Bagi mereka yang tertunggu-tunggu bagaimana rupa Volvo EM90 yang akan dilancarkan tidak lama lagi, ini dia, gambarnya sudah mula tersebar di China. Mungkin tidak begitu mengejutkan, MPV elektrik ini kelihatan sama seperti Zeekr 009, keluaran Geely.
Memanglah, mungkin ramai yang sudah tahu perkara ini akan berlaku, tapi persamaan di antara keduanya sangat rapat. Hanya muka hadapan dan lampu belakang sahaja yang berlainan, sementara panel badan lain untuk kedua-dua MPV ini kelihatan sama.
Melalui maklumat yang diberi oleh Volvo, kita tahu EM90 akan mendapat lencana Iron Mark yang menyala pada gril berbentuk petak, bersama lampu hadapan yang mempunyai nyalaan Thor’s Hammer. Lampu belakang pula akan mempunyai dua jalur lampu berbentuk L (satu terbalik) untuk menghasilkan bentuk T di kedua-dua bucu – semuanya dapat dilihat pada gambar yang tersebar ini.
Selain daripada itu, masih belum ada perincian lain daripada Volvo sendiri. Tetapi, melihat kepada kembarnya Zeekr 009, ia menggunakan platform SEA1, dengan ukuran panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda 3,205 mm.
Ia ditawarkan dalam versi satu motor elektrik belakang berkuasa 272 PS dan 343 Nm, atau dua motor berkuasa 544 PS. Pilihan bateri yang diberi adalah 116 kWh, dengan jarak gerak 702 km, atau 140 kWh dengan jarak gerak 822 km. Volvo EM90 akan membuat penampilan pertama secara rasmi 12 November ini. Ada yang teruja?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.