Lagi perkembangan penghasilan barisan kereta sport ‘Tiga Beradik’ Toyota – nampaknya sama ada Celica atau MR2 yang akan dilahirkan semula untuk menyertai Toyota 86 dan Supra generasi baharu masih lagi belum diputuskan, lapor Road & Track.
“Kami mahukan Celica kembali, kami mahukan MR2 kembali,” kata pembantu ketua jurutera dalam projek Supra Masayuki Kai. “Paling besar adalah Supra. Supra adalah nombor satu, permintaan paling tinggi dalam pasaran. Sekarang kami sudah bawa Supra untuk kembali, apa yang akan di bawa semula selepas ini adalah bergantung kepada permintaan pasaran,” jelas Kai lagi.
Namun dalam masa yang sama, Kai turut memberikan petunjuk bahawa sekiranya Celica di bangunkan semula, ia bukanlah seperti model generasi pertama yang menampilkan pacuan roda belakang atau model generasi terakhir Celica GT pacuan roda hadapan, tetapi sebagai sebuah jentera pacuan semua roda kompak seperti zaman kegemilangan Celica GT-Four yang bertanding dalam kejohanan rali dunia (WRC), menentang musuh senegara – Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX.
Walau bagaimanapun menurut Kai, model baharu dalam barisan tiga beradik tersebut nanti tidak semestinya Celica atau MR2. “Mungkin boleh jadi model baharu sepenuhnya. Kita perlu tunggu dan lihat,” jelas Kai.
Tetapi apa yang pasti, Kai menyatakan model berprestasi tinggi yang mempunyai pasaran yang niche dan kecil bukanlah mudah untuk dihasilkan dalam situasi sekarang, sebab itu mengapa 86 dibina bersama Subaru manakala Supra pula bersama BMW.
“Kereta Sport semakin mahal untuk dibangunkan. Jadi sebuah syarikat tidak mampu untuk melabur untuk kesemuanya dalam perkakasan menghasilkan bahagian dan komponen, kerana jumlah penghasilan untuk kereta sport adalah sedikit. Kereta sport memerlukan banyak komponen yang spesifik yang anda tak boleh berkongsi dengan kereta lain. Komponen yang kami gunakan pada Supra, tidak boleh digunakan pada sedan seperti Camry dan Corolla. Dan seperti yang anda tahu, isu homologasi juga menjadi semakin rumit dan sukar,” kata Kai.
“Saya pasti jika kami tidak menjalinkan kerjasama seperti ini, BMW tidak mampu untuk membawa semula Z4 ke pasaran secara bersendirian. Dan tanpa kerjasama dari mereka, kami juga tidak mampu untuk membawa kembali Supra. Jadi ia jelas untuk kami, kami perlukan kerjasama ini,” jelas jurutera berkenaan lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.