Kami melaporkan terus dari Japan Mobility Show 2023 yang kini sedang berlangsung di dewan Tokyo Big Sight, dan ini adalah model konsep yang agak mengejutkan didedahkan oleh Mazda – memperkenalkan kereta sport RX-7 untuk masa depan, Mazda Iconic SP Concept!
Sekilas pandang, asas rekaan model konsep ini sememangnya diinspirasikan dari Mazda RX-7 terakhir iaitu generasi FD3S yang diproduksi bermula pada 1992 dan tamat pada 2002. Profil sisi badan, bentuk pintu dan juga cermin belakang memang tak syak lagi adalah dari FD3S, malah lampu hadapannya juga direka dengan konsep pop-up seperti kereta sport ikonik Mazda tersebut!
Cuma untuk pintu, gaya bukaannya agak futuristik dengan naik sekitar 45 darjah ke atas seperti Lamborghini. Badan Iconic SP ini disembur dengan warna Viola Red, yang menurut Mazda menyerlahkan falsafah syarikat “memperkayakan kehidupan dalam gerakan untuk mereka yang kami layani” berdasarkan keinginan jenama terebut bagi “menghargai warna merah.”
Dari segi dimensi, Mazda Iconic SP ini dihasilkan dengan 4,180 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,150 mm lebar dan jarak roda sejauh 2,590 mm. Jadi berbanding FD3S asli, model konsep ini adalah 105 mm lebih pendek dan 90 mm lebih lebar. Ia juga lebih besar dari Mazda Miata MX-5 generasi sedia ada yang dihasilkan dengan dimensi 3,915 mm panjang dan 1,730 mm lebar.
Bukan hanya rupanya sahaja yang diinspirasikan dari Mazda RX-7, malah unit rangkaian kuasa Iconic SP ini turut menampilkan enjin Wankel Rotary seperti kereta-kereta sport ikonik Mazda sebelum ini! Menurut Mazda, kereta sport baharu ini menampilkan sistem EV dengan enjin rotary dua-rotor yang boleh digerakkan sama ada dengan bahan bakar fosil biasa (petrol) atau menggunakan hidrogen.
Secara asasnya, ini adalah unit rangkaian kuasa hibrid kerana enjin rotary berkenaan turut akan dibantu dengan motor elektrik. Malah sekiranya dengan cas bateri hibrid yang mencukupi, kereta sport ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin rotary dihidupkan.
Bagaimana konfigurasi sistem ini berfungsi masih belum didedahkan sepenuhnya oleh Mazda, namun tak mustahil adalah sistem yang sama dengan paten yang difailkan oleh Mazda sebelum ini. Dalam paten tersebut dapat dilihat enjin rotary berkenaan diletakkan pada kedudukan yang rendah dan hampir ke bahagian tengah kereta sama seperti RX-7 sebelum ini bagi memberikan titik graviti rendah dan agihan nisbah berat sempurna antara hadapan dan belakang.
Paten itu juga menunjukkan kuasa dari enjin dialirkan ke roda belakang, dan ia turut dibantu dengan sebuah motor elektrik yang diletak pada gandar belakang. Satu lagi motor elektrik dilihat diletakkan pada gandar hadapan, menjadikan kereta sport pacuan belakang ini turut diberikan cengkaman sistem pacuan semua roda apabila diperlukan.
Sistem ini sangat berbeza dengan sistem hibrid e-Skyactiv R-EV yang telahpun digunakan pada Mazda MX-30 R-EV yang telah didedahkan pada Januari lalu. Dalam sistem tersebut, enjin rotary satu rotor pada SUV tersebut berfungsi hanya untuk mengecas bateri hibrid, manakala roda hadapan hanya dipacu oleh motor elektrik.
Kuasa keseluruhan Iconic SP ini disahkan pada kadar 370 PS. Dan dengan berat kereta yang ditimbang pada 1,450 kg (hampir 200 kg lebih berat dari FD3S kerana motor elektrik dan bateri hibrid yang dibekalkan), nisbah kuasa kepada berat kereta ini adalah pada kadar 3.9.
Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan hari ini, dengan jelas Mazda menyebut bahawa model konsep Iconic SP ini “menampilkan kuasa tinggi dihasilkan dari sistem EV rotary dua-rotor, bentuk dengan pusat graviti rendah serta agihan berat sekitar 50:50 bagi mencapai prestasi pemanduan yang cemerlang”.
Mazda juga menyatakan bahawa kuasa elektrik dari bateri hibrid kereta sport konsep ini boleh digunakan untuk membekalkan kuasa ketika “menikmati aktiviti luar yang menyeronokkan dan juga ketika berlakunya bencana.”
Rekaan dalaman Iconic SP ini turut dilihat menerima pengaruh yang kuat dari RX-7 FD3S. Ia menampilkan tempat duduk bucket yang diletak sangat rendah bersama terowong dan konsol tengah tinggi. Manakala papan pemuka direka ringkas dengan elemen mendatar, dipadankan bersama roda stereng deep dish tiga-jejari rata di bawah.
Turut boleh dilihat ia diberikan skrin infotainmen utama di tengah papan pemuka, suis pemilih gear ‘PNDR’ yang disusun seperti pelaras equalizer bersama butang penghidup enjin di sebelahnya, serlahan jahitan benang merah, serta sebahagian panel pintu dan papan pemuka yang menerima kemasan warna badan.
“Mazda akan sentiasa menyajikan kenderaan yang mengingatkan orang ramai bahawa kereta adalah kegembiraan sebenar dan bahagian yang amat diperlukan dalam kehidupan mereka. Sebagai sebuah syarikat yang cintakan kereta yang menghasilkan pengalaman mobiliti memberi inspirasi, kami komited untuk membentuk masa depan bersama rakan kerjasama kami berkongsi matlamat yang sama, serta peminat kami, di mana semua orang boleh dengan bangganya berkata, ‘kami suka kereta.’ Dengan kemahuan yang begitu kuat, Mazda komited untuk memperkayakan kehidupan dalam gerakan bagi mereka yang kami berkhidmat,” kata presiden dan CEO Mazda, Masahiro Moro.
Walau bagaimanapun, Mazda masih belum membayangkan sama ada projek Iconic SP ini akan diteruskan sehingga ke peringkat produksi atau tidak. Namun menerusi teknologi yang ditunjukkan, sistem hibrid enjin rotary dengan dua motor elektrik ini tidak lagi bermasalah dengan undang-undang pencemaran udara yang ketat buat masa sekarang!
GALERI: Gambar rasmi Mazda Iconic SP Concept 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.