TAS2020: Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited & 86 Black Limited Concept dipamer bersama

TAS2020: Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited & 86 Black Limited Concept dipamer bersama

Selain dari kemunculan Toyota GR Yaris sebagai kelahiran semula Toyota Celica GT-Four yang telah didedahkan pada Tokyo Auto Salon 2020, Toyota nampaknya bakal memperkenalkan semula satu lagi model moden dengan aura lagenda iaitu 86 Black Limited.

Belum diumumkan bila ia akan produksi, malah tanpa apa-apa maklumat, Toyota 86 Black Limited Concept ini dipamerkan bersama model asal di sebelahnya iaitu Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited. Apa sebenarnya Black Limited ini?

Untuk senang faham, saya mulakan dengan Trueno Black Limited terlebih dahulu. Toyota AE86 dihasilkan oleh Toyota bukanlah sebagai kereta rare atau dihadkan pengeluarannya dalam jumlah-jumlah tertentu. Ia adalah sebuah kereta sport ringan mampu milik pada era tersebut, yang diasaskan dari platform Corolla generasi sebelumnya (E70) untuk mengekalkan konfigurasi enjin depan pacuan belakang, dan diproduksi secara besar-besaran.

TAS2020: Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited & 86 Black Limited Concept dipamer bersama

Tetapi ketika penghujung hayat produksi AE86 ini pada tahun 1987, sebelum digantikan dengan generasi E90 selepasnya, Toyota mengambil keputusan untuk menghasilkan kumpulan terakhir model ini sebagai model edisi terhad bagi memberikan penghormatan.

AE86 Black Limited ini dihasilkan hanya 400 unit, dan Toyota menghasilkannya dalam versi Sprinter Trueno (lampu pop-up) tanpa pilihan dari versi Levin, dengan spesifikasi varian GT-Apex – bermakna ia hadir dengan perincian penuh seperti tingkap berkuasa dan sistem pendingin hawa sebagai ciri standard.

Kesemua 400 unit kereta berkenaan diberikan warna badan Black Metallic Clearcoat, kemudian emblem Trueno di hadapan, serta semua pelakat badan seperti ‘Trueno’ dan ‘Black Limited’ pada bahagian sisi serta “Apex Twin Cam 16” dan “Toyota Sprinter Trueno” di belakang hadir dengan warna emas.

TAS2020: Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited & 86 Black Limited Concept dipamer bersama

Jalur emas juga diberi di sepanjang sisi kereta ini, manakala rim 14-inci OEM “snowflake” Toyota yang turut boleh dijumpai pada model lain seperti Toyota Chaser dan Cresta turut disembur dengan warna emas. Perincian lain yang istimewa pada model ini adalah kemasan reflektor merah pada atas lampu belakang yang merentangi pintu tailgate turut dicetak dengan perkataan “Black Limited”.

Dalam kabin, perkataan “Apex” pada tempat duduk depan turut diberikan sulaman benang emas, kemudian lampu pada panel meter serta pada papan kawalan sistem pendingin hawa diberi suluhan berwarna oren.

Tiada sebarang perubahan mekanikal pada Black Limited ini berbanding Sprinter Trueno GT-Apex lain, dan ia kekal dijana enjin 1.6 liter Twin Cam 16 injap 4A-GE berkuasa 120 PS dan tork maksima 149 Nm. Kuasa hanya dipacu oleh gandar belakang menerusi kotak gear manual lima-kelajuan.

Macam mana kita nak tahu adakah ini sebuah Black Limited palsu atau tulen memandangkan semua perincian istimewa tersebut boleh diubahsuai sendiri? Kesemua 400 unit model asli Black Limited ini menerima cetakan kod warna badan 204 iaitu Black Metallic Clearcoat pada plat pengenalan chasis (VIN), dan ini tidak boleh ditiru dan diubah.

Disebabkan hype AE86 itu sendiri kini menjadi-jadi, harga untuk model edisi terhad hanya 400 unit tersebut sudah tentu melambung dengan sangat tinggi, sehingga ke tahap tidak masuk akal buat masa sekarang. Ini mungkin dorongan untuk Toyota menghasilkan kembali Black Limited ini terhadap model 86 generasi baharu berkenaan.

Tambahan pula, model ini juga kini berada hampir ke penghujung hayat produksinya setelah diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2012, dan Toyota juga telah mengumumkan bahawa 86 generasi seterusnya sah akan dibangunkan dengan Subaru – Black Limited Concept tersebut mungkin akan turut menjadi versi selamat tinggal.

Seperti yang disebut tadi, tiada langsung perincian rasmi yang diumumkan oleh Toyota. Pada pandangan mata kasar, Toyota 86 Black Limited Concept ini turut diberikan warna badan hitam metalik (mungkin dengan kod warna 204 yang sama), kemudian diberikan rim 17-inci pelbagai jejari seperti pada model edisi terhad 86 British Green Limited, dan juga angkup brek Brembo berwarna merah di hadapan.

Manakala pada bahagian kabin, kesemua rekaan juga adalah hampir sama dengan 86 facelift lain, kecuali sulaman “86 Black Limited” dengan benang emas dilihat pada kemasan balutan Alcantara pada bahagian kiri papan pemuka.

Sejak diperkenalkan dalam versi facelift pada tahun 2016, Toyota 86 pasaran Jepun sentiasa dijana oleh enjin NA 2.0 liter empat-silinder boxer D4-S FA20 – berkuasa 207 PS untuk versi enam-kelajuan manual, manakala versi automatik hanya menjana 200 PS – walaupun muncul dalam pelbagai versi.

GALERI:Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited

GALERI:Toyota 86 Black Limited Concept

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required