Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

Kalau tanya penulis kereta JDM mana yang paling hype sekarang, sudah jawapannya adalah Toyota Corolla AE86. Yang ada simpan majalah lama, selongkah balik tengok – sekitar tahun 2000, AE86 terpakai boleh dibeli pada harga serendah RM15,000.

Maklumlah, tiada apa yang istimewa dilihat pada AE86 ketika itu. Ia cuma varian lebih sporty bagi kereta yang dibuat untuk marhean iaitu Toyota Corolla, dan bukan dari susur galur kereta sport sejati seperti Celica dan Supra. Tiada apa yang rare pada AE86 kerana ia adalah model produksi massa yang dibuat dari tahun 1983 hingga 1987 dalam jumlah yang sangat banyak iaitu dianggarkan melebihi 360,000 unit (termasuk AE85).

Walaupun AE86 ini merupakan salah satu model dalam barisan Toyota Corolla generasi kelima (dengan kod casis E8), ia bukannya dibina dengan casis serba baharu. Corolla generasi kelima pada asasnya menggunakan platform serba baharu yang menampilkan konfigurasi enjin depan pacuan depan (FF), namun untuk AE86 dan ‘adiknya’ dengan enjin kurang berkuasa iaitu AE85, ia masih menggunakan platform dari model generasi terdahulu (E7) yang dipertingkat untuk kekal dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang.

Jadi memang tiada apa yang istimewa pada AE86 ini, sehinggalah manga dan anime Initial D mula menjadi fenomena di seluruh dunia. Initial D mengisahkan seorang budak sekolah tinggi bernama Fujiwara Takumi yang baru berumur 17 tahun, tiba-tiba muncul dalam dunia perlumbaan jalan bukit (disebut sebagai Touge di Jepun) dengan memandu Toyota AE86 di Wilayah Gunma, Jepun.

Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

Walaupun umurnya sangat muda dan memandu kereta yang berusia dengan kuasa kuda rendah berbanding model-model JDM era 90’an seperti Nissan Skyline GT-R R32, Mazda RX-7 FD3S dan Mitsubishi Lancer Evolution III, Takumi yang dilatih oleh ayahnya – juga bekas pelumba touge – dengan cara unik iaitu menghantar taufu dari kedai ke sebuah hotel di atas Bukit Akina setiap pagi, membolehkan dia menjadi seorang pelumba yang tidak boleh dikalahkan.

Dengan jalan cerita yang menampilkan kehidupan pelumba jalanan yang agak realistik serta strategi dan teknik perlumbaan sebenar, Initial D telah menjadi sumber inspirasi kepada ramai peminat-peminat automotif terutamanya yang ‘berkiblat’ kan JDM.

Rahsianya, Initial D mendapat khidmat nasihat teknikal pelumba profesional Jepun, ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya yang juga seorang yang obses terhadap Toyota AE86. Malah banyak kisah-kisah Tsuchiya dari zaman dia berlumba secara haram di jalan bukit sehingga bergelar pemandu profesional turut diadaptasi dalam Initial D.

Dalam masa yang sama, Keiichi Tsuchiya turut mempromosikan budaya sukan drift dari Jepun (teknik utama dalam Initial D) yang digunakan menerusi pertandingan-pertandingan drift amatur ‘Ikaten’ yang disiarkan menerusi Option Video, dan kemudian berevolusi menjadi pertandingan profesional D1 Grand Prix yang menjadi asas kepada siri-siri perlumbaan drift antarabangsa, termasuk acara yang dianjurkan sendiri oleh Persekutuan Automobil Dunia (FIA) iaitu FIA Intercontinental Drifting Cup yang bermula pada 2017.

Gabungan fenomena Initial D dan drift, malah AE86 itu sendiri secara realitinya sebuah kereta yang sangat seronok dipandu di jalan berliku dan juga dalam sukan drift telah menyebabkan harganya mula naik sedikit demi sedikit. Tambahan pula semakin lama jumlah kereta ini yang semakin sedikit akibat dimamah usia, AE86 sekarang berada pada tahap harga yang tak masuk akal. Di Malaysia sahaja ada AE86 yang sudahpun terjual pada harga RM160,000!

Walau bagaimanapun dari keseluruhan produksi AE86 dan AE85, ada satu model edisi istimewa yang dihasilkan secara terhad oleh Toyota. Model tersebut digelar sebagai Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited, yang dihasilkan hanya sebanyak 400 unit sebagai tanda selamat tinggal ketika produksi AE86 dihentikan bagi memberikan laluan kepada model generasi baharu AE92 selepas itu.

Toyota tidak memberikan sebarang plat nombor produksi istimewa pada kesemua 400 unit AE86 terakhir ini. Namun unit-unit asli Black Limited dapat dikenalpasti menerusi angka 204 untuk kod warna badan (Black Metallic Clearcoat) pada nombor pengenalan chasis (VIN) yang dipaparkan pada plat VIN dan juga pada panel badan di bahagian firewall.

Tiada perubahan besar yang diberikan pada Black Limited ini berbanding AE86 biasa. Tiada versi Levin untuk model edisi terhad dan kesemua Black Limited ini dihasilkan dalam versi Sprinter Trueno (lampu hadapan jenis flip yang boleh disorok), dan ia diasaskan dari varian GT-Apex.

Enjin, kotak gear, suspensi dan segalanya berkenaan prestasi masih sama dengan AE86 GT-Apex lain tanpa sebarang perubahan, manakala perincian yang diberikan adalah pada aspek kosmetik semata-mata.

AE86 Levin dan Sprinter Trueno lazimnya hadir dengan warna badan dua-tona, dengan bahagian bawah berwarna hitam sementara bahagian atas dikenakan warna utama seperti merah, putih, perak dan sebagainya. Namun untuk Black Limited ini, ia satu-satunya AE86 yang keluar dengan skema warna monotone iaitu hitam sepenuhnya.

Kemudian emblem Trueno di hadapan, serta semua pelakat badan seperti ‘Trueno’ dan ‘Black Limited’ pada bahagian sisi serta “Apex Twin Cam 16” dan “Toyota Sprinter Trueno” di belakang hadir dengan warna emas. Jalur emas juga diberi di sepanjang sisi kereta ini, manakala rim 14-inci OEM “snowflake” Toyota yang turut boleh dijumpai pada model lain seperti Toyota Chaser dan Cresta turut disembur dengan warna emas.

Perincian lain yang istimewa pada model ini adalah kemasan reflektor merah pada atas lampu belakang yang merentangi pintu tailgate turut diberikan pelekat “Black Limited” berwarna hitam.

Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

Dalam kabin, apa yang berbeza adalah perkataan “Apex” pada tempat duduk depan turut diberikan sulaman benang emas, kemudian roda stereng menerima jahitan benang dan perkataan “Twin Cam 16” pada butang hon berwarna oren, begitu lampu pada panel meter, jam digital serta pada papan kawalan sistem pendingin hawa diberi suluhan berwarna oren.

Walaupun tiada apa yang benar-benar istimewa dari segi perincian, Black Limited ini mempunyai nilai sejarah – ia bukan hanya edisi ‘selamat tinggal’ untuk AE86, malah ia merupakan 400 unit terakhir Corolla yang dibina sebagai model pacuan roda belakang.

Malah dari 400 unit Black Limited yang diproduksi, entah berapa unit sahaja yang wujud lagi di atas muka bumi ini. Faktor-faktor ini menyebabkan AE86 Black Limited ini menjadi buruan pengumpul kereta bukan hanya di Jepun, malah di seluruh dunia, dan harga pasarannya kini telah mencecah sekitar RM350,000!

Ketika berkunjung ke Tokyo Auto Salon 2020, penulis sendiri sempat melihat salah sebuah Trueno Black Limited ini yang dipamerkan di reruai Gazoo Racing bersama Toyota 86 GT Black Limited (dihasilkan hanya 86 unit sempena produksi model generasi ZN6 ditamatkan).

Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

Dan jangan tak tahu, dua dari 400 unit berkenaan kini berada di Malaysia! Unit yang anda lihat ini adalah milik Azam Mustafa, dan ia baru sahaja siap direstorasi sepenuhnya, serta sempat menyertai Show & Shine di Art Of Speed 2023 yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai lalu.

Ini merupakan AE86 kedua yang pernah dimiliki oleh Azam, walaupun ramai rakan-rakan termasuk penulis sendiri yang mengenali Azam sebagai seorang yang fanatik dengan jentera-jentera Honda yang dijana oleh enjin VTEC. Azam membeli AE86 pertamanya ketika berpeluang untuk bermastautin di Jepun pada 2012 hingga 2015.

Walaupun begitu berminat dengan Honda, AE86 merupakan salah satu kereta impian Azam. Dan peluang ketika menetap sementara di Jepun tidak disia-siakan oleh Azam untuk membeli sebuah AE86 di sana. AE86 pertama yang dibeli oleh Azam kebetulan berwarna hitam, dan kemudian timbul ilham untuk menjelmakan kereta tersebut sebagai klon Black Limited.

Sebelum pulang ke Malaysia, Azam sempat merasai pelbagai pengalaman bersama AE86 tersebut, antara menghadiri perhimpunan AE86 Day di litar Fuji International Speedway, dan memandu sendiri di Bukit Haruna (nama sebenar Bukit Akina).

Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

Setelah pulang ke Malaysia dan memandu AE86 tersebut sebagai kereta harian di sini, Azam mengambil keputusan untuk menjualnya. Ini kerana Azam menerusi kenalannya yang berada di Jepun sudah menjumpai dan membeli sebuah AE86 Sprinter Trueno Black Limited asli!

Sepanjang Azam di Jepun, kami kerap berhubung dan pernah secara berseloroh penulis menyatakan tak mustahil satu hari nanti mungkin dia akan memiliki Black Limited asli (dalam kalangan kawan-kawan pun kenal Azam, kalau dia berkenaan memang selalu dia akan dapat dengan macam-macam usaha). Dan tak sangka masin mulut, Azam benar-benar berjaya bawa pulang AE86 tahap unicorn ini dari Jepun ke Malaysia.

Kereta berkenaan sebelum ini dimiliki oleh seorang rakyat Australia yang juga menetap di Jepun waktu itu. Ketika bersama pemilik lama, Black Limited asli berkenaan sudah pun disumbatkan dengan enjin 4A-G yang lebih moden diambil dari Corolla Levin/Sprinter Trueno AE111, iaitu dari versi ‘Black Top’ 20 injap yang datang dengan sistem individual throttle body (ITB) dari kilang.

Namun enjin berkenaan tidak berada dalam kondisi yang baik, begitu juga badannya yang mula dijangkiti karat. Apabila sampai ke Malaysia, kereta berkenaan diserahkan kepada seorang kenalan Azam yang berada di Perak untuk memulakan restorasi.

Walau bagaimanapun atas sebab-sebab kesihatan mekanik berkenaan, projek tersebut terbengkalai selepas dua tahun. Azam kemudiannya membawa balik Black Limited ini ke Kuala Lumpur, dan projek ini diserahkan kepada ‘sifu’ AE86 di Malaysia iaitu CK Chan. Tiga tahun kemudian, inilah hasilnya, sebuah AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited dengan kondisi sama seperti yang penulis lihat di TAS2020!

Seperti yang boleh anda lihat, badan kereta ini dibina semula dengan begitu teliti, dan pemasangan komponen seperti pintu, bonet, pintu but belakang semuanya dibuat benar-benar selari. Bukan itu sahaja, malah perincian lain seperti unit-unit lampu, cermin sisi dan lain-lain nampak seperti baru keluar dari kotak.

Untuk pelekat-pelekat badan, Azam sebenarnya berjaya mendapatkan set pelekat asli baru Black Limited yang datang dengan nombor komponen Toyota. Namun set pelekat berkenaan tidak digunakan, sebaliknya ia menjadi ‘master copy’ untuk menghasilkan beberapa set pelekat yang turut disimpan untuk digunakan pada masa akan datang sekiranya perlu.

Azam memilih untuk tidak memadankan set rim asli Black Limited, dan memilih set rim ‘pisang’ RS Watanabe asli yang lengkap dengan penutup tengah. Set dengan diameter 14-inci dan lebar 8jj berkenaan adalah dari jenis R Type, iaitu dihasilkan dengan bibir yang agak lebar, sesuai dengan kereta-kereta klasik Jepun dari era 60’an hingga 80’an.

Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited – 1 dari 400 unit dalam dunia, restorasi macam baru!

Rim berkenaan dibalut dengan tayar Yokohama Advan Neova bersaiz 185/60R14. Dan ia dipasang pada kesemua hub roda menggunakan set nat asli juga dari RS Watanabe. Bagi mendapatkan stance yang cantik dan juga pengendalian lebih baik, badan kereta ini direndahkan dengan penggunaan set penyerap hentak boleh laras dari Greddy yang lengkap dengan pillow ball pada sebelah depan.

Berbalik pada enjin, Azam menggantikan enjin Black Top yang sudah rosak berkenaan dengan enjin Black Top yang lain. Tiada apa ubahsuai yang dilakukan terhadap enjin berkenaan kecuali menggunakan velocity stack (atau selalu disebut sebagai trumpet) untuk setiap ‘mulut’ ITB tersebut, dan kepala enjin dibuka untuk dibuat proses top overhaul.

Bagi yang masih belum tahu, ada sedikit pengubahsuai yang perlu dilakukan untuk memasukkan enjin Black Top yang asalnya memacu roda hadapan ini ke badan AE86 yang memacu roda belakang, iaitu kedudukan unit pengagih (distributor) sistem penyalaan. Ini kerana dengan kedudukan asal, pengagih berkenaan tidak muat untuk diletakkan kerana kepala enjin berada terlalu hampir dengan firewall. Jadi ia perlu dipindahkan ke bahagian hadapan iaitu pada pulley aci sesondol dengan menggunakan kit khas.

Selain itu, Azam juga telah menggunakan set extractor dari Toda Racing yang turut dibalut dengan penebat haba. Jadi sekurang-kurangnya Black Limited milik Azam ini sekarang bernafas dengan kuasa 165 PS dan tork maksima 162 Nm, berbanding enjin asal 4A-GE 16 injap yang hanya menghasilkan kuasa 130 PS dan tork maksima 149 Nm.

Kotak gear T50 lima-kelajuan manual pada AE86 ini juga kekal standard tanpa sebarang pengubahsuaian bagi menghantar kuasa ke ganda belakang. Selain itu, ada juga tangki aluminium kembar buatan tangan yang dihasilkan oleh Takahashi-san dari Running Free (taip runningfreeae86 di instagram, dan bersedia untuk teruja) yang berfungsi sebagai oil catch tank dan tangki tambahan untuk cecair penyejuk radiator.

Tipikal sebuah kereta Jepun era 90’an, walaupun badan kereta ini adalah jauh lebih kecil berbanding kereta-kereta moden, kabinnya masih terasa luas. AE86 direka dengan posisi pemanduan yang cukup baik – sebaik sahaja anda duduk di kerusi pemandu, kedudukan tombol gear dan stereng sudah cukup membuatkan rasa membuak untuk memandu.

Tambahan pula dengan AE86 yang dilengkapi ITB yang memberikan bunyi induksi yang mengasyikkan, serta dipadankan dengan short shifter pada tuil gear yang memberikan rasa tukaran gear sangat mekanikal pada Black Limited milik Azam ini, seperti ada suara yang membisik untuk terus memandu kereta ini dengan laju.

Kabin AE86 Black Limited ini direstorasi hampir standard kesemuanya, tanpa sebarang ubahsuai-ubahsuai mengarut. Tiada sebarang meter tambahan, dan kesemua tempat duduk juga masih asal dan kelihatan seperti sebuah kereta yang disimpan di muzium.

Kebiasaannya, tempat duduk asal AE86 akan bermasalah pada bahagian penutup plastik bahagian belakang yang selalunya akan ‘reput’. Untuk tempat duduk ini, CK Chan telah menghasilkan semula penutup tersebut, siap dengan jaring baharu pada bahagian berkenaan (hanya Black Limited yang mempunyai jaring ini). Malah larasan lumbar dan juga sokongan peha yang menggunakan pam angin pada tempat duduk pemandu masih lagi berfungsi.

Selain itu, CK turut menghasilkan ‘karpet bulu’ berwarna merah secara custom untuk Black Limited ini, yang menyerupai aksesori asli ditawarkan oleh Toyota dahulu. Bukan hanya dalam kabin, perhatian turut diberikan pada but belakang – anda boleh lihat segala karpet, penutup tayar gantian dan juga peralatan untuk menukar tayar asal masih lagi ada.

Secara keseluruhan, Azam telah menghabiskan masa selama lima tahun untuk menyudahkan projek ini. Itu baru masa, belum masuk lagi segala kesusahan untuk mencari semula komponen-komponen asli AE86 yang semakin pupus, tambahan pula ini merupakan model edisi terhad dengan beberapa komponen yang berbeza dengan versi biasa. Duit jangan ceritalah, dah tentu mengalir macam air.

Tapi hasilnya anda boleh lihat. Dengan plat “Trueno 3 Door” yang dipasang pada hadapan dan belakang kereta ini, ia seolah-olah model die-cast keluaran Autoart dalam skala 1:1!

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required