Anda perasan tak kereta lumba Ferrari dan Alfa Romeo selalunya berwarna merah, Toyota dan Honda harus berwarna putih-merah, serta Mercedes dan Audi perlu berwarna perak? Sebenarnya pada era 1920’an dahulu, dunia perlumbaan telah bersetuju untuk memilih warna-warna rasmi ini sebagai lambang negara asal jenama-jenama berkenaan.

Ini ada sedikit pelik, Toyota 86 edisi khas terbaharu yang hanya akan dijual pada pasaran domestik Jepun (JDM) ini mengenakan warna perlumbaan rasmi untuk Britain iaitu British Racing Green. Jadi sekali tengok, model yang digelar Toyota 86 British Green Limited ini seolah-olah ada sentuhan dari Lotus, seperti Satria Neo Lotus Edition dihasilkan Proton satu ketika dulu.

Selain dari warna badan unik ini, ia turut menerima spoiler belakang dengan kemasan hitam pada bahagian sayap dan juga rim aloi pelbagai jejari lebih ringan kemasan warna Bronze.

Masuk ke kabin, model istimewa ini juga diberikan rupa yang lebih ‘British’ dengan upholsteri kulit dan alcantara, gabungan warna hitam dan Dark Tan, bersama serlahan jahitan berwarna oren pada bahagian tempat duduk, roda stereng, but tuil penukar gear, tuil brek tangan, kemasan panel pintu dan juga pad lutut. Konsol tengah dihitamkan, dan ia nampak lebih hardcore tanpa sebarang sistem infotaimen di papan pemuka.

Prestasi pengendalian kereta ini turut mendapat peningkatan menerusi pemadanan penyerap hentak dan spring dari Sachs untuk setiap sudut, bersama angkup brek lebih besar dengan empat omboh di hadapan dan dua omboh di belakang dari Brembo.

Walau bagaimanapun, unit janakuasa masih kekal standard dengan enjin NA 2.0 liter empat-silinder boxer – berkuasa 207 PS untuk versi enam-kelajuan manual, manakala versi automatik hanya menjana 200 PS – memacu hanya roda belakang. Toyota 86 British Green Limited ini dijual pada pasaran Jepun dengan harga bermual 3,251,880 yen (RM119,476).