Toyota Supra generasi baharu dalam konsep model perlumbaan sebenar didedahkan di Geneva 2018

Toyota Supra generasi baharu dalam konsep model perlumbaan sebenar didedahkan di Geneva 2018

Secara peribadi, antara pendedahan rasmi pelbagai model di Geneva Motor Show 2018, kemunculan Toyota Supra generasi baharu merupakan yang paling saya tunggu-tunggu. Namun model yang didedahkan kali ini bukanlah versi produksi, sebaliknya unit yang telah diubahsuai untuk tujuan perlumbaan.

Walau bagaimanapun, tidak sukar untuk kita membayangkan bagaimana rupanya bagi versi produksi jalanraya nanti kerana kebiasaannya ia akan menggunakan lampu hadapan dan belakang dengan rekaan yang sama. Rupa Supra generasi baharu ini juga nampak tidak lari jauh dengan rekaan konsep Toyota FT-1 yang muncul di Detroit pada 2014.

Ia masih menampilkan muncung hadapan seperti jentera F1 serta liang kemasukan bersaiz besar pada bahagian bampar, bumbung dengan dua gelembung, garis bayangan badan yang seiras Supra generasi keempat dan diakhiri dengan penutup but belakang yang direka seakan bersepadu dengan spoiler ekor itik.

Toyota Supra generasi baharu dalam konsep model perlumbaan sebenar didedahkan di Geneva 2018

Sebagai sebuah kereta lumba sebenar, model yang ditampilkan kali ini menampilkan kit badan lebih lebar pada setiap fender, cermin sisi dan skirt sisi, pelbagai splitter udara pada bampar hadapan, spoiler gergasi jenis sayap-GT serta diffuser yang agresif pada bahagian belakang. Dapat dilihat juga, Supra tersebut menampilkan hanya satu tip ekzos pada bahagian tengah bampar belakang.

Panel-panel badan kereta lumba ini dibina menggunakan material komposit ringan termasuk pada bahagian-bahagian seperti pada liang udara pada bonet. Manakala untuk cermin hadapan dan juga cermin-cermin tingkap sisi, ia dibina menggunakan plastik.

Hadir dengan livery rasmi Toyota Gazoo Racing (GR), ia diberikan tema warna signatur divisi perlumbaan tersebut iaitu putih-merah-hitam. Ia juga hadir dengan nombor ’90’ pada badannya, mewakili kod casis Supra generasi kelima menurut turutan generasi pertama A40 1978, A60, A70 dan generasi keempat JZA80 (A80) yang diproduksi buat kali terakhir pada tahun 2002.

Toyota Supra generasi baharu dalam konsep model perlumbaan sebenar didedahkan di Geneva 2018

Pada bahagian kabin, Supra dilengkapi dengan papan pemuka ‘kosong’ yang menyukarkan kita untuk membayangkan bagaimana rupa papan pemuka versi produksi sebenar kelak, namun ia masih dilengkapi sebuah skrin paparan pada bahagian tengah.

Ia kemudian diberikan kelengkapan perlumbaan dari OMP seperti tempat duduk pemandu lengkap dengan tali pinggang perlumbaan, roda stereng jenis cepat-buka yang dipasang pada kolum perlumbaan lengkap dengan sistem padel penukar gear.

Pintu kereta lumba ini diperkemaskan dengan panel gentian karbon, dan kabin ini juga menerima roll cage lengkap, pedal box, paip-paip saluran bahan api dan bendalir brek, pemadam api serta pendawaian yang kesemuanya direka bagi memenuhi standard perlumbaan sebenar.

Menurut Toyota, model konsep coupe dua-pintu ini hadir dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR) sama seperti legasi Supra sebelum ini, yang akan mendemonstrasikan potensi sebuah kereta yang seronok dipandu dan mampu memberikan prestasi tinggi tidak kira di litar atau jalan raya. Dari segi dimensi pula, model konsep perlumbaan ini dibina dengan 4,574 mm panjang, 2,048 mm lebar, 1,230 mm tinggi serta jarak roda 2,470 mm.

Model perlumbaan ini menampilkan sistem suspensi lebih rendah rekaan Toyota, rim-rim perlumbaan dari BBS dari jenis nat tunggal dibaluti tayar perlumbaan Michelin serta turut menempatkan sistem brek perlumbaan dari Brembo disebaliknya.

Namun, sebarang spesifikasi mahupun data teknikal jentera ini masih lagi belum disiarkan oleh Toyota. Tetapi apa yang kami tahu setakat ini berdasarkan pelbagai laporan, Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

Walau bagaimanapun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster. Ogos tahun lalu, BMW telah pun mendedahkan model BMW Concept Z4 di Pebble Beach Concours D’Elegance, yang memberikan gambaran paling hampir bagaimana rupa versi produksi sebenar nanti.

Sebelum ini juga CEO BMW Group Australia Marc Werner pernah memberitahu portal CarAdvice bahawa kedua-dua kereta tersebut bukan hanya berbeza dari segi rekaan, malah pemanduan antara kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dan purist BMW sedia ada jangan risau kerana Z4 generasi seterusnya itu masih lagi sebuah “ultimate driving machine“ sebenar.

Supra versi peroduksi dan Z4 dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa kedua-duanya bakal diberikan unit janakuasa hibrid dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda. Namun, produk dari BMW dijangka bakal tampil lebih premium dengan ciri-ciri seperti sistem infotaimen BMW iDrive dan sebagainya.

Jadi, bila model produksi sebenar Toyota Supra generasi kelima ini akan membuat kemunculan? Menurut Toyota, kemunculan model konsep perlumbaan GR Supra ini adalah sama konsepnya seperti pendedahan C-HR Racing pada Geneva Motor Show 2016, iaitu hampir setahun sebelum kemunculan versi produksi sebenar SUV kompak segmen-B tersebut – memberi petunjuk bila Supra versi produksi akan muncul di pasaran.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required