Jika sebelum ini hype untuk model-model JDM dipegang oleh Toyota Corolla AE86, buat masa sekarang gelaran tersebut mungkin boleh dipegang oleh Nissan Skyline GT-R R34. Sejak akhir-akhir ini R34 GT-R dijual dalam pasaran kereta terpakai sekitar RM setengah juta ringgit, dan untuk unit-unit tertentu, ia laku dijual pada harga melebihi RM1 juta.
Ini mungkin salah satu GT-R R34 yang tergolong dalam unit-unit istimewa tersebut – sebuah Skyline GT-R R34 di Selangor ingin dijual oleh pemiliknya pada harga RM1.5 juta! Menurut iklan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook tersebut, R34 GT-R berkenaan adalah dari versi Series 2 S-Tune asli keluaran tahun 2002.
Seperti yang diketahui, untuk setiap model Nissan yang menerima lencana ‘S-Tune’ ia adalah model yang menerima sentuhan terus dari sayap perlumbaannya iaitu Nismo bukan hanya dari segi kosmetik, malah melibatkan talaan prestasi.
Anda boleh lihat senarai panjang komponen Nismo yang terpasang pada R34 ini seperti kit badan dan aero dari material gentian karbon, set rim forged Nismo LMGT4 GT500 Edition asli, panel instrumen Nismo dengan bacaan meter kelajuan 320 km/j, skrin MFD Nismo GT-R dan pelbagai lagi.
Enjin RB26DETT asal juga telah menerima ubahsuai berat antaranya kit stroker forged sepenuhnya, pengecas turbo berkembar Garret GT30, serta pelbagai peralatan prestasi asli Nismo dan juga dari penala-penala Jepun yang lain.
Ini bukan kali pertama sebuah R34 GT-R dijual pada harga RM1 juta di Malaysia. Sebelum ini sebuah syarikat pengimport kereta persendirian tempatan telah membawa sebuah R34 GT-R dalam versi antara paling rare iaitu V-Spec II Nur dengan warna badan Millennium Jade, dijual pada harga RM2 juta!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.