Air Jordan 1. Grafik tersebut termasuk logo Nike besar pada kedua-dua sisi, logo Air Jordan pada tiang-C dan juga corak dot pada penutup bonet enjin yang menyerupai lubang-lubang liang pada bahagian hadapan kasut sebenar.

Penampilan GR Yaris Nike Air Jordan 1 ini dilengkapkan dengan pemadanan rim Advan GT berwarna hitam dan dibalut dengan tayar Nankang Sportnex CR-S.

Renault Megane RS250 Cup Asics Gel Lyte III Teh Tarik

Asas projek ini bukannya Megane RS250 biasa, sebaliknya Remus menggunakan Renault Megane RS250 Cup Special Edition yang dihasilkan hanya 10 unit. Jadi tema kasut yang diadaptasi pada Megane ini juga bukan biasa-biasa kerana ia dijelmakan sebagai kasut istimewa Asics Gel Lyte III Teh Tarik.

Segala jahitan, liang, tulisan serta warna teh tarik yang sama pada kasut berkenaan dipindahkan ke badan Megane ini. Dan yang paling menarik, ia turut menerima jalur Asics yang timbul pada sebelah sisi kanan dan juga tab tarik yang dilekat pada bahagian hampir dengan spoiler bumbung seperti Asics Gel Lyte III Teh Tarik sebenar.

Dan pada bahagian bumbung, ia menampilkan logo Asics bersama gegelung “lebihan teh tarik dari gelas” seperti yang lazimnya tertinggal di meja-meja restoran mamak di Malaysia.

Porsche 911 Turbo 997 Puma Clyde

Dari segi grafik, 911 Turbo 997 ini menampilkan grafik yang ringkas kerana ia diasaskan dari rekabentuk sneaker klasik Puma iaitu Puma Clyde.

Jadi ia hanya menampilkan jalur sisi ikonik kasut sukan Puma berwarna kuning, dan ia ditambah dengan jalur tengah dari penutup but hadapan hingga ke bumbung.

Dan sebagai pengasas kepada 911 Rebels, Remus memadan rak bumbung pada 911 Puma ini yang lengkap bersama basikal BMX Kuwahara di atasnya.

Porsche 911 RWB 964 Jordan 5 Retro Supreme Desert Camo

Tengok kit badan sahaja sudah tahu bahawa Porsche 911 964 ini bukan biasa-biasa, dan ia adalah unit sebenar yang mendapat sentuhan pemilik Rauh-Welt Begriff (RWB), Akira Nakai dari Jepun.

Mungkin dengan rupa yang begitu sarat dengan fender yang lebar, spoiler gergasi di belakang dan juga dua pengecas turbo yang sengaja didedahkan, Remus memberikan rupa seakan kasut Jordan 5 Retro Supreme Desert Camo pada Porsche RWB ini.

Sama seperti kasut yang diinspirasikan, badan 911 ini turut menerima komoflaj padang pasir. Peincian lain seperti nombor 94 pada bahagian sisi, serta tapak dengan warna hitam-kelabu-merah turut diadaptasikan dari kasut ke kereta berkenaan.

Mitsubishi Lancer Evo VIII Selipar Tat Sing

Selipar Tat Sing merupakan selipar yang digeruni dalam permainan “baling selipar” ketika zaman kanak-kanak penulis dulu. Selipar ini mempunyai berat yang baik membolehkan ia dibaling tepat pada sasaran. Dan yang paling sadis, dengan ketumpatan getah yang padu pada selipar ini, ia memberikan kesan kesakitan yang juga padu sekiranya balingan pihak lawan terkena pada mana-mana bahagian badan kita.

Sehinggakan ada kumpulan yang mengharamkan terus penggunaan selipar Tat Sing ini untuk permainan baling selipar kerana kesan sampingan yang bakal diterima jika menggunakannya. Jadi nampaknya memang kena betul imej jahat selipar Tat Sing ini diterapkan pada sebuah Lancer Evo!

Evo seperti yang kita ketahui merupakan jentera yang lahir dari Kejohanan Rali Dunia (WRC). Dengan enjin turbo dan sistem pacuan semua roda, Evo boleh dikatakan sentiasa laju dan lincah tak kira di atas permukaan jalan apa sekalipun.

Bagi Lancer Evo VIII Selipar Tat Sing ini, ia diberikan warna badan putih sama seperti selipar legenda berkenaan. Ia kemudiannya diberikan grafik seperti getah pemegang kaki berwarna biru bermula pada bahagian atas logo tiga berlian di hadapan dan terus ke bahagian sisi pintu.

Spoiler hadapan, skirt sisi dan diffuser belakang yang diperbuat dari gentian karbon dibiarkan hitam tanpa cat bersama grafik bucu segi tiga diatasnya seakan bahagian tapak sebenar selipar Tat Sing.

Dari kelima-lima kereta yang diinspirasikan dari kasut (dan selipar) ini, mana satu anda rasa paling menarik? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di media sosial kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required