Volvo EM90 2024 – MPV pertama Volvo berasaskan EV Zeekr 009, 268 hp/343 Nm, jarak gerak 738 km CLTC

Volvo EM90 2024 – MPV pertama Volvo berasaskan EV Zeekr 009, 268 hp/343 Nm, jarak gerak 738 km CLTC

Volvo EM90 PR Images

Selepas beberapa teaser disiarkan dan gambar awalannya tertiris di internet, ini dia MPV pertama Volvo diperkenalkan secara rasmi dan diberi nama sebagai Volvo EM90. Ia bukan sahaja MPV pertama dari jenama automotif Sweden berkenaan, malah ia terus hadir dalam versi elektrik penuh (EV) tanpa pilihan unit rangkaian kuasa bahan api fosil.

Model ini muncul dan akan dijual di China terlebih dahulu. Menurut Volvo ini membuktikan bahawa ia mampu menghasilkan model-model yang memenuhi permintaan pasaran-pasaran tertentu, dan MPV merupakan segmen yang popular di Asia beberapa tahun kebelakangan ini. EM90 juga didakwa direka sebagai sebuah “ruang tamu bergerak yang selesa”.

Volvo turut mendakwa bahawa walaupun EM90 ini adalah MPV pertamanya, namun ia bukan perkara asing bagi jenama berkenaan untuk menghasilkan sebuah kenderaan yang memberikan ruang luas dan versatil kerana model wagon pertama Volvo iaitu Volvo Duett pada 1953 dihasilkan dengan falsafah sama.

Volvo EM90 2024 – MPV pertama Volvo berasaskan EV Zeekr 009, 268 hp/343 Nm, jarak gerak 738 km CLTC

Volvo EM90 PR Images

Walau bagaimanapun, Volvo EM90 ini sebenarnya model rebadge yang diasaskan dari satu lagi jenama EV premium di bawah Geely iaitu Zeekr 009, di bina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) kumpulan automotif itu. Oleh itu saiz kedua-dua MPV ini juga adalah hampir sama sepenuhnya dengan dimensi panjang 5,206 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,859 mm, jarak roda sejauh 3,205 mm serta kapisit kargo maksimum 1.826 liter.

Tidak banyak perincian teknikal didedahkan oleh Volvo untuk EM90 ini. MPV ini disahkan menerima hanya satu motor elektrik pada gandar belakang berkuasa 200 kW (268 hp) dan tork maksima 343 Nm, yang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.3 saat. Berbeza dengan Zeekr yang diberikan dua motor elektrik untuk semua varian (AWD), dengan versi paling berkuasa menjana 544 hp/686 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 4.5 saat.

Motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri litium-nikel-mangan kobalt (NMC) berkapasiti 116 kWj, bagi membolehkan ia bergerak sejauh 738 km dengan satu cas penuh. Volvo mendakwa cas bateri itu boleh dipenuhkan dari 10 hingga 80% dalam masa anggaran 30 minit, namun tidak memperincikan sistem dan kapasiti pengecasan yang digunakan.

Volvo EM90 2024 – MPV pertama Volvo berasaskan EV Zeekr 009, 268 hp/343 Nm, jarak gerak 738 km CLTC

Volvo EM90 Concept World Stills

Pada sebelah luar, Volvo EM90 ini menampilkan profil sisi serta rekaan pintu dan tingkap yang sama seperti Zeekr 009, namun ia diberikan muka dan bahagian belakang yang lebih unik. Pada bahagian hadapan, MPV ini menerima rekaan lampu utama yang direka tirus bersama lampu nyalaan siang bina dalam ‘tukul Thor’ signatur Volvo.

Sebagai sebuah EV, gril hadapan dihasilkan tanpa liang namun masih diberikan elemen rekaan pin krom dan disudahkan dengan palang ‘Iron Mark’ bernyala dan juga logo Volvo di tengahnya. Volvo menyatakan bahawa rekaan muka EM90 ini adalah diinspirasikan dari “bangunan pencakar langit dan juga hasil seni yang mempersonakan”.

Di belakang, lampu MPV ini menampilkan jalur grafik berbentuk-T, dengan tulisan ‘Volvo’ diletakkan pada bahagian tengah bar kemasan yang merentangi sepenuhnya pintu hatch. Menurut Volvo rekaan belakang MPV ini pula diinspirasikan dari latar langit bandar moden.

Volvo EM90 ini akan ditawarkan dengan empat warna badan “tona hangat yang diilhamkan oleh interaksi antara alam semula jadi dan cahaya” (masih belum diperincikan setiap satunya) dan juga pilihan rim aloi bersaiz 19- hingga 20-inci.

Konfigurasi tempat duduk Volvo EM90 ini juga belum diumumkan secara terperinci. Namun menerusi imej yang didedahkan, ia menerima aturan tempat duduk 2-2-2 (menjadikan enam-tempat duduk secara keseluruhan) dengan sepasang kerusi lounge yang sangat mewah diletakkan pada baris kedua.

Ia turut dilihat mempunyai bumbung panaromik besar merangkumi keseluruhan kabin belakang, panel kawalan sistem pendingin hawa digital pada pintu gelangsar, dan juga meja yang boleh dilipat pada tempat duduk lounge tersebut. Menurut Volvo, kabin EM90 ini diberikan penebat bunyi dan teknologi penyenyap bunyi jalan terbaik serta suspensi udara dengan dua kebuk dan juga tayar yang senyap bagi memberikan pengalaman paling selesa untuk setiap penumpang MPV tersebut.

Ia juga dibekalkan dengan sistem bunyi Bowers & Wilkins yang menampilkan 21-pembesar suara bagi menjadikan kabin belakang EM90 ini sebagai “dewan konsert peribadi bergerak”. Pengalaman digital penumpang juga diperhebat dengan Snapdragon Cockpit Platforms dari Qualcomm Technologies dengan hubungan 5G yang dibekalkan secara standard.

Kabin hadapan menerima skrin infotainmen 15.4-inci yang diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka, manakala kabin belakang pula menerima skrin lebih besar bersaiz 15.6-inci dengan paparan HD yang boleh dilipat. Skrin berkenaan bukan sahaja boleh memainkan pelbagai media dari telefon pintar, malah ia juga boleh digunakan untuk perbualan video dan sidang mensyuarat atas talian.

Volvo turut menyatakan dengan hanya menekan suis atau menggunakan arahan suara, ruang kabin belakang ini boleh berubah menjadi pawagam, bilik mensyuarat atau bilik tidur, di mana ia bukan sahaja merubah kedudukan tempat duduk, malah larasan lain seperti skrin, sistem penghawa dingin, lampu suasana dan sebagainya secara automatik.

MPV ini turut dibekalkan dengan kunci digital dan fungsi kawalan jarak jauh menerusi aplikasi Volvo Cars, dan pelbagai perincian lain akan ditingkat taraf dari semasa ke semasa menerusi perisian yang boleh dikemaskini secara over-the-air (OTA).

Pra-tempahan bagi Volvo EM90 ini sudahpun di buka di China dengan penghantaran pertama akan bermula pada bulan Mac 2024, dan dijual pada harga bermula 818,000 yuan (RM528,524). Ini menjadikan EM90 ini lebih mahal dari 009 di mana MPV dengan lencana Zeekr tersebut dijual pada harga bermula 499,000 yuan (RM322,386) untuk model dengan bateri 116 kWj sehingga 588,000 yuan (RM379,839) untuk model dengan bateri 140 kWj.

Seperti yang disebut oleh Volvo, EM90 ini dihasilkan berdasarkan permintaan pasaran Asia yang mahukan MPV mewah seperti Toyota Alphard dan Vellfire serta versi lebih mewahnya iaitu Lexus LM. Dengan ketiga-tiga model tersebut sememangnya ada di jual di Malaysia, mungkin EM90 ini juga bakal di bawa ke pasaran tempatan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required