Ini mungkin penghujung fasa bagi Toyota 86; ia kini diperkenalkan dalam edisi khas, yang jika dilihat kepada langkah sama dilakukan kepada AE86 pada Januari 1986 dahulu, mungkin akan menjadi versi terakhirnya setakat ini. Toyota Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited ketika itu hanya ditawarkan sebanyak 400 unit.

Ketika melihat versi ini di Tokyo Auto Salon Januari lalu, perkara ini sudah boleh dijangka. Dan, kereta yang ditunjukkan ini adalah sama dengan penampilan unit yang dilihat ketika TAS 2020 tempoh hari.

Seperti model tradisi sebelumnya, 86 GT Black Limited tampil dengan imej kelam sepenuhnya, dengan rim warna gangsa 17-inci menjadi satu-satunya kontras kepada warna hitam itu. Ini menjadikan angkup brek Brembo yang digunakan nampak menonjol, begitu juga dengan suspensi Sachs. Bahagian bawah kereta juga dilapik dengan warna hitam.

Di dalam, suasana juga sama berlatar warna hitam. Papan pemuka menggunakan kemasan Granlux a la kulit suede. Lencana khas warna gangsa bagi edisi istimewa ini juga disertakan pada corong pendingin sebelah penumpang. Tempat duduk pula menggunakan gabungan material kulit dan Alcantara.

Walaupun tiada apa yang terlalu menonjol tentang kereta ini, ia dijangka akan menggamit perhatian pengumpul kereta. Ini kerana hanya akan ada 86 unit versi ini akan dikeluarkan; dibahagikan kepada versi transmisi manual dan separuh lagi transmisi automatik, 43 unit setiap satu. Tempahan di Jepun mula dibuka hari ini sehingga 16 April. Sekiranya ada baki unit selepas itu, ia akan dihantar kepada pengedar pada May. Harganya pula ialah 3,518,600 yen (RM144,499) bagi manual, dan 67,400 yen (RM2,767) bagi auto.

Tapi, jangan bersedih. Ia bukanlah penghujung hayat bagi 86 sepenuhnya. Toyota dan Subaru akan bekerjasama membangunkan model generasi baru bagi 86 dan BRZ selepas ini.

GALERI:Toyota 86 Black Limited Concept di TAS 2020

GALERI:Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited di TAS 2020