Toyota telah mengesahkan bahawa kereta sport ikonik Supra generasi baharu atau dikenali denga kod chasis A90 (kesinambungan dari kod A80 dari generasi sebelumnya) akan dijual dipasaran Australia bermula suku ketiga 2019. Kereta ini bakal dijual di negara tersebut di bawah jenama sayap perlumbaan firma automotif Jepun berkenaan iaitu Toyota Gazoo Racing (TGR).

Menurut naib presiden jualan dan pemasaran Toyota Australia Sean Hanley, Toyota Supra 2019 berkenaan akan mengangkat imej jenama Toyota melebihi jumlah pengeluarannya yang agak eksklusif.

“Sebagai model halo untuk kereta sport Toyota dan jenama GR kami yang baharu, Supra disasarkan untuk menjadi kenderaan yang difokuskan kepada pemandu generasi baharu yang akan menawarkan penggayaan dinamik dan pengendalian yang tulen, walaupun pada had prestasinya. Keistimewaan ini juga akan dialirkan ke dalam model produksi biasa kami, meningkatkan DNA Toyota sebagai syarikat yang komited untuk memberikan kebebasan, pengembaraan dan keseronokan memandu kepada semua orang,” kata Hanley.

Pasaran Australia bakal menerima model paling berkuasa dengan enjin 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo jenis twin-scroll bersama sistem suntikan terus, membolehkan ia menjana lebih dari 295 hp dan tork 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

Walau bagaimanapun, Toyota Australia tidak menyatakan sama ada mereka akan membawa sekali model asas Supra yang dijana enjin empat silinder, yang disifatkan oleh ketua Jurutera Tetsuya Tada sebagai kurang berkuasa namun mempunyai karekter pengendalian lebih tajam kerana lebih ringan, serta lebih sesuai digunakan untuk projek menyumbatkan enjin 2JZ dari generasi terdahulu.

Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW di mana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

Walau bagaimanapun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster.

Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) turut mengesahkan bahawa Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

Kereta ini dibina dengan kerangka aluminium dan logam komposit baharu membolehkan ketegaran badannya menghampiri model supercar sebenar Lexus LFA yang dibina berasaskan gentian karbon, membolehkan pasukan jurutera memadankan komponen suspensi berprestasi tinggi. Tada turut menyatakan bahawa beliau mensasarkan Supra A90 untuk menjadi sebuah kereta yang dapat memberikan karekter stereng yang tajam dan prestasi tinggi di selekoh kepada pemandu.

Toyota telah mendedahkan Supra generasi kelima ini pada Mac lalu di Geneva Motor Show namun ia hadir dalam bentuk konsep perlumbaan Gazoo Racing. Prototaip yang hampir kepada versi produksi model ini pula membuat penampilan sulungnya di Goodwood Festival of Speed pada Julai 2018, dipandu sendiri oleh Tetsuya Tada. Kereta ini akan didedahkan sepenuhnya pada separuh pertama tahun hadapan, dan ia akan di produksi di Magna Steyr, Austria.