BMW Z4 G29 didedah – perincian pertama varian M40i

BMW Z4 G29 didedah – perincian pertama varian M40i

Sudah enam tahun sejak BMW menandatangani perjanjian untuk membangunkan sebuah kereta sport dengan Toyota, dan selepas beberapa spyshot, kereta konsep, imej paten dan beberapa foto yang bocor, akhirnya tibalah masa untuk BMW Z4 G29 muncul. Jenama ini telah mengeluarkan beberapa gambar dari roadster dua-tempat duduk pada penampilan sulungnya di Pebble Beach, termasuk beberapa butirannya mengenai perincian pertamanya turut dibongkarkan.

Rekaan Z4 ini senada dengan kereta konsep yang diperkenalkan pada tahun lalu, dengan gaya yang sporty, malahan lebih kompak berbanding model sebelumnya. Di bahagian hadapannya, terpampang gril ‘kidney’ trapezoidal yang besar – dihiasi dengan pin yang kecil berbanding kepingan biasa – disambung ke lampu utama menegak dengan lampu nyalaan siang “corona ring” haksagon.

Sementara itu, bahagian bonet turut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri di sepanjang permukaan, manakala sisinya pula melunjur ke atas dengan penampilan Air Breather, diserikan lagi dengan lampu belakang berbentuk-L tiga-dimensi dan juga spoiler belakang bersepadu. Berbeza dengan E89 lama, G29 baharu menampilkan bumbung-lembut berbanding bumbung logam boleh lipat, mengembalikan konsep Z roadster sebelum ini.

BMW Z4 G29 didedah – perincian pertama varian M40i

Di dalamnya, Z4 baharu mengikut rekaan yang ditetapkan seperti X5 G05, dengan penampilan lebih moden. Corong udara dan terowong tengah yang sedikit tinggi berwarna perak telah ditampilkan bersama panel kawalan yang direka semula (kini disambungkan dengan butang pemula) di sekitar tuil gear yang lebih pendek dan panel paparan tengah yang besar yang kini disambungkan dengan paparan instrumen digital-penuh. Juga didatangkan dengan reverse-direction rev counter.

Hanya satu varian yang telah disahkan setakat ini iaitu model M Performance, M40i. Ia dipadankan dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder dari M140i dan M240i, yang mampu menghamburkan sehingga 340 hp dan kuasa disalurkan ke transaxle yang dipasang di belakang ke roda belakang. Walau pun pilihan transmisinya masih belum dipastikan, namun kemungkinan besar M40i akan ditawarkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, seperti Toyota Supra A90.

Turut dipadankan ialah suspensi sport dengan peredam adaptif, sistem brek M Sport, dan M Sport electronic limited-slip differential. Posisi pemanduan sentral Z4 juga hadir dengan graviti pusat yang lebih rendah, pengedaran berat secara sempurna 50:50, trek yang lebih lebar dan jarak roda yang lebih pendek, sekaligus memberikan “pengendalian yang lebih mantap dan pemanduan yang utuh.”

BMW Z4 G29 didedah – perincian pertama varian M40i

M40i juga didatangkan dengan pakej M Sport yang menampilkan bampar hadapan yang lebih agresif dengan air scoop berbentuk-U, corong belakang palsu dan peresap belakang yang besar disambung dengan ekzos berkembar trapezoidal. Versi First Edition juga akan ditawarkan untuk M40i, diganding dengan warna Frozen Orange Metallic, kemasan luaran hitam berkilat, perumah cermin sisi hitam dan roda aloi dwi-tona 19-inci.

First Edition juga didatangkan dengan kulit Vernasca hitam dengan jahitan hiasan, serta ciri standard termasuk lampu utama LED adaptif dengan fungsi lampu tinggi matrix, paparan utama, sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional baharu, tempat duduk larasan berkuasa dengan memori, pencahayaan ambien dan sistem bunyi Harman Kardon.

Perincian lebih lengkap bagi BMW Z4 baharu ini akan didedahkan pada 19 September menjelang penampilan perdananya di Paris Motor Show, manakala pelancaran untuk pasaran pula akan dilakukan pada musim bunga akan datang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required