Selain dari kembar Alphard dan Vellfire, Toyota sebelum ini mempunyai satu lagi model MPV besar iaitu Estima (juga dikenali sebagai Previa atau Tarago pada pasaran-pasaran tertentu). Walau bagaimanapun, produksi MPV dengan bentuk unik seperti kepala kereta api laju tersebut telah pun dihentikan pada tahun 2019 selepas dijual dalam tiga generasi bermula 1990.
Namun ada khabar dari Jepun bertiup bahawa Estima bakal dilahirkan semula, dan akan mula perkenalkan pada 2025, lapor portal automotif Jepun Best Car Web. Berbanding Alphard/Vellfire yang masih menggunakan enjin pembakaran, Best Car mendakwa Estima bakal muncul sebagai MPV elektrik sepenuhnya (EV).
Portal itu turut memperincikan Estima generasi baharu ini akan diasaskan dari platform e-TNGA, membolehkan ia ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda, serta menampilkan bateri yang membolehkan ia bergerak sejauh 600 km dengan satu cas penuh.
Malah Best Car turut mendakwa Toyota Estima EV ini mungkin akan dijual pada harga bermula 6.5 juta hingga 7 juta yen (RM205,500 hingga RM221,300).
Walau bagaimanapun ini bukan kali pertama Estima didakwa akan dihasilkan semula oleh Toyota. Pada 2021 Best Car Web turut telah melaporkan bahawa Estima akan dihasilkan dalam versi generasi baharu yang dijana elektrik sepenuhnya dan ia akan didedahkan pada tahun ini, tetapi berita berkenaan ternyata tidak benar.
Malah pada 2021 ketika pengerusi Toyota, Akio Toyota mendedahkan 16 model-model konsep EV Toyota yang dirancang untuk diproduksi pada masa akan datang, tiada satu pun model yang bakal dihasilkan sebagai MPV tujuh-tempat duduk. Walau bagaimanapun sekiranya Estima EV ini menjadi kenyataan, ia mungkin menjadi MPV pertama Toyota yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.