Mazda telah memperkenalkan MX-5 facelift, yang menerima peningkatan bahagian visual dan juga teknologi. Ini adalah kali ketiga model ND generasi keempat ini diberikan peningkatan sejak ia membuat penampilan pertama September 2014 lalu, dengan talaan enjin dibuat pada tahun 2018 dan Kinematic Posture Control (KPC) diperkenalkan pada tahun 2021.
Masih disediakan dalam versi bumbung boleh lipat lembut atau keras (RF), MX-5 baru ini antaranya menerima lampu utama LED yang disepadukan bersama DRL. Lampu belakang juga menampilkan rekaan pencahayaan baru, sementara rekaan rim baru turut ditawarkan dengan Aero Grey Metallic.
Anda juga akan dapat melihat gril yang diubah suai bagi menempatkan pengesan radar yang membantu fungsi Mazda Radar Cruise Control (MRCC) serta Smart Brake Support [Rear Cross] (SBS-RC). Fungsi sokongan brek itu dapat membrek kenderaan secara automatik semasa mengundur pada kelajuan 15 km/j ke bawah, apabila ia mengesan kenderaan dari kiri, kanan atau belakang.
Pada bahagian belakang, MX-5 facelift ini mengikut jejak Mazda 2 dan CX-3 dengan mendapat skrin 8.8 inci untuk sistem infotainmen. Ia kemudiannya disertai oleh panel instrumen yang diubah sedikit, soket USB-C, cermin sisi terapung serta pilihan balutan dalam baru. Satu varian baru, iaitu S Leather Package V dengan bahagian dalam lebih cerah serta bumbung lembut disediakan sebagai piilhan.
Berkenaan sistem pemanduan, versi transmisi manual mendapat asymmetrical limited-slip differential serta mod baru untuk dynamic stability control, dipanggil sebagai DSC-Track. Kemudiannya, sistem stereng elektrik untuk semua varian ditala semula untuk menjadi lebih ringan dan memberikan rasa lebih tepat.
Akhir sekali, enjin empat silinder 1.5 liter NA pada MX-5 menerima peningkatan kuasa sebanyak 4 PS (4 hp atau 3 kW), menjadikan keseluruhannya 135 PS (133 hp atau 99 kW) dan tork 150 Nm. Enjin empat silinder 2.0 liter NA pula tidak diusik dan masih menyediakan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 205 Nm – kedua-dua enjin ditawarkan dengan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.